Encik A: “Apa khabar awak? Lama kita tidak berjumpa. Sihat ke?”
Encik B: “Alhamdulillah sihat sahaja. Tapi, semenjak dua menjak ini saya kena gout. Payah nak bergerak ke mana-mana sebab sakit yang amat.”
Dialog di atas sudah pasti sinonim dengan kita semua kerana mustahil tiada siapa pernah mengalami rasa sakit atau kesakitan sepanjang hidup.
Secara saintifik, kesakitan atau pain dalam bahasa Inggeris didefinisikan sebagai perubahan emosi serta sensori yang tidak menyenangkan apabila berlaku keradangan atau inflamasi pada tisu menurut Fatimah et. al., (2016) dan International Association for the Study of Pain (2023).
Maka, apabila seseorang mengadu bahawa dia mengalami kesakitan, seorang profesional kesihatan tidak boleh menafikan persepsi sakit tersebut menurut McCaffery (1972).
Jenis kesakitan
Rasa sakit atau kesakitan boleh diklasifikasikan kepada dua jenis utama: 1) Akut dan 2) Kronik. Sakit akut boleh jadi dalam dua situasi iaitu: 1) rasa yang tajam dan tertumpu pada satu lokasi tubuh (Nociceptive) atau 2) rasa kejang dan boleh berlaku pada mana-mana lokasi tubuh (Visceral), manakala sakit kronik biasanya 1) melibatkan saraf tunjang dan saraf periferi tubuh (Neuropathic) atau akibat 2) sakit yang berpunca daripada kanser.
Pada masa yang sama, rasa sakit atau kesakitan turut dikategorikan mengikut lokasi, durasi, intensiti dan etiologi (punca) (Siti Noorkhairina, 2022).
Kita sudah pasti sinonim dengan pertanyaan sebegini oleh profesional kesihatan seperti doktor atau jururawat “Sakit di mana?” atau “Ada rasa sakit ke hari ini? Sudah semakin reda ke?” Soalan-soalan ini sangat penting untuk kita mengenal pasti jenis kesakitan dari aspek berikut:
a) Lokasi – Bagi pesakit jantung atau yang mengalami masalah sakit dalam perut (sebagai contoh pedih hulu hati atau gastro-aesophagal reflux disease), kadangkala akan mengalami simptom yang hampir sama iaitu rasa sakit yang melangkau sehingga ke bahu (referred atau radiated pain).
b) Durasi – Ia merujuk kepada berapa lama seseorang sudah mengalami rasa sakit tersebut. Ia diukur dalam tempoh beberapa minit/jam (akut) sehingga beberapa bulan/tahun (kronik).
c) Intensiti – Berkait rapat dengan tahap kesakitan iaitu ringan (mild), pertengahan (moderate) atau teruk (severe).
d) Etiologi (punca) – Ia berkait rapat dengan kategori jenis Nociceptive atau Neuropathic yang telah disebutkan sebelum ini.
Persepsi tentang sakit
Skala kesakitan boleh diukur secara objektif dari 0-10 menurut sumber Kementerian Kesihatan Malaysia (2018) bagi individu dewasa dan menggunakan Wong-Baker FACES Rating Scale jika kita hendak bertanya pada seorang kanak-kanak.
Namun begitu, persepsi tentang sakit adalah sangat subjektif bagi setiap individu kerana ia dipengaruhi beberapa faktor termasuk fisiologi tubuh, etnik dan budaya, peringkat perkembangan umur, persekitaran dan sistem sokongan seseorang.
Dari aspek fisiologi, ambang sakit (pain threshold) dan kadar toleransi sakit (pain tolerance) seseorang sangat berbeza. Sebagai contoh, seorang atlet sukan kebanyakannya mempunyai pain threshold dan pain tolerance yang tinggi terhadap kesakitan berbanding dengan orang awam.
Hal ini kerana faktor persekitaran akibat senaman dan latihan jangka masa panjang menyebabkan seorang atlet sukan mampu beradaptasi terhadap rasa sakit tersebut.
Seorang wanita yang berhadapan dengan proses kelahiran turut mengekspresikan rasa sakit tersebut dengan berbeza.
Ada yang menahan sakit dengan mengetap gigi dan bibir, ada yang merengus dan meneriak, ada yang menggigit tuala bagi menahan sakit, manakala ada yang sangat tenang dan melalui proses kelahiran dengan tahap sakit yang minimum.
Jika dibandingkan seorang dewasa dengan kanak-kanak, ekspresi kesakitan amat sukar untuk difahami terutamanya kanak-kanak yang masih tidak mampu bertutur.
Oleh itu, ibu bapa dan penjaga perlu memahami bahasa tubuh anak mereka untuk memahami bahawa mereka dalam kesakitan dan perlukan bantuan.
Tip-tip untuk membantu individu yang berada dalam kesakitan
a) Kenal pasti tahap sakit yang dialami untuk mengetahui sejauh mana ia mengganggu kehidupan seharian mereka.
b) Elakkan stigma dengan beranggapan individu tersebut berpura-pura sakit. Air muka seorang yang berada dalam kesakitan adalah sangat berbeza dengan mereka yang berada dalam keadaan tanpa sakit. Anda boleh membezakan perkara ini secara automatik.
c) Bantu individu tersebut melaksanakan aktiviti hidup harian.
Individu yang dalam kesakitan agak sukar untuk fokus atau mempunyai tenaga yang mencukupi untuk menyelesaikan tugasan mereka. Bertanya khabar dan menghulurkan bantuan kepada mereka sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban harian mereka.
d) Jika mereka dipreskripsikan dengan sebarang ubat tahan sakit, pastikan mereka mengambil ubat tersebut seperti aturan yang ditetapkan oleh profesional kesihatan bertauliah seperti doktor atau pegawai farmasi bagi mengurangkan simptom.
Kadangkala pesakit prejudis mengatakan bahawa ubat tahan sakit boleh merosakkan buah pinggang jika terlalu kerap pengambilannya. Ia adalah salah satu mitos atau fakta yang salah tentang ubat tahan sakit. Kebiasaannya ubat tahan sakit diambil jika perlu seperti yang dipreskripsi oleh doktor.
e) Mereka yang berada dalam kesakitan kebiasaannya agak takut untuk melakukan aktiviti harian.
Sebagai contoh, seseorang individu yang telah melalui pembedahan (major operation) mungkin akan takut untuk bergerak sedangkan ia amat penting untuk menggalakkan pengembangan paru-paru dan peredaran darah ke bahagian kaki.
Oleh itu, bantulah mereka untuk bergerak dengan alat sokongan atau pastikan seseorang berada di sisi mereka ketika mereka sedang berjalan supaya mereka berasa yakin.
f) Anda boleh menggalakkan individu yang berada dalam kesakitan untuk melakukan terapi tanpa pengubatan (non-pharmacological approach) seperti mengurut, aplikasi kompresi/tuam panas-sejuk, kurangkan pergerakan (immobilization) dan teknik relaksasi (seperti mendengar muzik, berzikir atau menonton televisyen).
Kajian terkini turut menunjukkan penggunaan realiti maya atau virtual reality (VR) amat berkesan untuk mengawal tahap sakit terutamanya dalam pesakit kanser tahap tinggi (Karaman, & Taşdemir, 2021; Garrette et al., 2020; Bani et al., 2019).
Penutup
Kesakitan atau pain merupakan perubahan emosi serta sensori yang tidak menyenangkan apabila berlaku keradangan atau inflamasi pada tisu. Mengenal pasti ciri-ciri sakit yang dialami amat penting supaya setiap individu mampu mengurangkan simptom mengikut pilihan mereka.
Sesetengah individu lebih cenderung untuk mengambil ubat tahan sakit apabila berada dalam kesakitan. Namun begitu, sesetengah individu lebih suka melakukan teknik non-pharmacological approach terlebih dahulu sebelum memilih ubat.
Kebiasaannya, apabila teknik non-pharmacological tidak membawa perubahan drastik, seseorang individu akan membuat keputusan untuk beralih kepada pengubatan.
Sokongan emosi dan bantuan daripada ahli keluarga atau rakan amat penting bagi membantu individu yang dalam kesakitan untuk melakukan aktiviti hidup harian.
Prof. Madya Dr. Siti Noorkhairina Sowtali
Jabatan Kejururawatan Profesional (PNS), Kulliyyah Kejururawatan (KON)
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Rujukan:
Austin, P. D., Siddall, P. J., & Lovell, M. R. (2022). Feasibility and acceptability of virtual reality for cancer pain in people receiving palliative care: a randomised cross-over study. Supportive Care in Cancer, 30(5), 3995–4005. https://doi.org/10.1007/s00520-022-06824-x
Bani Mohammad, E., & Ahmad, M. (2019). Virtual reality as a distraction technique for pain and anxiety among patients with breast cancer: A randomized control trial. Palliative and Supportive Care, 17(1), 29–34. https://doi.org/10.1017/S1478951518000639
Fatimah, M., Hilal, R., Alam, S. S., Dandroo, J. N., & Khan, S. (2016). Pain Management: An Overview. Hamdard Medicus, 59(4), 33-42.
Garrett, B. M., Tao, G., Taverner, T., Cordingley, E., & Sun, C. (2020). Patients perceptions of virtual reality therapy in the management of chronic cancer pain. Heliyon, 6(5). https://doi.org/10.1016/j.heliyon.2020.e03916
International Association for the Study of Pain. Terminology. 2023. https://www. iasp-pain.org/resources/terminology
Karaman, D., & Taşdemir, N. (2021). The Effect of Using Virtual Reality During Breast Biopsy on Pain and Anxiety: A Randomized Controlled Trial. Journal of Perianesthesia Nursing, 36(6), 702–705. https://doi.org/10.1016/j.jopan.2021.04.007
McCaffery M. Nursing the patient in pain. Philadelphia: Lippincott, Williams and Wilkins; 1972
Siti Noorkhairina S. (2022). Nota Syarahan: Assessing Pain: The Fifth Vital sign [nota syarahan tidak diterbitkan]. NURA 0203 Health Assessment for Post Basic Program. Kulliyyah of Nursing, International Islamic University Malaysia; 24th January 2022.
Ministry of Health. (2018). Pain as The 5th Vital Sign Guideline (3rd Ed). Available: www.moh.gov.my