Aidiladha adalah hari kemenangan. Kemenangan melawan rasa ragu dan enggan untuk berkorban di jalan Allah SWT.
Oleh itu, setiap kali menjelang Hari Raya Aidiladha, tidak pernah lekang daripada ingatan kita terhadap tiga tokoh utama dalam peristiwa korban: Ibrahim, Ismail dan Hajar.
Mereka telah mengajarkan kita tentang bagaimana sepatutnya seorang Muslim mendidik diri dan keluarga mengamalkan nilai pengorbanan.
Namun pada kali ini, kita cuba menghayati pula tiga pelajaran tentang pengorbanan melalui seorang lagi tokoh wanita yang tidak kurang hebatnya, iaitu Maryam a.s.
Mungkin ada yang belum tahu, beliau adalah satu-satunya wanita yang disebut namanya secara spesifik di dalam al-Quran sebanyak 24 kali.
Bahkan, namanya diabadikan menjadi nama sebuah surah dalam al-Quran. Lahir pula dari rahim Maryam, seorang rasul, Nabi Isa a.s., yang termasuk golongan paling unggul antara para rasul, iaitu Rasul Ulul Azmi.
Sidang pembaca yang budiman, mari kita hayati bersama tiga pelajaran dari kisah Maryam.
1. Pendidikan anak dimulai daripada perbaikan diri ibu dan ayah
Maryam adalah anak kepada Imran dan Hannah, sebuah keluarga yang sangat baik dan dimuliakan oleh Allah. Hannah begitu menginginkan seorang anak. Doa munajat beliau diceritakan dalam al-Quran Surah Ali Imran ayat 35 yang bermaksud:
“(Ingatlah), ketika isteri Imran berkata, “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku bernazar kepada-Mu, apa (janin) yang dalam kandunganku (kelak) menjadi hamba yang mengabdi (kepada-Mu), maka terimalah (nazar itu) daripadaku. Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui.”
Tatkala mengandungkan Maryam, ibundanya adalah seorang yang solehah, yang selalu berdoa agar anak yang lahir akan dididik untuk menjadi seorang yang mengabdikan diri kepada Allah SWT.
Hannah mengajarkan kita, untuk melahirkan anak yang baik dan mampu berkorban, ia perlu dimulai daripada harapan ibu ayah serta perbaikan diri yang terus-menerus kepada Allah SWT. Ini adalah langkah pertama dalam tarbiah anak serta membina kemahiran keibubapaan yang baik.
2. Menumbuhkan keimanan walau dalam lingkungan yang tidak sempurna
Keimanan yang tinggi adalah landasan kepada jiwa yang mampu berkorban, walaupun lingkungan keluarga dan masyarakat kita tidak sempurna. Memang betul, Maryam lahir dalam keluarga yang sangat soleh.
Namun keluarganya bukan juga keluarga yang sempurna. Imran meninggal dunia saat Maryam masih dalam kandungan. Jadi, Maryam membesar tanpa kasih seorang ayah. Beliau akhirnya dijaga oleh bapa saudara sebelah ibunya, iaitu Nabi Zakaria a.s. di Baitul Maqdis.
Nabi Zakaria menjaga Maryam dengan sentuhan iman kepada Allah SWT. Maryam beranjak dewasa dalam keadaan selalu beribadah di mihrabnya, sehingga dilimpahi rezeki hidangan dari langit.
Walau berada dalam lingkungan keluarga yang tidak sempurna, Maryam dianugerahi penjaga yang soleh, Nabi Zakaria. Beliau memainkan peranan yang sangat baik dan akhirnya Maryam tumbuh membesar dalam suasana soleh, keimanan dan selalu dalam amal kebaikan.
3. Pengorbanan dalam ketaatan
Ujian ke atas Maryam tiba, saat didatangi oleh Jibril. Betapa terkejut diri Maryam ketika diberitahu beliau akan mengandung. Mana mungkin dirinya mengandung, sedangkan dia tidak pernah disentuh sekali pun oleh lelaki.
Ketika Jibril mengatakan itu adalah perintah dan ketentuan Allah (Qala kadzaliki qala rabbuki) (Surah Maryam ayat 21), Maryam dengan pasrah namun penuh ketaatan menyatakan kesediaan menerima perintah tersebut.
Tidak dapat dibayangkan oleh akal kita, pengorbanan emosi, fizikal dan mental yang dilalui oleh Maryam, saat mengandungkan Nabi Isa bersendirian. Begitu juga pergolakan emosi yang dihadapi kerana kerisauan akan tohmahan masyarakat kelak terhadapnya.
Sehingga ke satu tahap, beliau begitu tertekan lalu terkeluar dari lisannya sebuah ungkapan kesedihan luar biasa yang dirakamkan dalam Surah Maryam ayat 23:
“(Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang.”
Pernyataan ini bukanlah bermakna Maryam tidak reda dengan perintah Allah. Namun, detik itu adalah puncak kesedihan dirinya ketika hendak bersalin.
Setelah itu, kegalauan Maryam beransur tenang dengan nikmat Allah berupa sungai yang mengalir berdekatan dengannya, serta buah tamar yang jatuh dari pohon sebagai sumber tenaga untuknya.
Allah memuliakan Maryam
Sidang pembaca, betapa agung pengorbanan Maryam a.s. Ketaatan terhadap perintah Allah telah menjadikan dirinya dan anaknya menjadi wasilah tanda kebesaran Allah SWT.
“Dan telah Kami jadikan (Isa) putera Maryam beserta ibunya suatu bukti yang nyata bagi (kekuasaan Kami), dan Kami melindungi mereka di suatu tanah tinggi yang datar yang banyak terdapat padang-padang rumput dan sumber-sumber air bersih yang mengalir.” (Al-Mukminun: 50)
Tepat sekali redaksi daripada al-Quran dalam Surah at-Tahrim ayat ke-12 semasa menggambarkan pengorbanan Maryam dalam ketaatan terhadap perintah Allah SWT.
Setelah menjelaskan kesucian diri Maryam, Allah menjelaskan sifatnya dengan kalimah: saddaqat bikalimati rabbiha wa kutubih (dia telah membenarkan kalimat Tuhan-Nya dan kitab-kitab-Nya) wa kanat minal qanitin (dan tergolong daripada kalangan mereka yang taat).
Semoga kisah Maryam menginspirasi kita untuk kembali memulakan semula tarbiah diri dan anak-anak kita dengan doa, perbaikan diri serta menanamkan iman yang teguh.
Agar akhirnya, kita mampu berkorban jiwa, emosi, fizikal dan mental demi mentaati Rabb Yang Maha Kuasa, meski diri dan sekeliling kita jauh daripada sempurna.
Salam pengorbanan. Salam Aidiladha.
Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia