Rasulullah SAW bersabda:
سيكون في آخر أمتي أناس يحدثونكم ما لم تسمعوا أنتم ولا آباءكم. فإياكم وإياهم
“Akan datang pada umatku di akhir zaman, mereka bercakap (hal agama) kepada kamu semua, perkara yang tidak pernah kamu dan bapamu dengar. Maka jagalah dirimu dan berhati-hatilah dengan mereka.”
Hadis bermimpi berjumpa dengan Nabi SAW adalah sebuah hadis yang thabit dan para ulamak tidak berkhilaf di dalam perkara ini.
Yang menjadi khilaf adalah ARAHAN Nabi SAW yang keluar daripada mimpi tersebut.
Yang menjadi khilaf juga adalah berjumpa Nabi SAW dalam keadaan YAQAZAH (sedar, jaga). Implikasinya juga adalah ARAHAN yang keluar daripada perjumpaan tersebut.
Arahan yang datang setelah kewafatan Nabi SAW bermaksud syariat yang telah disempurnakan oleh Allah SWT di dalam Firman-Nya di bawah belum lagi sempurna. Ia boleh membina kecelaruan dalam kalangan umat Islam. Firman Allah:
ۗ الْيَوْمَ يَئِسَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِ ۚ الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ
“Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Al-Maidah: 3)
Cuba bayangkan pula bagaimana keadaan umat Islam apabila ramai ulama yang akan mendakwa mereka telah berjumpa dengan Nabi SAW dan baginda telah menyuruhnya dengan beberapa arahan.
Bercakap dengan apa yang tidak pernah kamu dan bapamu dengar inilah yang dimaksudkan dengan bid’ah yang sebenar.
Bermimpi berjumpa dengan Nabi SAW sambil membawa arahan daripadanya juga adalah bid’ah yang pasti menunjukkan bahawa syariat Allah SWT masih lagi belum lengkap.
Sidang Jumaat sekalian,
Sebagaimana kita tahu bahawa telah berlaku rampasan kuasa oleh kudeta yang diketuai As-Sisi di Mesir. Rampasan ini didukung oleh Israel dan mendapat dana sebahagiannya daripada beberapa negara Arab yang kaya. Yang paling menyedihkan, (kudeta) disokong oleh fatwa bekas Mufti Mesir iaitu Dr Ali Jum’ah yang mendakwa bermimpi jumpa Nabi SAW di mana perjuangan As-Sisi adalah betul dan mesti disokong dan ada juga Syeikh yang mendapat ilham/mimpi bahawa Ikhwan Muslimin adalah tali barut Israel.
Sidang Jumaat sekalian,
Kita nak tanya siapa yang sedang berjuang mempertahankan Palestin sekarang, bukankah Ikhwan Muslimin atas nama Hamas? Siapa yang berjuang mengembalikan kuasa rakyat melalui pilihan raya, yang selama ini rakyat dibelenggu oleh pemerintahan tentera? Bukankah Ikhwan Muslimin, Presiden yang menang adalah Morsi?
Siapa yang mengerahkan segala kekuatan dan ahlinya membantu tentera Mesir melawan Israel dalam perang Sinai? Bukankah Ikhwan? Siapakah yang sanggup dihukum gantung, ditembak, di penjara dek kerana berjuang untuk mengembalikan kehidupan masyarakat berlandaskan syariat Islam yang mana Al-Quran dan As-Sunnah menjadi rujukan? Bukankah Ikhwan seperti As-Syahid Hasan Al-Banna, Syed Qutb dan lain-lain?
Jawatankuasa Majlis Fatwa Saudi yang dipengerusikan oleh Almarhum Syeikh Abdul Aziz Bin Baz telah memfatwakan Ikhwan Muslimin antara tiga jamaah Islam yang dekat dengan al-Haq (kebenaran), sila rujuk fatwa nombor 6250.
Sesungguhnya mereka inilah (Ikhwan) yang membeli syurga dengan jiwa dan harta mereka seperti mana firman Allah:
إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُم بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَۚ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَۖ
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah, maka (di antara) mereka yang membunuh dan terbunuh.” (At-Taubah: 111)
Sidang Jumaat sekalian,
Imam dan khatib Masjidil Haram Mekah, Syeikh Sa’ud Ash-Shuraim menegaskan bahawa dakwaan Mufti kudeta tentera Mesir, Ali-Jum’ah bermimpi bertemu dengan Rasulullah SAW yang menyuruh supaya membunuh rakyat adalah satu “kejahatan yang nyata”.
Beliau membawa hadis: “Akan ada di akhir zaman nanti manusia dari kalangan umatku yang berkata kepada kamu apa yang kamu tidak pernah dengar sebelumnya begitu juga datuk nenek kamu. Maka berhati-hati lah kamu dan berhati-hatilah mereka itu.”
Beliau menambah: “Kadang-kadang mereka tidak menemui satu nas pun di dalam syariat atau satu alasan yang munasabah dari sudut akal untuk dijadikan sandaran kepada jenayah yang mereka telah lakukan, maka mereka cuba berpaut pada tali yang rapuh seumpama sarang labah-labah dengan mendakwa bertemu di dalam mimpi.”
وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنكَبُوتِۖ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ
“Padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling rapuh ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang berpengetahuan.” (Al-Ankabut: 41)
Pada Isnin 14 Oktober 2013, seorang Ulama Moroko (Maghribi) spesialis masalah Maqasid Asy-Syari’ah Al-Islamiyyah, Syeikh Dr Ahmed al-Raisuni mengatakan bahwa mantan Mufti Mesir, Ali Jum’ah, terlibat (dosanya) membunuh setiap jiwa yang terbunuh dan setiap kezaliman yang dilakukan rejim kudeta akibat fatwanya.
Pernyataan ini ditujukan kepada perkataan Ali Jum’ah di hadapan pegawai tentera dan polis Mesir yang menyeru membunuh para (peserta) demonstrasi yang menentang kudeta tentera dan menganggap mereka sebagai Khawarij.
Al-Raisuni berkata, “Perkataan Jum’ah itu adalah pemberi semangat yang jelas untuk membunuh orang-orang yang menentang kudeta. Oleh karena itu, dia termasuk dalam pembunuhan setiap jiwa yang terbunuh dan kezaliman yang dilakukan akibat fatwanya.”
Sidang Jumaat sekalian,
Pengaruh pemikiran Ali Jum’ah ini telah meresap dalam jiwa sebahagian umat Islam di negara ini, bahkan di kalangan bijak pandai. Yang lebih mengejutkan ada seorang doktor (PhD) apabila ditanya mengenai isu Mesir dan mengenai Dr Yusuf Al-Qaradawi tentang fatwanya, berkata doktor tersebut: “Syeikh Ali Jumaah pandangannya lebih dekat kepada hak dan kepada Yusuf Al-Qaradawi, dia ulama’ syaitan.”
Yang paling menyedihkan ada juga penceramah selebriti menyebut bahawa pengikut-pengikut Ikhwan adalah di kalangan Wahhabi dan Salafi. Ini antara usaha untuk memecah belahkan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Beliau menyebut lagi, Ikhwan bercita-cita nak menutup Universiti Al-Azhar.
Ini satu lagi pembohongan yang besar sebab semasa Perdana Menteri Gaza Ismail Haniyyah melawat Masjid Al-Azhar semasa Dr Morsi memerintah tahun lepas, Ikhwan mengisytiharkan untuk mempertahankan institusi Al-Azhar di samping melancarkan jihad di Syria.
Astaghfirullahal ‘azim, inilah pandangan yang menampakkan bahawa musuh Islam dalam pelbagai kelompok telah berjaya menutup pandangan hati, menilai kebenaran yang nampak jelas di hadapan mata. Bagaimana peranan Israel membantu rampasan kuasa dan didokong oleh golongan anti Islam serta disokong oleh kumpulan tarikat yang menyeleweng? Apakah boleh dipakai hujjah mimpi Rasulullah SAW yang membenarkan kezaliman As-Sisi membunuh rakyat yang tidak berdosa?
Ya Allah! Selamatkan kami daripada terpengaruh dengan pandangan yang menyesatkan. Berilah hidayah kepada kami agar kami dapat membezakan yang hak itu hak dan yang batil itu batil. Tunjukkanlah jalan yang benar kepada hamba-Mu yang tidak boleh membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
Sumber: http://goo.gl/fqnxW1