Bijak Mengurus Langkah Pertama Celik Kewangan

Peningkatan kes kebankrapan dalam kalangan belia di Malaysia menimbulkan kebimbangan terhadap kesejahteraan hidup masyarakat.

Kajian yang dijalankan oleh Jabatan Insolvensi menunjukkan hampir 60 peratus daripada 46,132 rakyat Malaysia dari tahun 2018 berumur 25 hingga 44 tahun telah diisytihar bankrap.

Kebanyakan kes kebankrapan yang dilaporkan oleh Jabatan Insolvensi ialah kegagalan membuat bayaran pinjaman terutama pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan, sewa beli kenderaan, perumahan dan hutang kad kredit.

Adakah isu ini timbul kerana disebabkan kurang ilmu pengurusan kewangan kendiri atau amalan gaya hidup yang keterlaluan?

Apa jua alasan yang dihumban, harus diingat bahawa kefahaman dan hala tuju yang jelas dalam penentuan keperluan, kehendak serta gaya hidup wajib diuruskan bagi mengelak daripada terhumban ke dalam kebankrapan. 

Celik kewangan penting

Peristiwa Covid-19 menjadi petunjuk jelas kepada kepentingan celik kewangan sebagai kemahiran yang utama bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat untuk mempersiapkan diri dengan situasi tidak dijangka.

Kesejahteraan kewangan merujuk kepada keupayaan seseorang individu memenuhi tanggungjawab kewangan semasa dan akan datang, mempunyai jaminan dengan masa depan kewangan serta mampu untuk membuat pilihan bagi menikmati kehidupan. 

Justeru, bagi menyokong keperluan tersebut, kerajaan telah mengumumkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan yang telah menumpukan kepada tiga hasil strategik iaitu:

  1. Menyimpan, mengurus dan melindungi wang
  2. Merancang dan memastikan masa depan yang mampan
  3. Melindungi diri daripada skim penipuan kewangan 

Setiap individu tidak mengira umur juga kedudukan perlu mempunyai kemahiran pengurusan kewangan dan ia boleh dimulakan dari peringkat sekolah dengan mewujudkan subjek berkaitan pengurusan kewangan yang melibatkan aspek seperti pengurusan wang, perancangan bajet, pengurusan hutang dan pelaburan.

Islam turut menekankan aspek pengurusan kewangan bagi memastikan perjalanan hidup yang terjamin. Acuan Islam dalam menguruskan kewangan penganutnya bertujuan membentuk manusia ke arah yang lebih baik, seterusnya meraih keredaan dan rahmat daripada Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 278 dan 279 yang bermaksud:  

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki-baki riba itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan daripada Allah SWT dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian), kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”

Manusia yang gagal dalam perancangan sebenarnya telah merancang untuk gagal. Justeru, kegagalan manusia di akhirat kelak kerana gagal menuruti perintah Allah SWT sewaktu di dunia.

Ayat di atas jelas menunjukkan penegasan Allah SWT terhadap pengurusan harta melalui pengharaman aktiviti riba yang boleh menyebabkan terjerumus ke lembah ancaman disebabkan tidak menghiraukan aspek halal dan haram kerana mengejar keuntungan dunia semata-mata. 

Pengurusan kewangan menurut perspektif Islam

Kesejahteraan hidup merupakan elemen terpenting kehidupan manusia, maka manusia memerlukan sistem pengurusan kewangan dalam kehidupan mereka. Matlamat pengurusan kewangan dalam Islam menjurus kepada perkara-perkara berikut:

a) Memenuhi keperluan hidup yang sederhana

Kesederhanaan menjadi nilai yang penting perlu disematkan dalam jiwa-jiwa individu. Hari ini ramai yang terjerat dengan diri sendiri sehingga terpaksa memikul bebanan hutang yang yang menyusahkan kerana meletakkan kemahuan lebih daripada kemampuan.

Walaupun memenuhi kemahuan diharuskan oleh agama, namun hukumnya boleh menjadi makruh atau haram apabila berlakunya pembaziran terhadap kemahuan tersebut. 

Islam menegah perbuatan pembaziran, lebih-lebih lagi hari ini ramai dalam kalangan masyarakat bertindak melampau dalam perbelanjaan kerana mahukan pujian orang ramai di media-media sosial. Firman Allah SWT dalam Surah al-‘Araaf ayat 32 dan Surah al-Israa’ ayat 26-27 yang bermaksud:

Katakanlah:  “Siapakah  yang  mengharamkan  perhiasan  Allah  yang  dikeluarkan  untuk  hamba-hamba-Nya,  dan  juga  benda-benda  baik  dan halal daripada rezeki yang dikurniakan?

Dan  janganlah  kamu  membazirkan  harta  kamu  itu  dengan sewenang- wenangnya.  Sesungguhnya  orang  yang  suka  membazir  itu adalah saudara syaitan.

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:

“Makanlah kamu dan minumlah kamu, bersedekah dan pakailah pakaian tanpa boros dan sombong.” (Riwayat Ibnu Majah [3605), Hasan oleh al-Albani)

b) Memperuntukkan simpanan kecemasan (luar jangka)

Peruntukan kecemasan atau dengan apa-apa terma yang hendak diguna pakai dalam bajet kewangan bulanan mahupun tahunan membawa maksud peruntukan luar jangka yang perlu disediakan.

Persediaan terhadap situasi luar jangka telah digariskan oleh Islam melalui keperluan manusia menyimpan barang keperluan sewaktu berada dalam situasi kesusahan. Firman Allah dalam Surah al-Israa’ ayat 29 yang bermaksud:

“Janganlah  engkau  membelenggu  tanganmu  di  lehermu  (terlalu kedekut)  dan  janganlah  pula  engkau  menghulurkan  dengan  seluas-luasnya (terlalu boros) kerana akibatnya engkau akan tercela dan menyesal.”

Rasulullah SAW juga sentiasa memperingatkan sahabat-sahabat baginda agar tidak menghabiskan semua harta walaupun harta tersebut digunakan untuk tujuan di jalan Allah kerana keperluannya pada masa hadapan. 

3) Menyumbang di jalan Allah

Pepatah ‘Erti hidup kepada pemberi’ merupakan prinsip mulia yang menjadi resipi kejayaan sistem pengagihan dalam Islam.

Islam menggalakkan aktiviti membabitkan khidmat dan pertolongan kepada kumpulan yang memerlukan. Rasulullah SAW menganggap manusia ibarat keluarga kepada Allah dan sebaik-baik manusia yang disayangi oleh Allah ialah orang yang berbuat baik terhadap keluarganya. 

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW siapakah manusia yang paling disukai oleh Allah SWT. “Jawab Rasulullah SAW; manusia tersebut adalah manusia yang berguna kepada masyarakatnya. Dan perbuatan yang paling disukai oleh Allah SWT ialah kegembiraan yang ditimbulkan untuk seseorang Islam yang lain atau melepaskannya daripada kesedihan, atau membayar hutang yang ditanggung oleh orang tersebut atau menyelamatkannya daripada kelaparan.” (Riwayat al-Dimyati [1632], Hadis Hasan)

Literasi kewangan yang lestari

Pengetahuan dalam menguruskan kewangan yang bijak penting bagi mengimbangkan perbelanjaan dan pengurusan hutang, memilih pelaburan yang mematuhi syariah seterusnya memperoleh pendapatan yang diberkati.

Mengurus kewangan berdasarkan prinsip-prinsip Islam adalah wasilah untuk mendapatkan hasanah di dunia dan akhirat. 

Bagi mencapai matlamat dalam pelan perancangan kewangan yang lestari, pengetahuan yang  komprehensif dengan mengambil kira kemaslahatan sendiri seperti keperluan jasmani dan rohani, perbelanjaan untuk kemaslahatan orang lain seperti sedekah, infak dan wakaf untuk kemaslahatan umat Islam merupakan keseimbangan yang dituntut oleh Islam.

Justeru, pengurusan kewangan yang sistematik menurut perspektif Islam akan mengambil kira komponen-komponen seperti pengurusan kredit dan aliran tunai, pengurusan risiko dan perancangan takaful, perancangan pelaburan Islam, perancangan zakat dan cukai, perancangan persaraan dan perancangan harta pusaka dan perwakafan.  

Literasi kewangan ini sangat penting bagi mencapai maqasid syariah iaitu penjagaan harta dan seterusnya menjawab persoalan yang bakal ditanya pada hari akhirat kelak tentang bagaimana harta dibelanjakan, sama ada untuk kebaikan ataupun perkara yang dilarang oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

“Tidak akan berganjak kedua-dua kaki anak Adam pada hari kiamat sehingga ditanya tentang umurnya pada apa ia dihabiskan, tentang usia mudanya pada apa digunakan dan tentang hartanya daripada mana ia diperolehi dan bagaimana ia dibelanjakan dan tentang ilmunya pada apa ia diamalkan?” (Riwayat Tirmidzi [2417], Sahih oleh al-Albani)

Setiap individu terutama umat Islam perlu cakna dengan literasi kewangan Islam untuk mencapai keberkatan dalam hidup.

Sesungguhnya harta yang melimpah ruah tidak membawa apa-apa erti jika tiada keberkatan, bahkan boleh menjadi fitnah kerana perasaan tidak cukup yang meluap-luap sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuklah rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Dr Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman

Pensyarah Kanan 

Arshad Ayub Graduate Business School

UiTM, Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia