BANDAR BARU BANGI – Kewangan sosial memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara dan menjadi dasar untuk negara rahmah. Negara rahmah menggagaskan ciri-ciri ekonomi yang mampan, agihan kekayaan yang saksama dan pembangunan yang lestari. Melalui kewangan sosial, kita dapat memastikan bahawa setiap lapisan masyarakat, terutamanya golongan yang terpinggir, mendapat capaian kepada sumber dan peluang yang saksama.
Dalam ucapan aluannya, Tn. Hj. Badlishah Sham Baharin, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyebut bahawa visi Malaysia sebagai Negara Rahmah adalah untuk membina masyarakat yang sejahtera dan harmoni. Dalam masyarakat seperti ini, setiap individu dapat hidup dengan bermaruah dan berpeluang mencapai potensi mereka. Kewangan sosial, insya-Allah, dapat membantu kita mencapai visi ini dengan menyediakan sokongan kepada golongan yang memerlukan.
Seminar Kewangan Sosial bertemakan “Kewangan Sosial Pemangkin Ekonomi MADANI” yang diadakan ini merupakan sebahagian daripada Simposium Bina Negara 2024 (SBN’24) yang telah diadakan sehari sebelumnya. Seminar ini merupakan anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Malaysian Association of Muslim Finance Professionals (MFP) dan Kajian Dasar IKRAM Sdn. Bhd. (KADRI). Seminar ini diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kewangan sosial dalam kalangan pihak-pihak berkepentingan, selain menjadi platform untuk membina rangkaian dalam bidang kewangan sosial.
Memetik ucapan perasmian, YBhg. Tan Sri Azman Mokhtar, Pengerusi Malaysia International Islamic Finance Centre (MIFC) menyebut, “Secara kolektif saya percaya, setiap daripada kita sebagai Muslim mendambakan sistem dan fungsi kewangan Islam yang dapat mengangkat “real economy” selain merapatkan jurang ekonomi melalui inisiatif Philanthropy Capital iaitu Zakat Wakaf Sedekah.”
Objektif utama kewangan sosial adalah untuk menggalakkan pembangunan mampan dan inklusif. Ia merangkumi pelbagai inisiatif seperti pelaburan bertanggungjawab sosial (SRI), kewangan mikro, dan pelaburan berimpak. Institusi kewangan, syarikat dan organisasi bukan kerajaan semakin mengiktiraf kepentingan mengintegrasikan aspek sosial dalam strategi pelaburan mereka. Melalui kewangan sosial, pelabur dapat menyelaraskan aspirasi mereka untuk mendapatkan pulangan kewangan dengan keinginan untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Slot seterusnya pula disambung dengan pembentangan daripada Yayasan Wakaf Malaysia, Pertubuhan IKRAM Malaysia, dan pengamal industri. YBrs Dr. Ridzwan Bakar dari Yayasan Wakaf Malaysia membentangkan tajuk “Peranan Wakaf dalam Kewangan Sosial”. Dalam penyampaian itu, beliau menerangkan tentang ekosistem, zakat, wakaf dan filantropi di malaysia, cabaran yang dihadapi dan kejayaan milestone yg telah dicapai. Satu inovasi yang dilaksanakan oleh YWM ialah wakaf dalam sistem pelaburan. Menurut beliau, asas kepada wakaf ini ialah menggabungkan kebajikan dan keuntungan. Sebagai contoh, YWM mempunyai empat hotel yang diwakafkan. Pengoperasian hotel wakaf ini telah memberi peluang pekerjaan kepada ramai asnaf. Keuntungan daripada hotel ini digunakan untuk perkara kebajikan dan sebahagian lagi digunakan untuk pusingan modal pengoperasian.
Pembentangan seterusnya ditampilkan oleh Mohamad Adli Baco dari Pertubuhan IKRAM Malaysia/KADRI yang bertajuk “Kewangan Sosial dari Perspektif Tingkah Laku Penderma”. Menurutnya, kejayaan kewangan sosial juga sangat bergantung kepada penderma iaitu pewakaf, pemberi zakat dan filantropi. Sehubungan itu, IKRAM telah membangunkan satu konstrak instrumen untuk melihat dari sudut bagaimana kita boleh mendorong penderma untuk bersama-sama membangunkan kewangan sosial yg berasaskan nilai yang dibawa oleh Islam.
Dalam ucapan penutup, Encik Mohamad Abdul Hamid, Ketua Kluster Kemakmuran Ekonomi IKRAM berkata, “Kita dapat melihat potensi besar dalam kewangan sosial untuk membangunkan sosioekonomi masyarakat dan negara dan seterusnya membangunkan ekonomi negara.”
Beliau menjelaskan, IKRAM sangat komited untuk terus berperanan dalam membangunkan kewangan sosial dengan lebih agresif dan tangkas melalui gerak kerja advokasi, kajian dan solusi. Usaha ini melibatkan kerjasama daripada pelbagai pihak sama ada daripada sektor awam, badan agama, pusat zakat, pusat kajian dan sebagainya.