Kesihatan Mental Sejahtera Kunci Kebahagiaan Bersama

Pada 9 Oktober 2024, negara dikejutkan dengan kematian tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun di hadapan pintu utama. Motosikal mereka dirempuh kereta SUV jenis Honda CRV. Keesokan harinya Sinar Harian melaporkan bahawa suspek pemandu, seorang suri rumah beranak tiga dipercayai mengalami masalah mental.

Suami suspek mengakui isterinya berkelakuan aneh dan mula berhalusinasi sejak kematian anak 10 tahun yang lepas. Pada malam kejadian, isterinya telah keluar rumah tanpa disedari.

Suspek diberitakan oleh jiran sebagai seorang yang sangat baik dan tidak pernah mengganggu masyarakat sekitar. Namun, bapa kepada salah seorang mangsa tetap dengan pendiriannya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas suspek bagi menuntut keadilan buat anaknya.

Penyakit mental boleh terjadi kepada individu yang mempunyai kesihatan mental yang teruk. Individu bermasalah kesihatan mental tidak mampu menguruskan tekanan, cabaran dan emosi dalam kehidupan seharian dengan cara yang positif.

Mereka tidak mempunyai keseimbangan emosi, tiada kebolehan untuk berfikir secara rasional dan tidak mampu menjalani kehidupan dengan rasa aman dan puas. Adalah disarankan supaya kita mengambil langkah berjaga-jaga jika mempunyai ciri-ciri di bawah:

  1. Ketidakseimbangan emosi membuatkan seseorang tidak dapat mengawal perasaan seperti kemarahan, kebimbangan dan kesedihan dengan cara yang sihat dan akan membiarkan emosi tersebut menguasai dirinya.
  2. Individu yang kurang kepercayaan diri tidak dapat menerima hakikat kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri mereka sepenuhnya. Mereka mempunyai harga diri yang negatif.
  3. Dengan ketidakupayaan menghadapi cabaran, mereka tidak mampu menghadapi tekanan hidup, tidak pandai menghadapi masalah dengan cara yang rasional dan tidak berjaya mencari penyelesaian yang konstruktif.
  4. Individu yang bermasalah mental tidak aktif bersosial, tidak cenderung untuk membina dan memelihara hubungan yang baik dengan keluarga, rakan dan komuniti.
  5. Masalah mental sering kali dikaitkan dengan ketidaksejahteraan kesihatan fizikal. Individu ini tidak cenderung untuk lebih aktif secara fizikal dan alpa tentang penjagaan kesihatan. Mereka kerap diuji dengan kesakitan dan kesihatan.
  6. Ketidakbahagiaan dan ketidakpuasan mengganggu kehidupan seharian individu ini. Mereka tidak berasa gembira dengan perjalanan hidup mereka, berasa tidak puas dengan pencapaian dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam kehidupan.

Setiap ahli masyarakat disarankan mengambil tindakan proaktif dan bijaksana apabila menghadapinya sendiri atau berhadapan dengan individu yang mengalaminya. Bergantung kepada tahap kesihatan mental seseorang, intervensi psikologi, sokongan sosial dan perubahan gaya hidup boleh dilaksanakan. 

Intervensi awal untuk meningkatkan kesejahteraan mental boleh dilakukan sendiri oleh individu kerana dia lebih mengetahui dan mengenali dirinya. Antaranya adalah:

  1. Mengambil makanan yang seimbang serta kaya dengan vitamin, mineral dan protein yang mencukupi, seperti yang terdapat dalam ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan.
  2. Melakukan senaman dan aktiviti fizikal seperti berjalan kaki, aerobik dan mendaki yang konsisten memberi manfaat yang besar terhadap kesihatan mental kerana ia meningkatkan penghasilan endorfin, yang dikenali sebagai “hormon kebahagiaan”, yang boleh membantu meningkatkan mood dan mengurangkan stres.
  3. Tidur yang cukup dan berkualiti serta amalan rutin tidur yang tetap serta persekitaran tidur yang selesa dapat membantu meningkatkan kesejahteraan mental. Kekurangan tidur boleh meningkatkan risiko tekanan, kebimbangan dan kemurungan.
  4. Menghabiskan masa dengan aktiviti yang disukai atau hobi yang menyeronokkan dapat membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan kepuasan hidup. Aktiviti ini memberi peluang untuk fokus kepada perkara yang positif dan memberi kesan baik kepada mental.
  5. Mengamalkan teknik relaksasi seperti berzikir dan pernafasan dalaman (deep breathing) boleh membantu mengurangkan tekanan minda dan menyeimbangkan emosi dalam meningkatkan kesejahteraan mental secara keseluruhan.
  6. Menguruskan stres dengan mengamalkan teknik-teknik seperti pengurusan masa yang baik, penyelesaian masalah dan mengekalkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan dengan memberi masa untuk diri sendiri juga dapat meningkatkan tahap kesihatan individu yang sejahtera.

Individu yang menghadapi gangguan mental memerlukan sokongan sosial yang padu daripada keluarga, rakan dan juga komuniti bagi meningkatkan kesejahteraan mental.

  1. Sokongan keluarga, rakan atau komuniti adalah penting dalam meningkatkan kesihatan mental. Interaksi sosial yang positif dapat mengurangkan rasa kesunyian dan memberi sokongan emosi. Beberapa langkah boleh dicadangkan kepada mereka seperti meminta mereka berbincang dengan orang yang dipercayai, mengambil bahagian dalam kumpulan sokongan atau seumpamanya.
  2. Inisiatif-inisiatiaf bagi meningkatkan pendidikan dan kesedaran kesihatan mental ahli masyarakat melalui kempen, kursus atau bengkel mesti dianjurkan oleh pihak berwajib atau NGO secara berterusan. Hal ini dapat membantu masyarakat untuk lebih memahami dan menerima hakikat betapa perlunya kita menjaga kesihatan mental, mengenal pasti dan akhirnya menangani masalah mental tersebut.

Rawatan profesional diperlukan apabila tahap masalah mental seseorang semakin terjejas dan kritikal.

  1. Terapi Psikologi (Kaunseling dan Psikoterapi) dapat menangani isu kebimbangan, kemurungan atau stres dengan sangat efektif. Terapi yang biasa digunakan termasuk Terapi Kognitif-Perilaku (CBT), Terapi Berfokuskan Penyelesaian dan Terapi Interpersonal.
  2. Ahli psikologi, kaunselor atau pakar psikiatri boleh memberikan sokongan yang lebih mendalam dan membantu merancang pelan rawatan yang sesuai secara profesional.

Dengan menggabungkan beberapa intervensi di atas, individu yang bermasalah boleh meningkatkan kesihatan mental mereka serta dapat menghindarkan kemalangan tragik yang memudaratkan pelbagai pihak seperti kes di atas. 

Oleh itu, setiap ahli masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk membantu orang-orang di sekeliling setiap masa. 

“…Barang siapa yang memberikan kemudahan bagi orang yang mengalami kesulitan di dunia, maka Allah akan memudahkan baginya kemudahan (urusan) di dunia dan akhirat. …” (Hadis riwayat Tirmizi no. 1853

Kesejahteraan mental individu memberi impak positif kepada hubungan keluarga, pekerjaan dan kehidupan sosial. Tingkatkan penjagaan mental sejahtera kerana ia adalah kunci kepada kehidupan individu, keluarga dan masyarakat yang lebih bahagia dan harmonis.

Dr Hajah Azmi Aminuddin

Dungun, Terengganu

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia