Konflik Asia Barat: Utamakan Prinsip dalam Menilai

umat islam

Dalam suasana politik dunia yang semakin tegang dan kompleks, umat Islam, khususnya di Malaysia, sekali lagi berhadapan dengan persoalan yang membingungkan: Bagaimana seharusnya kita menentukan pendirian yang benar dalam konflik antarabangsa melibatkan kuasa-kuasa besar yang saling bertelagah?

Kekeliruan ini bukan sekadar berpunca daripada kekurangan maklumat, tetapi juga daripada kegagalan untuk membina kerangka penilaian yang berasaskan prinsip.

Akibatnya, umat Islam sering terperangkap dalam dilema, antara prinsip agama atau kepentingan strategik, antara keadilan moral atau sentimen sektarian, yang akhirnya menyebabkan kita gagal mencapai kejelasan nilai yang sepatutnya menjadi asas pertimbangan.

Merujuk kepada suhu geopolitik Asia Barat yang semakin memuncak, terutamanya susulan konflik terbuka AS-Israel dan Iran sejak sebulan yang lalu, wacana awam sering disempitkan kepada pilihan yang simplistik, seolah-olah kita, umat Islam, perlu memihak kepada salah satu blok secara mutlak.

Ada yang bersolidariti dengan Iran sehingga digambarkan sebagai “pembela agama”, manakala tidak kurang juga yang melihat tindakan ketenteraan terhadap Iran sebagai wajar, dengan memberi justifikasi penglibatan Iran dalam konflik di Syria dan Iraq sejak sekitar 2011 (perang saudara Syria) dan pasca-2023 di Iraq, termasuk sokongan kepada kumpulan bersenjata tertentu yang dituduh menekan komuniti Sunni dalam konteks konflik tersebut.

Malangnya, pendekatan seperti ini gagal menangkap kerumitan sebenar realiti geopolitik yang berlapis-lapis. Kekeliruan ini pada asasnya berpunca daripada kegagalan membezakan antara penilaian berasaskan prinsip dan penilaian berasaskan kepentingan strategik.

Dalam banyak wacana, Iran sering dilihat secara reduksionis melalui lensa perbezaan mazhab, lalu dilabel sebagai ancaman utama kepada dunia Sunni. Dalam masa yang sama, hakikat penjajahan berterusan oleh Israel terhadap Palestin kerap diketepikan atau dianggap sebagai isu pinggiran.

Akibatnya, orientasi pendirian umat menjadi sangat tidak seimbang antara dipandu oleh reaksi terhadap naratif semasa, berbanding prinsip yang lebih tetap.

Tanpa pembezaan yang jelas antara kedua-dua kerangka ini, umat Islam berisiko membentuk pendirian yang bercanggah antara satu sama lain, malah tersasar daripada asas keimanan dan keadilan yang sepatutnya menjadi neraca utama dalam menilai setiap konflik.

Peristiwa sejarah daripada Surah ar-Rum

Jika kekeliruan umat hari ini berpunca daripada kegagalan membezakan antara prinsip dan reaksi terhadap naratif semasa, maka al-Quran sebenarnya telah lama memberikan kerangka pembetulan melalui Surah ar-Rum.

Ayat ini bukan sekadar merakam peristiwa sejarah antara Rom dan Parsi, tetapi juga boleh dianggap suatu pembinaan cara berfikir umat dalam menilai konflik antarabangsa. Firman Allah SWT dalam ayat 1 hingga 5 Surah ar-Rum berbunyi:

الم (1) غُلِبَتِ الرُّومُ (2) فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُمْ مِنْ بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ (3) فِي بِضْعِ سِنِينَ لِلَّهِ الْأَمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ (4) بِنَصْرِ اللَّهِ يَنْصُرُ مَنْ يَشَاءُ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ  (5)

Maksudnya: “Alif lam mim (1) Telah kalah tentera Rom (2) Di kawasan yang berdekatan (Syam) dan mereka sesudah dikalahkan akan mengalahkan lawan mereka (yakni Parsi) (3) Dalam hanya beberapa tahun. Kepada Allah jualah kembali segala urusan, sebelum berlaku dan setelah berlakunya, dan pada hari kemenangan itu orang beriman akan bergembira (4) Dengan kemenangan daripada Allah. Allah memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihi.” (Ar-Rum: 1-5)

Ayat ini merakamkan satu realiti geopolitik pada zaman awal Islam apabila tentera Rom dikalahkan oleh tentera Parsi. 

Dari segi sejarah, peristiwa yang dirujuk dalam ayat-ayat Surah ar-Rum di atas merupakan konflik besar antara Empayar Byzantine (Rom Timur) dengan Empayar Sasanian (Parsi) pada awal abad ketujuh Masihi. Sekitar tahun 613 – 614, tentera Parsi di bawah pemerintahan Khosrow II berjaya menewaskan tentera Byzantine dalam beberapa siri peperangan, termasuk di kawasan Syam.

Kekalahan ini sangat signifikan sehingga kota-kota penting seperti Damsyik, Jerusalem (Baitul Maqdis), dan sebahagian besar wilayah Palestin jatuh ke tangan Parsi. Sumber-sumber sejarah seperti karya Theophanes the Confessor dan at-Tabari turut merekodkan skala kekalahan ini sebagai antara yang paling berat dalam sejarah Byzantine.

Perkataan أَدْنَى الْأَرْضِ merujuk kepada wilayah Syria dan Palestin hari ini. Menurut ramai ahli tafsir klasik seperti Ibn Kathir dan al-Qurtubi, أَدْنَى الْأَرْضِ “kawasan yang berdekatan” digunakan untuk merujuk kepada wilayah Syam kerana faktor geografinya yang sangat hampir dengan Semenanjung Arab, sekali gus menunjukkan bahawa peristiwa ini diikuti secara rapat oleh masyarakat Arab pada waktu itu.

Namun setelah melaporkan kekalahan, al-Quran menjanjikan pula bahawa Rom akan kembali menang dalam tempoh بِضْعِ سِنِينَ “beberapa tahun” yang lazimnya antara tiga hingga sembilan tahun.

Sejarah membuktikan kebenaran janji ini apabila Maharaja Byzantine, Heraclius, melancarkan serangan balas bermula sekitar tahun 622 dan berjaya mencapai kemenangan penting ke atas Parsi dalam beberapa pertempuran, termasuk kempen yang membawa kepada kemenangan penentu sekitar tahun 627 (Pertempuran Nineveh). 

Peristiwa ini diakui dalam kajian sejarah moden seperti oleh Walter E. Kaegi yang meneliti kebangkitan semula Byzantine selepas hampir runtuh. Kemenangan ini bukan sahaja mengubah keseimbangan kuasa di rantau tersebut, tetapi juga mempunyai makna teologi yang mendalam bagi umat Islam awal.

Pengajaran ayat

Namun, yang lebih penting bagi saya ialah bagaimana al-Quran membingkai peristiwa ini, bukan dari sudut siapa yang kuat, tetapi siapa yang lebih dekat dengan kebenaran.

Ayat ini menceritakan bahawa bangsa Rom (penganut agama Nasrani) telah dikalahkan oleh bangsa Parsi (penganut Majusi) pada peringkat awal kenabian. Namun, Allah SWT menjanjikan bahawa Rom akan kembali menang dalam tempoh beberapa tahun, dan ketika itu orang-orang beriman akan bergembira (يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ).

Persoalan penting di sini ialah: Mengapa orang beriman bergembira dengan kemenangan Rom? Jawapannya bukan kerana Rom adalah kuasa besar yang sempurna atau sekutu politik umat Islam, tetapi kerana mereka adalah Ahli Kitab yang lebih dekat kepada prinsip tauhid berbanding Parsi yang berpegang kepada kepercayaan penyembahan api.

Dengan kata lain, walaupun Rom bukan sebahagian daripada umat Islam, mereka tetap dinilai lebih hampir dari sudut akidah. Di sinilah letaknya asas penting bagi penilaian umat Islam terhadap sesuatu konflik.

Ia sepatutnya tidak didasarkan pada siapa yang paling kuat atau paling menguntungkan secara strategik, tetapi siapa yang lebih dekat dengan prinsip keimanan dan kebenaran

Bahkan, kegembiraan itu juga berkait dengan kemenangan kebenaran itu sendiri sama ada melalui terbuktinya janji Allah (nubu’ah yakni renungan masa depan Nabi Muhammad SAW) atau kemenangan nilai yang lebih hampir kepada tauhid.

Ternyata, sejarah tidak bergerak secara rawak, tetapi berada tepat di bawah ketentuan Allah SWT:

لِلَّهِ الْأَمْرُ مِنْ قَبْلُ وَمِنْ بَعْدُ

Kepada Allah jualah kembali segala urusan, sebelum berlaku dan setelah berlakunya.” (Surah ar-Rum: 4)

Maka sangat penting bagi kita untuk kembali berpegang kepada prinsip dalam menentukan pendirian. Dalam kerangka ini, pertimbangan akidah dan nilai mesti mendahului pertimbangan geopolitik.

Jika dalam konteks Rom yang bukan Muslim pun dinilai berdasarkan kedekatan kepada tauhid, maka lebih-lebih lagi dalam konteks umat Islam (Sunni-Syiah) sendiri. Kesatuan asas akidah tidak wajar diketepikan ketika berhadapan dengan ancaman yang lebih jelas.

Dalam masa yang sama, realiti semasa di Asia Barat menunjukkan bahawa ancaman utama terhadap kestabilan serantau tidak boleh dipisahkan daripada peranan Israel di sana. 

Aspirasi peluasan pengaruh dan dominasi geopolitik yang dikaitkan dengan ideologi Zionisme, bersama sejarah panjang konflik sejak penubuhan negara tersebut pada tahun 1948, menjadikan isu ini lebih daripada sekadar pertikaian sempadan.

Ia melibatkan pengusiran berterusan rakyat Palestin, baik Muslim mahupun Kristian, daripada tanah mereka, serta pelbagai bentuk penindasan yang berterusan hingga ke hari ini.

Dalam konteks inilah, persoalan yang lebih mendesak perlu ditekankan: Adakah wajar umat Islam terus berada dalam keadaan ragu-ragu untuk menentukan sikap dan pendirian terhadap pihak yang menentang struktur kezaliman ini?

Dalam konteks Malaysia pula, pendirian negara yang tidak pernah mengiktiraf Israel, serta hubungan diplomatik yang sedia terjalin dengan Iran bagi saya memberikan asas yang jelas untuk membentuk sikap yang lebih konsisten.

Pendirian ini tidak bermaksud sokongan mutlak terhadap semua dasar Iran, tetapi setidak-tidaknya menunjukkan bahawa solidariti dalam menghadapi kezaliman yang lebih besar perlu dinilai dalam kerangka prinsip, bukan semata-mata sentimen atau persepsi sektarian.

Merujuk semula kepada pengajaran Surah ar-Rum, walaupun umat Islam Madinah bakal berhadapan dengan ancaman daripada Empayar Rom seperti dalam peristiwa Mu’tah pada tahun ke-8 H dan Tabuk pada tahun ke-9 H (2 – 3 tahun kemudian), kemungkinan ini tidak menghalang mereka daripada berasa gembira apabila Rom berjaya mengalahkan Parsi pada tahun ke-6 H sebagaimana disebut dalam al-Muharrar al-Wajiz oleh Ibn Atiyyah. 

Kegembiraan ini, perlu difahami, bukan kerana kesetiaan politik, tetapi kerana Rom sebagai Ahli Kitab dilihat lebih dekat kepada tauhid berbanding Parsi yang berpegang kepada kepercayaan Majusi.

Penegasan prinsip

Justeru, analogi Rom-Iran ini menuntut kita untuk menilai semula pendirian semasa. Sikap berhati-hati terhadap Iran, sama ada kerana isu mazhab Syiah di Malaysia ataupun penglibatannya dalam konflik di Syria dan Iraq sejak 2011, tidak seharusnya membawa kepada pengabaian prinsip keadilan dalam konteks konflik yang berbeza.

Tanpa pembezaan ini, umat Islam berisiko terperangkap dalam naratif yang bercampur-aduk, cacamarba, sehingga gagal membina pendirian yang konsisten, berasaskan prinsip sebagaimana yang ditunjukkan oleh al-Quran dan sejarah awal Islam. 

Semoga kita sentiasa berada di bawah panduan al-Quran yang mulia, amin.

Dr Amer Hudhaifah Hamzah
Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia