Krisis Kewangan Anak Muda: Apa Langkah Hadapinya?

kewangan anak muda

Di Malaysia hari ini, anak muda sedang memasuki alam dewasa dalam keadaan yang semakin mencabar. Realitinya sederhana tetapi amat pedih: generasi ini memulakan hidup dengan hutang, pendapatan yang tidak stabil, kos hidup yang terlalu laju meningkat dan mereka juga paling banyak terdedah kepada jenayah kewangan digital. 

Data terkini daripada BNM Financial Capability and Inclusion Survey 2024 menunjukkan gambaran yang membimbangkan. Secara keseluruhan, boleh ditafsirkan bahawa generasi muda kini menanggung tekanan kewangan yang sangat hebat.

Kita selalu mengulang naratif bahawa belia ialah pewaris masa depan. Tetapi cuba renungkan, masa depan macam apa yang sedang mereka warisi? Jika angka dan cerita dalam laporan BNM menjadi cermin, gambaran itu agak gelap sekiranya tiada intervensi awal. 

Usaha kerajaan melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026 – 2030 (NS2.0), sebuah kerangka yang digagaskan bagi membantu rakyat Malaysia menguruskan kewangan dengan lebih baik merangkumi semua peringkat umur, harus disambut baik.

Inisiatif ini bertujuan membina generasi yang lebih celik kewangan, mampu merancang masa depan dengan bijak dan menghadapi cabaran ekonomi secara mantap.

Hutang bermula awal dan pendapatan tidak setara

Masalah pertama yang menghimpit anak muda ialah beban hutang yang bermula terlalu awal. Dalam laporan BNM, kategori “Feeling of Indebtedness” menunjukkan bahawa belia merupakan kumpulan yang paling tinggi tahap keterbebanan hutangnya. 

Ramai graduan memasuki alam dewasa dengan komitmen kewangan yang tidak sepadan dengan pendapatan seperti hutang PTPTN, kredit kedai, bayaran BNPL (Buy Now Pay Later), dan hutang dengan rakan atau keluarga. Lebih menyedihkan, hutang ini bukan untuk membeli rumah atau aset jangka panjang, tetapi untuk menampung kehidupan asas.

Dulu, anak muda yang memasuki IPTA atau universiti awam biasanya tidak terlalu terbeban hutang kerana banyak biasiswa dan bantuan pendidikan tersedia. Kini, selepas graduasi, majoriti belia sudah mula menanggung hutang bulanan.

Tambahan pula, kadar pengangguran (unemployment rate) sebanyak 10 peratus membuktikan ramai yang memperoleh pekerjaan yang tidak menuntut kelayakan ijazah atau diploma, seperti jawatan dalam perkhidmatan jualan atau sektor ekonomi gig.

Ekonomi gig merujuk kepada sistem pekerjaan yang dilakukan berdasarkan projek atau kontrak jangka pendek, bukan sebagai pekerjaan tetap. Bagi graduan yang bekerja, gaji permulaan kebanyakannya kurang daripada RM3,000.

Fenomena ini bererti, walaupun bergelar graduan, hidup anak muda hari ini lebih sukar berbanding generasi terdahulu. Laporan BNM (2020 hingga 2024) menjelaskan bahawa walaupun gaji meningkat sekitar tujuh peratus, kenaikan kos barangan dan perkhidmatan mencecah sembilan peratus, menyebabkan kuasa beli sebenar rakyat merosot dua peratus.

Dengan kos hidup yang meningkat lebih pantas daripada pendapatan, ruang kewangan untuk menabung atau berbelanja secara selesa semakin terhad.

Hidup financially stretched” dalam ekonomi mencengkam

Ramai anak muda melangkah ke dunia pekerjaan dalam keadaan “financially stretched”. Mereka tidak ada ruang selesa untuk bernafas atau merancang masa depan dengan tenang dan sedikit kesilapan pun boleh menjerumuskan mereka ke dalam tekanan kewangan yang serius.

Budaya digital, “painless payment” dan risiko jenayah kewangan

Tekanan semakin teruk apabila gaya hidup digital hari ini mempercepat tabiat berbelanja secara impulsif. Tahun 2024 menunjukkan penggunaan perkhidmatan kewangan digital meningkat kepada 92 peratus, iaitu tertinggi dalam sejarah negara.

Belia ialah pengguna terbanyak platform digital. Oleh sebab itu, mereka paling terdedah kepada budaya “painless payment”, iaitu pembayaran melalui swipe, klik atau scan tanpa rasa duit mengalir keluar.

Laporan BNM mencatat 37 peratus rakyat mengaku berbelanja lebih impulsif di platform online. Ia bukan sekadar isu diskaun 11.11 atau 12.12 tetapi struktur psikologi yang dipacu oleh platform digital. Ia sengaja direka untuk membuat pengguna membeli tanpa berfikir panjang.

Kealpaan atau kejahilan terhadap risiko transaksi kewangan menambahkan satu lagi lapisan masalah. Hanya 39 peratus responden menyemak keselamatan laman web sebelum transaksi dan sekitar 15 peratus masih berkongsi PIN atau kata laluan perbankan. Amalan keselamatan digital yang longgar ini khususnya ketara dalam kalangan belia yang sering memandang remeh risiko yang mungkin timbul.

Namun pada hakikatnya, penipuan kewangan telah berkembang menjadi industri gelap bernilai ratusan juta ringgit. Golongan belia pula menjadi antara mangsa yang paling mudah terdedah kerana mereka sentiasa berada dalam talian, tetapi tidak dibekalkan dengan ilmu dan kemahiran yang mencukupi untuk berdepan ekosistem digital yang tidak selamat.

Ketiadaan simpanan kecemasan dan kerapuhan belia

Dalam keadaan sedemikian, golongan belia masih belum berupaya membina simpanan kecemasan. Data BNM mendapati 61 peratus rakyat Malaysia sukar menyediakan RM1,000 untuk kecemasan. Walaupun angka ini tidak dipecah mengikut umur, laporan itu menyebut secara jelas bahawa golongan muda dan pekerja gig ialah kumpulan paling rentan secara kewangan.

Pendapatan yang tidak menentu, kos hidup yang tinggi dan simpanan yang hampir tidak wujud meletakkan mereka dalam kedudukan yang sangat rapuh. Satu sahaja kejutan kewangan kecil seperti motosikal rosak, kehilangan pendapatan sebulan atau kecemasan keluarga, sudah cukup untuk menolak mereka ke dalam kitaran hutang jangka pendek yang lebih merosakkan.

Generasi sandwich: Menanggung dua generasi sekali gus

Lebih mencemaskan, belia hari ini bukan hanya perlu memikirkan kewangan sendiri. Data menunjukkan ramai generasi 50-an dan 60-an kini tidak cukup simpanan persaraan, tidak cukup KWSP dan semakin bergantung kepada anak.

Keadaan ini menunjukkan anak muda hari ini bakal memikul beban kewangan dua generasi iaitu diri sendiri dan ibu bapa mereka. Kita mungkin sedang menyaksikan lahirnya generasi “sandwich” yang paling nipis kemampuan dan paling tebal tekanannya.

Ketiadaan jaring keselamatan sosial 

Dalam ekonomi yang berubah dengan begitu pantas, semakin ramai anak muda beralih kepada pekerjaan gig atau kerja bebas. Meskipun menawarkan fleksibiliti, dapatan BNM Financial Capability and Inclusion Survey 2024 menunjukkan bahawa pekerjaan gig hadir dengan kos yang besar, termasuk pendapatan yang tidak stabil, kesukaran membuat anggaran perbelanjaan, ketiadaan perlindungan sosial, ketiadaan caruman persaraan serta kecenderungan lebih tinggi untuk berbelanja di luar kemampuan.

Keadaan ini bukanlah sepenuhnya kegagalan anak muda, sebaliknya mencerminkan kelemahan suatu sistem dalam melindungi kelompok tenaga kerja muda yang semakin mencabar untuk bertahan membina hidup sendiri.

Kesemua dapatan ini membentuk satu naratif yang jelas iaitu belia Malaysia berada dalam keadaan genting, bukan kerana mereka malas atau manja, tetapi kerana mereka melangkah ke alam dewasa tanpa benteng kewangan yang mencukupi. Mereka memasuki pasaran ekonomi yang semakin kompleks dengan persediaan yang tidak setara dengan risiko yang perlu ditanggung.

Kelemahan pendidikan kewangan dan kegagalan sistemik

Di sinilah persoalan paling penting perlu kita jawab iaitu adakah kita sudah memberi anak muda kemahiran kewangan yang mereka perlukan untuk bertahan? Sistem pendidikan kita masih mengajar kalkulus dan hafalan formula, tetapi tidak dapat membuat para belia celik mengurus kewangan.

Belia perlu faham apa itu kadar faedah kompaun, cara mengurus bajet, cara membaca penyata bank, cara mengesan scam digital atau bagaimana BNPL boleh memerangkap seseorang dalam hutang mikro jangka panjang. Kelemahan ini bukan sekadar “gap pengetahuan”; ia adalah isu keselamatan ekonomi nasional.

Keperluan revolusi literasi kewangan

Semakin ramai sarjana, NGO dan pemain industri menegaskan perlunya Malaysia melaksanakan “revolusi literasi kewangan” bermula dari sekolah. Pendidikan kewangan bukan lagi kemahiran tambahan tetapi kemahiran bertahan hidup. Jika murid belajar tentang hutang, risiko, simpanan dan keselamatan digital seawal usia sekolah menengah, mereka tidak akan melangkah ke alam dewasa dengan buta.

Salah satu inisiatif yang semakin mendapat perhatian ialah siri pembelajaran Duit Yourself, sebuah usaha pendidikan kewangan percuma melalui aplikasi OpenAcademy.

Siri ini menyediakan 11 modul praktikal yang menyentuh semua kemahiran asas yang anak muda sepatutnya pelajari di sekolah iaitu memahami slip gaji, cara membaca caruman KWSP dan PERKESO, menyusun bajet harian, mengurus hutang, menabung secara konsisten, memulakan pelaburan selamat dan perancangan kewangan jangka panjang.

Krisis struktur, dasar awam dan peranan negara

Anak muda yang celik kewangan menjadi pengguna yang lebih bijak, pembayar cukai yang lebih bertanggungjawab dan warganegara yang lebih berdaya tahan. Malaysia tidak akan menjadi negara berdaya saing jika generasi pekerja mudanya rapuh.

Krisis kewangan belia bukan krisis moral, bukan krisis sikap dan bukan krisis individu semata-mata. Ia krisis struktur yang wajib ditangani secara terancang melalui dasar belia, reformasi gaji, literasi kewangan wajib, perlindungan pekerja berpendapatan rendah, kawal selia BNPL serta skim seumpamanya, dan kempen keselamatan digital yang serius.

Kesan sosial, ketidaksamarataan dan rangkaian domino

Pertumbuhan ekonomi yang tinggi tidak menjadi jaminan automatik kepada kesejahteraan rakyat. Jika dompet rakyat semakin susut sementara angka KDNK terus memanjat, pertumbuhan itu tidak membantu menjaga kebajikan rakyat secara keseluruhan.

Apabila tekanan kewangan menjadi kronik, kesannya tidak berhenti pada neraca ekonomi tetapi mengesani institusi kekeluargaan dan merapuhkan sosial masyarakat. Semakin ramai anak muda menangguhkan perkahwinan kerana merasakan diri belum “layak” secara kewangan, kadar pembentukan keluarga menurun dan rumah tangga pula bergelut dengan tekanan kos hidup yang membebankan. 

Dalam masyarakat yang terhimpit, isu kesihatan mental meningkat, jenayah kecil bertambah dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi mula terhakis. Inilah rangkaian kesan domino yang jarang terakam dalam laporan rasmi, tetapi sangat jelas terasa di meja makan setiap keluarga Malaysia. 

Pada masa yang sama, jurang kekayaan melebar. Malaysia mempunyai Gini Index sekitar 0.39 iaitu satu angka yang menggambarkan ketidaksamarataan pendapatan masih tinggi dan membelenggu. Angka itu bukan sekadar ukuran teknikal tetapi kepada pengalaman hidup generasi muda yang bergelut dengan kos hidup yang melampaui kadar kenaikan gaji. 

Sementara segolongan kecil menambah kekayaan, sebahagian besar anak muda berasa ditinggalkan oleh sistem yang seolah-olah tidak memihak kepada mereka. Dari kegusaran itu tumbuh rasa sinis, keberanian mempertikai dasar dan kepekaan yang lebih tajam terhadap ketidakadilan sosial.

Ketidaksamarataan bukan sekadar isu ekonomi tetapi berupaya menjadi bahan bakar kepada kemarahan generasi yang merasakan masa depan mereka disempitkan dalam sebuah sistem yang kian tidak seimbang.

Generasi muda Malaysia terhimpit. Namun tekanan bukan alasan untuk menyerah kalah. Dengan intervensi bijak, pendidikan praktikal dan sokongan sistemik, generasi ini boleh bangkit menjadi generasi paling berdaya tahan.

Basmin Maarof
Pegawai Kanan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia