Baginda mengemukakan tiga cabaran utama yang dihadapi oleh umat Islam dunia dikaitkan dengan 3P iaitu kemakmuran, bumi dan manusia itu sendiri (Prosperity, Planet and People).
Dalam ketiga-tiga cabaran ini, baginda menekankan isu berkaitan manusia (people) iaitu umat Islam; mereka yang tidak mempunyai negara dan kewarganegaraan (nationless), juga umat Islam yang menjadi pelarian.
“Kita berbincang bagaimana pembangunan boleh meningkatkan kemakmuran kepada negara akan tetapi bagaimana ummah, saudara seislam kita yang tiada negara? Yang telah dipaksa meninggalkan rumah mereka dan melarikan diri dari negara mereka kerana penderitaan, konflik dan penganiayaan?” titah baginda.
Dalam pada kita berbincang isu-isu pembangunan, pendidikan, kemakmuran bersama, penggunaan teknologi terkini untuk membangunkan negara, baginda mahu isu asas bantuan dan perhatian kepada umat Islam yang masih menjadi pelarian dan ditindas di seluruh dunia menjadi perhatian.
Sebanyak 70 juta manusia tiada tempat tinggal dan 26 juta adalah pelarian dan 10 juta pelarian lebih daripada satu pertiga datang dari negara yang majoriti umat Islam. Mereka terdiri daripada wanita, kanak-kanak, orang tua.
“Bagaimana kita boleh menggunakan kemajuan yang kita teruskan dalam bidang pembangunan dan kedaulatan negara untuk membantu mereka yang sangat memerlukan di luar sempadan kita sendiri untuk memberi rumah kepada orang-orang yang tiada tempat tinggal dan suara kepada yang tidak bersuara?” titah baginda.
Baginda berharap isu pelarian ini dapat menjadi salah satu agenda yang diberi keutamaan untuk ditangani walaupun baginda tidak menafikan bantuan-bantuan negara umat Islam yang besar seperti Turki, Iran, Pakistan, Jordan dan Lubnan yang telah memberi ruang yang besar kepada pelarian di negara mereka. Namun menurut baginda, dunia Islam boleh melakukan lebih banyak lagi terhadap permasalahan yang dihadapi ini.
“Kita mempunyai tanggungjawab penting kepada saudara Muslim kita yang menjadi pelarian ini. Kita mesti mula melakukan yang lebih baik untuk membantu mereka dan menawarkan mereka rumah dan harapan sebagaimana golongan Ansar menerima dan mambantu golongan Muhajirin ketika hijrah Rasulullah sallallahualaihiwasallam,” ujar baginda.
Baginda mempamerkan kepada peserta yang hadir gambar Alan Kurdi berumur tiga tahun yang mati lemas terdampar di pantai kerana melarikan diri bersama keluarganya menyeberangi laut Mediterranean untuk mencari perlindungan di Eropah.
“Adakalanya orang mengatakan gambar melambangkan beribu perkataan. Namun, gambar ini membuat kita langsung tidak dapat mengeluarkan kata-kata,” titah baginda membuatkan peserta terpana dan terdiam terhadap kisah Alan Kurdi ini.
Baginda berharap lebih banyak negara umat Islam yang semakin maju dan makmur dapat memberikan tempat tinggal yang lebih baik, selamat dan produktif untuk pelarian umat Islam.
Baginda mengakhiri ucapan dengan mengingatkan delegasi agar segala yang dibincangkan dan disepakati dalam persidangan ini dilaksanakan segera tanpa bertangguh.