Konvoi Rasuah Busters: Santai tapi sampai

Siri Konvoi Rasuah Busters kedua telah berlangsung selama empat hari berturut-turut bermula Khamis, 20 Januari hingga Ahad, 23 Januari 2022 di beberapa lokasi di Negeri Sembilan dan Melaka.

 

Pada konvoi kali ini, pasukan Rasuah Busters telah bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain yang mana akan ada aktivis-aktivis yang menanti untuk menyantuni masyarakat dan menyebarkan mesej antirasuah yang dibawa.

 

Dalam pada itu, ahli-ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dari Negeri Sembilan dan Melaka turut bekerjasama memeriahkan program yang diadakan.

 

Lokasi pertama konvoi kali ini adalah di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Gemas, Negeri Sembilan yang mana sumbangan bantuan telah diagihkan kepada lebih 200 orang mangsa bencana banjir di sana.

 

Pada hari kedua pula, konvoi diteruskan ke Felda Jelai 3, juga di Gemas melalui program Singgah Santun yang turut diserikan dengan perkongsian oleh Pencetus Ummah (PU) Raihan tentang bahaya rasuah di Masjid Nurul Huda.

 

Konvoi seterusnya dimeriahkan di Pangkin, Kuala Pilah dengan aktiviti kemasyarakatan, sukaneka santai serta acara menyampaikan mesej antirasuah kepada orang ramai.

 

Mesej antirasuah turut disampaikan oleh Naib Presiden IKRAM, Shahrul Aman Mohd Saari dan aktivis masyarakat, Abdul Malek Alias serta juru ukur bahan berdaftar, Jumilah Abdul Malek.

 

Pada hari ketiga, aktiviti konvoi bersama penduduk Taman Rasa Sayang telah diadakan di Masjid Ar-Raudhah, Senawang antaranya sumbangan wakaf al-Quran dan pengumpulan naskhah al-Quran yang telah rosak untuk dilupuskan.

 

Satu Kempen Cintai al-Quran turut digerakkan oleh pihak pengurusan masjid, selain pelbagai aktiviti sukan santai, pemeriksaan kesihatan oleh IKRAM Health dan pertandingan mewarna disediakan kepada orang ramai.

 

Konvoi kemudiannya diteruskan ke Melaka dengan aktiviti santai dan mesej antirasuah di Pantai Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka dan disambung lagi di Dataran Keris, Alor Gajah.

 

Pada hari terakhir, konvoi Rasuah Busters diteruskan dengan Singgah Santun di Kampung Portugis, Ujong Pasir, Melaka. Aktiviti mewarna bersama kanak-kanak kampung di situ telah diadakan bagi memeriahkan lagi suasana sekali gus menanamkan tentang bahaya rasuah kepada mereka.

 

Aktiviti konvoi diakhiri dengan program Kompas Rasuah Busters ‘On The Go’ bertajuk ‘Rasuah: Mak Kata Jangan, Hawau!’ di Pasaraya Mydin, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Air Keroh.

 

Bicara ini dikendalikan moderator Masruddin Rahmat yang menampilkan Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa dan Penyelidikan Untuk Kelestarian (IDRIS), Datuk Mohd Nizam Mahshar dan Pemangku Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Mohd Nizam Mohd Isa sebagai ahli panel jemputan.

 

Konvoi Rasuah Busters ini telah mendapat sambutan yang begitu baik daripada golongan muda mahupun golongan berusia kerana ia merupakan suatu gerakan segar yang menyentuh akar umbi.

 

Program yang santai lagi segar dengan jiwa masyarakat ini harus dipuji dan wajar diteruskan berikutan mesej yang dibawa mudah dan senang difahami iaitu menolak rasuah.

 

Seluruh warga Malaysia termasuk golongan luar bandar perlu diberi pendedahan yang jelas terhadap bahayanya gejala rasuah ini.

 

Mungkin terdapat segolongan masyarakat yang kurang pasti atau tidak tahu tentang rasuah, malah mungkin juga terdapat golongan yang terlibat dengan rasuah secara tanpa sedar. Dengan aktiviti-aktiviti yang sedang dilakukan Rasuah Busters, usaha ini diharap dapat difahami dan menyerdarkan mereka.

 

Sedar atau tidak, rasuah merupakan isu yang perlu diberi perhatian sebelum menjadi barah yang mampu merosakkan sebuah tamadun.  Bayangkan jika hari ini anak muda belasan tahun sudah mula diperkenalkan dengan rasuah. Boleh kita bayangkan bagaimana generasi muda ini akan berkembang?

 

Kanak-kanak juga perlu didik tentang bahaya rasuah. Sedari kecil mereka perlu didedahkan bagaimana rasuah ini boleh menular.

 

Sebagai contoh, ibu bapa perlu menasihati anak-anak agar berhati-hati supaya tidak menerima atau memberi suapan sebagai upah atau dorongan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugasnya.

 

Kalau dulu masyarakat begitu takutkan dengan bahaya dadah, sekarang rasuah sama bahayanya dengan dadah. Sekali terjebak, susah untuk keluar daripada gejala ini.

 

Dalam Islam, dadah dan rasuah ini merupakan entiti haram yang perlu dijauhi sepenuhnya kerana amat memudaratkan masyarakat. Maka, begitulah yang perlu kita terapkan kepada masyarakat betapa pentingnya menghindarkan najis rasuah.

 

Rasuah Busters merupakan sebuah kempen untuk menyedarkan masyarakat bahawa untuk mencegah rasuah, segalanya bermula daripada diri sendiri. Jagalah diri sendiri dan elakkan daripada terlibat dengan gejala rasuah.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia