Kes Zara Qairina & Zulfarhan: Noktahkan Tragedi Ini!

Negara kembali digemparkan dengan berita menyayat hati apabila seorang pelajar perempuan, Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, disahkan meninggal dunia akibat insiden buli di sebuah sekolah agama di Sabah.

Tragedi ini seolah-olah membuka kembali luka lama yang masih belum sembuh, kes kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, lapan tahun lalu.

Zulfarhan, mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), menjadi mangsa buli keterlaluan hingga maut, dan baru-baru ini, mahkamah mengekalkan hukuman penjara ke atas enam pelaku, namun membatalkan hukuman mati.

Dua nyawa yang melayang ini bukan sekadar statistik, tetapi cerminan nyata bahawa sistem pendidikan dan sosial kita masih belum mampu menyelamatkan anak-anak bangsa daripada kebobrokan akhlak dan budaya buli.

Justeru, artikel ini bukan sekadar satu luahan emosi, tetapi seruan yang mendesak dan penuh harapan agar pihak berkuasa, masyarakat, pendidik dan ibu bapa menoktahkan tragedi ini dengan tindakan yang holistik dan menyeluruh.

Gejala buli dan kerosakan akhlak wabak yang menular 

Menurut laporan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), lebih 7,000 kes buli direkodkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini. Kajian oleh UNICEF pada 2023 pula mendapati bahawa hampir 45% pelajar di Malaysia pernah mengalami sekurang-kurangnya satu bentuk buli, sama ada fizikal, verbal mahupun siber.

Di peringkat institusi pendidikan tinggi (IPT) pula, kes buli semakin kompleks dan melibatkan elemen “senioriti” dan kekuasaan yang membudaya.

Terdapat pelbagai jenis buli yang sering terjadi, antaranya buli fizikal iaitu pukulan, tendangan dan penyeksaan seperti kes Zulfarhan. Buli verbal pula ialah cacian, ejekan dan penghinaan terhadap fizikal, agama atau keluarga.

Selain itu, terdapat juga buli sosial iaitu seperti pengasingan sosial, sabotaj hubungan dan buli siber seperti penyebaran gambar, video atau kata-kata berunsur memperlekeh dan menjatuhkan imej pelajar.

Berikutan itu, beberapa akar umbi masalah telah dikenal pasti. Antaranya ialah kegagalan pendidikan karakter dalam sistem sekolah, kurangnya kepekaan sosial dan empati dalam kalangan pelajar, budaya ketakutan dan tutup mulut dalam institusi pendidikan dan pengaruh media sosial yang membudayakan amalan “memalukan orang lain untuk tular,” dan segala itu sering terjadi.

Simbol amaran kepada kita semua 

Kisah Zara Qarina, seorang gadis 13 tahun yang tidak dibelai sistem, menjadi simbol kegagalan dalam melindungi anak-anak. Sebuah sekolah yang sepatutnya menjadi tempat mendidik, berubah menjadi tapak kezaliman. Lebam di tubuhnya bukan sekadar luka fizikal, tetapi tamparan kepada seluruh sistem.

Begitu juga halnya dengan kisah Zulfarhan, apabila senioriti menjadi penyeksa. Zulfarhan, seorang anak muda penuh harapan, didera selama berhari-hari menggunakan seterika wap hanya kerana dituduh mencuri.

Tanpa peluang membela diri, beliau menjadi mangsa kepada budaya kejam yang mengagungkan kekuasaan dalam kalangan pelajar senior. Kes ini menjadi titik hitam dalam sejarah pendidikan negara.

Al-Quran mengarahkan keadilan dan melarang kezaliman 

Firman Allah bermaksud:

Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih hampir kepada takwa.” (Surah al-Ma’idah: 8)

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim kerana (jika kamu berbuat demikian), api neraka akan menyentuh kamu.”  (Surah Hud: 113)

Buli adalah satu bentuk kezaliman. Islam dengan tegas melarang kezaliman dalam apa jua bentuk dan situasi.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi.” Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, kami menolong orang yang dizalimi, bagaimana pula menolong orang yang menzalimi?” Baginda menjawab:“Kamu menahan tangannya (daripada terus menzalimi).” (HR al-Bukhari)

Hal ini jelas menunjukkan bahawa membiarkan pembuli terus bermaharajalela adalah bentuk pengkhianatan terhadap ajaran Islam.

AISAR solusi membentuk masyarakat rahmah 

Modul Asas Islam Rahmah (AISAR) adalah satu pendekatan Pendidikan Masyarakat Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang menggabungkan nilai Rahmah, Adil, Ihsan, Syura, Amanah dan Reformasi dalam melahirkan manusia yang seimbang dari segi rohani dan sosial.

Justeru, menerapkan AISAR dalam sistem pendidikan bagi membentuk dan membaiki situasi yang terjadi adalah salah satu daripada solusinya. Barangkali elemen ini perlu diterapkan di setiap institusi pengajian bagi membendung gejala yang tidak diingini ini berlaku.

Menanamkan sifat kasih sayang sesama pelajar dengan rahmah, memastikan tiada pelajar dipinggirkan kerana latar belakang atau kelemahan diri dengan bersikap adil, menggalakkan pelajar berbuat baik kepada rakan walaupun berbeza karakter dengan ihsan, menyuburkan amalan perbincangan dan penyelesaian konflik secara hikmah melalui syura, memberi amanah kepada guru dan pentadbir untuk tidak menyembunyikan kes buli serta melakukan pembaharuan terhadap polisi sekolah dan universiti agar lebih responsif kepada kes pelajar dengan kata reformasi – semua ini perlu diterapkan segera agar segalanya dapat ditangani dengan bijak dan sejahtera.

Langkah strategik menoktahkan buli dan gejala sosial 

Polisi dan undang-undang yang tegas diikuti penguatkuasaan Akta Pendidikan perlu diperketat agar sekolah bertanggungjawab terhadap keselamatan pelajar. Hukuman jenayah terhadap pembuli yang menyebabkan kecederaan berat atau kematian perlu dikaji semula agar setimpal.

Selain itu, intervensi awal dan sistem aduan rahsia perlu diwujudkan. Ia mungkin berbentuk platform aduan rahsia dan selamat untuk pelajar melaporkan kes buli dan bimbingan kaunseling yang aktif serta dilatih secara profesional. 

Pendidikan karakter dan empati sejak kecil harus diterapkan. Ia bermaksud membentuk modul pendidikan akhlak yang bersifat praktikal dan bukan sekadar teori serta mengadakan latihan nilai-nilai murni juga aktiviti kemasyarakatan seperti program khidmat masyarakat.

Latihan guru dan pentadbir sekolah juga perlu kerap diadakan untuk mengesan gejala awal buli serta mewujudkan sistem ganjaran dan penalti kepada pentadbir yang gagal bertindak terhadap kes dilaporkan.

Suara mangsa dan keluarga perlu didengari dan jangan disepikan. Sebagaimana kita ketahui, ibu bapa Zara masih dalam trauma dan enggan bertemu media. Begitu juga keluarga Zulfarhan, yang menganggap keadilan belum sepenuhnya ditegakkan. Namun, suara mereka perlu diberi tempat, bukan untuk membakar emosi, tetapi menjadi suara peringatan kepada masyarakat dan penggubal dasar.

“Kami tidak mahu anak orang lain jadi seperti anak kami.”

Justeru, masyarakat dan media turut berperanan dalam menangani jenayah ini. Masyarakat perlu menjadi mata dan telinga kepada sistem pendidikan. Media pula perlu berperanan mendidik dan bukan mengeksploitasi kes buli. Begitu juga, aktivis dan NGO perlu terus konsisten membawa isu ini ke Parlimen dan Majlis Raja-Raja.

Bangkit membina masyarakat madani

Gejala buli bukan lagi isu terpencil. Ia adalah barah yang jika tidak dibanteras, akan merosakkan seluruh generasi. Tragedi Zara dan Zulfarhan adalah mesej dari langit untuk kita semua bangkit sebelum lebih ramai nyawa menjadi korban.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”
(Surah ar-Ra’d: 11)

AISAR perlu diperluas ke seluruh sekolah dan IPT. Pihak berkuasa juga perlu tegas dan adil dalam menangani setiap aduan dan isu. Masyarakat perlu peka dan peduli. Dan para pendidik perlu kembali menjadi insan murobbi, bukan sekadar pengajar.

Cukup-cukuplah setiap hari kita membaca berita tragis, menyalahkan situasi yang terjadi. Sekaranglah masa untuk menoktahkan semua ini dengan rahmah, dengan adil, dan dengan sistem pendidikan yang benar-benar membentuk akhlak, bukan hanya kecemerlangan akademik semata-mata.

Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia