Ketika semua aktiviti bernilai pahala

Dan pernahkah terdetik di fikiran anda bahawa bersikap ramah, membantu dan mengutamakan orang lain adalah ibadah? Bahkan, pernahkah kita terfikir bahawa setiap tangisan sedih dan ketawa, dan usaha memperbaiki diri, berteman juga boleh dianggap ibadah?

 

Musim-musim PKP ni, adakah anda terfikir menuruti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan duduk di rumah juga adalah ibadah? Nah, jika belum, saya kira ini adalah pencerahan yang kita perlukan untuk kita sama-sama keluar daripada kesempitan memandang apa yang namanya ibadah.

 

Saya akan berkongsi tentang sebuah buku bertajuk ‘Ibadah Tanpa Beban’. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana saya kira buku ini telah memberikan saya satu kesegaran kepada bagaimana saya melihat sesuatu dengan objektif dan menurut perspektifnya.

 

Buku ini ditulis oleh Dr Moch Syarif Hidayatullah diterbitkan oleh Gramedia Pustaka Utama, Jakarta, Indonesia. Buku yang saya beli ini ialah cetakan Jun 2015, mempunyai 270 muka surat dengan 33 topik ataupun ibadah yang diketengahkan dan dikupas.

 

Buku ini hadir untuk memberi cara pandang yang lebih luas dalam melihat ibadah. Ibadah itu ternyata bukan setakat rukun islam yang lima dan tidak hanya berbentuk sebuah ritual, tetapi juga tutur kata, sikap tubuh dan perilaku sosial.

 

Ibadah itu tiada sempadan apatah lagi bermusim, tidak mengikut masa dan tidak pula mengikut tempat. Dalam pengenalan buku ini, penulis menerangkan tentang bahaya cara pandang sempit terhadap ibadah.

 

Kata penulis, apabila seseorang memiliki mindset (penetapan minda) bahawa ibadah itu sekadar solat atau puasa, atau kewajipan Muslim yang hanya tertulis secara jelas dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW semata-mata, maka akan tiba suatu masa dalam kehidupan seseorang itu di mana ia merasakan ibadah itu adalah hanya sebagai rutin. 

 

Atau, dia hanya melakukannya untuk menggugurkan kewajipan semata-mata gara-gara gagal untuk memahami roh di sebalik setiap ibadah yang Allah telah gariskan, perintahkan dan anjurkan. Hal ini seterusnya akan menggagalkan tujuan ibadah untuk membentuk perilaku seseorang untuk menjadi manusia yang lebih baik.

 

Seseorang itu mungkin solat cukup lima waktu, pada awal waktu tetapi tidak memiliki ‘common sense’ sesama manusia, tidak menjaga lidah dan bahasa.

 

Ada yang mungkin menunaikan haji, tetapi tidak menghalangnya untuk berkorupsi. Mungkin ada yang rajin puasa, tetapi perihal orang lain dan gosip sensasi menjadi bahan bualan utama yang menarik minatnya.

 

Ada orang yang mengamalkan banyak amal kebajikan, membantu orang ramai tetapi merasakan dirinya yang paling bagus dan memandang rendah kepada orang lain, dan tidak berlaku rahmah, ramah, berbelas ihsan dan meraikan orang lain yang berbeza latar belakang, agama, kaum, kerakyatan dan mungkin kumpulan.

 

Seseorang boleh sahaja terlihat rajin ataupun alim beribadah, tetapi ia gagal untuk memahami bahawa ibadah itu sebenarnya bukan setakat tentang hubungannya dengan Tuhan.

 

Tetapi ibadah juga adalah tentang hubungannya dengan dirinya sendiri berkait rapat dan berhubung langsung dengan hubungannya dan diri orang lain, manusia di sekitarnya dan dirinya dengan masyarakat setempat, senegara, seagama dan manusia yang lain, bahkan juga tentang dirinya dan makhluk hidup lain di sekelilingnya.

 

Dalam erti kata lain, ibadah itu tidak hanya didasarkan atas ada atau tidak ada dalil yang jelas dan literal dalam mana-mana sumber agama, tetapi ia juga atas dasar disukai atau tidak sesuatu perkara, perbuatan, perkataan, diam itu oleh Allah SWT, Tuhan yang mencipta kita, memiliki segala sesuatu dan menentukan aturan seluruh kehidupan.

 

Saya kira penulis, Dr Moch Syarif Hidayatullah hadir dengan pendekatan yang baik dan sederhana apabila beliau menyentuh contoh-contoh ibadah atau subibadah yang mungkin sering kita abaikan dan terlepas pandang; terlepas pandang dalam erti kata gagal melihatnya sebagai ibadah, bukan setakat merasakan itu adalah hal yang normal atau fitrah semata-mata.

 

Penulis membantu pembaca untuk memahami bagaimana contoh-contoh tersebut boleh dilihat sebagai ibadah, disusuli dengan dalil-dalil yang mendasari perkara tersebut, baik dalil naqli atau dalil aqli

 

Antara ibadah dan subibadah yang disentuh oleh penulis termasuklah ibadah cinta, ibadah menjaga lidah, ibadah menikmati kesederhanaan, ibadah kematian, ibadah memimpin, ibadah memuliakan ibu, ibadah mengidolakan Rasulullah SAW, ibadah kejujuran dan menghormati, ibadah puasa, ibadah solat sunat dan ibadah pernikahan.

 

Selain sangat kagum dan suka dengan cara penulis mengupas setiap topik, saya kira penulis telah melakukan satu kerja yang bagus apabila menyediakan ruang untuk mengajak pembaca terlibat secara langsung dengan content (bahan) dan isi kandungan buku ini. 

 

Di akhir setiap topik, penulis membekalkan beberapa tip yang simple dan praktikal, dan menyediakan ruang untuk pembaca menilai diri sendiri dan merancang masa hadapan.

 

Ini tidak lain dan tidak bukan adalah supaya pembaca boleh mempraktikkan dan internalize (menghayati) mesej-mesej yang disampaikan dengan baik. Begitulah sedikit sebanyak pengenalan tentang buku ‘Ibadah Tanpa Beban’ ini.

 

Nur Raihana Zakaria
Graduan Perubatan
Ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia
Bandar Tun Razak

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia