Kesan pandemik Covid-19 ke atas kehidupan sememangnya sangat ketara dan ia diramalkan berpanjangan. Ia meliputi semua sektor kehidupan manusia seperti ekonomi, pendidikan, sosial, kesihatan dan alam sekitar.
Namun, banyak laporan dikeluarkan pelbagai agensi seperti Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) menunjukkan golongan wanita lebih terbeban dengan kesan negatif akibat pandemik ini.
Realitinya, sebanyak 70 peratus petugas barisan hadapan yang kini bertungkus-lumus merawat pesakit Covid-19 adalah terdiri daripada wanita.
Majoriti wanita juga dilaporkan mengalami tekanan sangat tinggi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pelbagai bebanan tugasan.
Ini termasuklah menjaga keluarga (suami, anak-anak dan ibu bapa yang uzur), selain menguruskan keperluan seharian di samping perlu menyelesaikan tugas pejabat kerana bekerja dari rumah.
Sebahagian besar daripada jutaan yang kehilangan pekerjaan juga termasuklah wanita. Banyak perkhidmatan kesihatan wanita seperti perancangan keluarga tergendala disebabkan keutamaan yang diberikan kepada pencegahan dan rawatan Covid-19.
Malah, WHO sendiri meramalkan akan berlaku tujuh juta kehamilan tidak dirancang dan tidak dikehendaki semasa pandemik ini.
Kes penderaan dan keganasan rumah tangga juga meningkat ketara, mengancam kesihatan dan keselamatan wanita serta anak-anak mereka.
Dengan latar belakang suasana yang tidak begitu memberangsangkan, Hari Wanita Sedunia tahun ini mengangkat tema Choose to Challenge (Memilih Untuk Mencabar).
Tema ini menuntut wanita untuk melakukan refleksi mendalam dan muhasabah diri yang sejujurnya bagi membantu mengenal pasti potensi, kekuatan, kelemahan dan kekurangan yang ada di dalam diri mereka.
Kesedaran tercetus perlu menatijahkan tujahan semangat dan motivasi dalaman untuk mencipta keupayaan menghadapi kehidupan yang penuh cabaran.
Banyak diperkatakan tentang norma atau kelaziman baharu yang tercetus sejak pandemik Covid-19 itu bermula. Konteks sama mesti juga berlaku dalam sudut pandang kedudukan, peranan dan sumbangan wanita dalam membangunkan masyarakat dan persekitarannya.
Peluang keemasan yang muncul di sebalik musibah Covid-19 mesti dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membina naratif dan nafas baharu kepada perjuangan wanita.
Langkah selanjutnya adalah untuk wanita membuat pilihan bijak menentukan aspek terpenting yang mesti dicabar terlebih dahulu.
Paling utama, wanita mestilah berani mencabar kerangka fikir dan persepsi yang sentiasa menganggap diri mereka lemah, tidak berupaya, kurang berdaya saing dan sentiasa perlu bergantung kepada orang lain.
Sudah berkurun lamanya, tanggapan itu disemai dan dipasak ke dalam benak fikiran wanita, hinggakan mereka sering kali mempersoalkan kemampuan dan keupayaan sendiri.
Banyak label dan stereotaip yang mewarnai kehidupan wanita. Justeru, wanita mesti meninggalkan norma lapuk yang menghalang dan mengehadkan sumbangan bakat serta kepakaran wanita untuk perkembangan masyarakat.
Wanita mesti keluar dari zon selesa dan zon ketakutannya untuk mencabar diri sendiri belajar serta mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk lebih maju lagi.
Norma baharu bagi wanita kini adalah untuk membimbing kerangka fikir dinamik, terbuka, bercambah dan berkembang. Dengan bertambahnya kewibawaan dan keupayaan membangunkan sahsiah diri, wanita akan mula menyerlahkan sumbangan bermakna kepada masyarakat dan mengambil tempat sebagai pemimpin masyarakat yang disegani dan dihormati.
Seterusnya, norma baharu yang mesti dirintis wanita hari ini, adalah untuk menawarkan khidmat bakti kepemimpinan dalam semua ruang lingkup kehidupan, mengambil tempat di saf hadapan bersama kaum lelaki untuk membangunkan masyarakat dan negara pasca pandemik Covid-19.
Banyak kajian menunjukkan pada era digital di mana kecerdasan buatan (AI) mengambil alih pelbagai aspek teknikal dan kemahiran kasar, lantas kepemimpinan hari ini sangat memerlukan elemen yang mengandungi lebih banyak unsur berkaitan emosi dan sosial seperti empati, rendah hati, keupayaan memberi inspirasi dan mampu mengadakan hubungan akrab dengan orang lain.
Ciri-ciri kepemimpinan ini sebenarnya sangat sebati dengan gaya kepimpinan wanita.
Dalam norma lama, ciri-ciri yang berunsurkan kewanitaan ini dianggap sebagai tidak penting, malah merugikan dan tidak efektif.
Disebabkan persepsi ini, sangat sukar untuk pemimpin wanita naik ke jawatan tertinggi dalam organisasi. Sekiranya seorang wanita berjaya dilantik untuk jawatan tinggi, sering kali ia kerana beliau sudah menunjukkan ciri kepemimpinan yang lebih menonjolkan sifat kelelakian (tegas, egois, suka mengambil risiko dan kurang empati).
Persepsi ini mesti diubah segera dengan norma baharu yang membuka ruang seluasnya untuk wanita mengambil tempat sebagai pemimpin masyarakat dan negara.
Malah, pemimpin lelaki disarankan untuk mempelajari dan mengamalkan ciri-ciri kewanitaan dalam memimpin.
Norma baharu seterusnya, menuntut masyarakat dan negara memberikan pengiktirafan yang setimpal dan menyediakan sistem sokongan yang efektif bagi membantu wanita menggapai potensi.
Kelaziman lama yang membiarkan wujud jurang dan cerun kuasa antara individu serta kelompok tidak akan berjaya mewujudkan satu masyarakat yang adil dan saksama.
Aspirasi mencapai kesaksamaan dalam semua aspek bagi setiap individu wanita dan lelaki, sangat perlu dijadikan asas kepada setiap langkah strategik membangunkan masyarakat.
Kemakmuran bersama sebagaimana termaktub dalam Rukun Negara, hanya akan mampu dicapai sekiranya golongan wanita diberi peluang yang sama rata sebagaimana juga lelaki untuk mengembangkan sayap potensi dan keupayaan mereka.
Jika kita gagal merealisasikan norma baharu berkaitan kesaksamaan dan kesamarataan gender, pembelaan terhadap wanita yang paling terkesan dengan pandemik Covid-19 tidak akan berjaya.
Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj
Ahli Dewan Perwakilan Nasional
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Sumber: Berita Harian