SHAH ALAM – Konvensyen Malaysia Negara Rahmah (KMNR) 2023 dengan tema ‘Pendekatan Rahmah Memacu Malaysia MADANI’ dianjurkan sebagai sebuah wahana diskusi selain turut mengetengahkan pelbagai model solusi dengan pendekatan rahmah.
Usaha-usaha ini dilakukan dalam merealisasikan visi Negara Rahmah selari dengan gagasan Malaysia MADANI dalam konteks meletakkan nilai-nilai yang luhur dalam membangunkan negara.
Demikian jelas Pengarah KMNR 2023, Prof Dr Hanim Salleh semasa menyampaikan ucapan aluannya di hadapan kira-kira 500 hadirin yang terdiri daripada jemputan khas, penaja, jemputan media, ahli panel pembentang, para peserta dan petugas hari ini, di sini.
“Dua objektif utama konvensyen ini ialah yang pertama, mengupas isu ekonomi, integrasi nasional, kesejahteraan sosial, kepimpinan, tadbir urus dan reformasi institusi bersama pakar bidang dan pemegang taruh. Yang kedua, mengetengahkan model solusi yang praktikal berdasarkan pendekatan rahmah berkaitan isu-isu kesenjangan yang kritikal dalam masyarakat untuk membangun Malaysia MADANI,” ujarnya.
Tambahnya, dalam rangka usaha menyokong usaha-usaha kerajaan dan pembinaan negara, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah menubuhkan Jawatankuasa Agenda Nasional IKRAM.
“Setakat ini terdapat 14 buah buku daripada siri penerbitan dan kajian Agenda Nasional,” katanya.
Antaranya ialah Malaysia yang Kita Impikan, Satu Ilustrasi 12 Ciri Negara Rahmah, Laporan Indeks Negara Rahmah, Sistemic Desktop Study on the Sosio-culture of Youth in Malaysia, Personal Values and Tools for Effective Qualification dan Isu Terbantut dalam Kalangan Kanak-Kanak di Malaysia.
Turut diterbitkan adalah Masalah Penyalahgunaan Dadah di Kalangan Masyarakat di Malaysia, Dasar Keluarga Negara: Semakan dan Cadangan Penambahbaikan, Ekonomi Berasaskan Komuniti dan beberapa lagi kajian berkaitan mobiliti sosial dan memperkasakan kehidupan komuniti bandar.
Prof Dr Hanim yang juga merupakan Ketua Kluster Kepimpinan Berwibawa dan Berintegriti IKRAM turut memberitahu bahawa terdapat beberapa siri wacana ILMAN dengan kerjasama ILMAN yang bertajuk Perpaduan Nasional, Kepimpinan Kompeten dan Berintegriti, dan Kesejahteraan Rakyat.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan bahawa gagasan Malaysia MADANI adalah selari dengan ciri-ciri negara Rahmah dalam konteks meletakkan nilai-nilai luhur sebagai acuan dalam membangunkan negara bagi mencapai kemajuan dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur bersama KMNR 2023, iaitu Kajian Dasar IKRAM (KADRI) dan IDEAL Bhd serta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ihsan Care, Hidayah Centre Foundation, Yayasan IKRAM Malaysia dan 18 lagi rakan kerjasama yang telah menjayakan penganjuran konvensyen tersebut serta semua pihak yang terlibat.
“Diharapkan semua peserta dapat mengambil peluang berinteraksi, merapatkan kerjasama serta berkongsi pandangan bagi menjayakan pendekatan rahmah dalam memacu Malaysia MADANI,” katanya sebelum mengakhiri ucapannya.
Dalam perkembangan berkaitan, pelbagai aktiviti menarik telah disusun oleh penganjur KMNR 2023 untuk semua pengunjung konvensyen antaranya pameran dan cabutan hadiah, manakala pada petangnya turut berlangsung lapan sesi plenari melalui empat persidangan selari yang melibatkan seramai 32 ahli panel pembentang dari pelbagai agensi Kerajaan, institusi pengajian tinggi, badan swasta, NGO dan CSO.