Kes Zarena: Hormat selagi mana hormat undang-undang – IKRAM Lawyers

Merujuk kepada  kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen (MP) Beruas, YB Datuk Ngeh Koo Ham yang meminta supaya umat Islam di negara ini menghormati hak saudara seagama mereka yang murtad untuk mengamalkan agama yang baru dan menyatakan bahawa peruntukan Perkara  11 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak mutlak untuk mengamalkan sesuatu agama.

Kenyataan beliau adalah suatu pandangan yang keliru dalam memahami konteks perlembagaan negara dan sensitiviti ajaran agama Islam dan penganutnya terutama dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Peruntukan Perkara 11 (1) Perlembagaan Malaysia  adalah hanya terpakai kepada individu atau warganegara atau suatu kelas masyarakat yang telah pun ditentukan atau disahkan status agamanya sama ada Islam atau bukan Islam ataupun status agamanya sendiri tidak pernah menjadi pertikaian.

Sekiranya kenyataan MP tersebut merujuk kepada kes Zarena Binti Abdul Majid yang terjadi baru-baru ini,  pandangan beliau merupakan satu pandangan pra-matang memandangkan kes Zarena masih belum selesai dan status agamanya juga masih belum diputuskan oleh Mahkamah Syari’ah.

Walau bagaimanapun, sekiranya Zarena ingin keluar daripada agama Islam, permohonan untuk keluar agama Islam hendaklah dibuat melalui proses kehakiman (“judicial process”) selaras dengan peruntukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Malaysia memandangkan agama rasmi beliau ketika ini adalah Islam.

Persoalan seterusnya yang timbul adalah “Apakah patut kita menghormati individu-individu yang ingin memohon keluar daripada agama Islam berdasarkan Perkara 11 (1) Perlembagaan Negara sedangkan individu-individu tersebut tidak menghormati perlembagaan itu sendiri sebagaimana Perkara 121 (1A) Perlembagaan Malaysia?”

Masyarakat kita sering berfikiran sekiranya individu tersebut berstatus agama Islam pada kad pengenalannya, adalah sukar baginya untuk mengubah status agama pada kad pengenalannya.

Selain itu juga peranan Mahkamah Syari’ah dan Pihak Berkuasa Agama dalam memandu tatacara yang melibatkan hal-ehwal agama Islam termasuk dalam permohonan seseorang itu untuk keluar daripada Islam adalah selaras dengan Perkara 121 ( 1A ) Perlembagaan Malaysia.

Dalam dua kes berbeza, pertama dalam kes Daud Mamat (2002), Mahkamah telah memutuskan bahawa kebebasan beragama di bawah Perkara 11 ( 1 ) Perlembagaan Malaysia tidak termasuk hak untuk keluar daripada Islam (murtad). Tetapi bagi kes kedua, Alimah Bt Abdul Jabbar & Khatijah Bt Abdul Jabbar (2007), Mahkamah  telah membenarkan permohonan keluar Islam oleh kedua adik-beradik tersebut.

Jadi berdasarkan kepada ‘precedent’ di atas, adalah jelas peranan dan fungsi Mahkamah Syari’ah lebih kepada memberikan hak kepada yang berhak sebagaimana legal maxim “justice is to be done and ought to be done”.

Sekiranya Mahkamah Syari’ah berpuas hati secara syar’ie dan undang-undang bahawa seseorang itu sememangnya bukan seorang Muslim atau tidak boleh disifatkan sebagai orang Islam, maka Mahkamah Syari’ah akan memberikan hak tersebut kepada orang tersebut dan perlindungan undang-undang juga akan diberikan kepadanya selaras dengan hak tersebut.

Cuba bayangkan sekiranya tiada langsung campurtangan daripada Pihak Berkuasa Agama termasuk Mahkamah Syari’ah terutama dalam isu-isu permohonan keluar Islam yang dipercayai sangat sensitif di negara kita, sudah tentu individu-individu yang ingin keluar daripada Islam itu akan berada dalam situasi yang sangat sukar daripada sudut undang-undang dan juga sosial.

Seterusnya, fenomena tersebut akan menyanggahi salah satu prinsip maqasid syar’iyyah iaitu penegakkan keadilan kerana Mahkamah Syari’ah juga pada setiap masa harus peka terhadap Perkara 11 (4) dan (5) dan Perkara 149 Perlembagaan yang berkaitan soal sensitiviti agama dan juga ketenteraman awam.

Berkenaan dengan hak mendidik di bawah Perkara 12 (2) dan (3) Perlembagaan pula, ianya adalah suatu yang sangat subjektif dan bergantung kepada wujudnya persoalan penentuan agama yang berbangkit atau tidak.

Kesimpulannya, umat Islam di Malaysia sentiasa dan akan sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang di negara Malaysia dan juga turut menghormati sesiapa sahaja dalam lapisan masyarakat selagi mana mereka juga patuh kepada undang-undang dalam menguatkuasakan hak mereka sebagaiamana maxim undang-undang ada menyebut “Ignoratia juris non excusat” yang bermaksud ketidakpedulian atau kejahilan undang-undang adalah bukan satu alasan.

Wan Anwar Bin Wan Ibrahim
Peguam Syar’ie
Peguambela & Peguamcara (Malaya)
Peguam Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia