SERI KEMBANGAN – Bagi menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan (SBK 2022), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dari aspek hebahan dan publisiti.
“Alhamdulillah, kita telah mengadakan perbincangan semalam secara maya berkaitan perkara tersebut dengan Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia, Dato’ E. Sivabalan,” kata Pengarah SBK 2022, Dr Sabariah Baharun.
Jelas beliau, K-KOMM akan membantu memanjangkan jemputan aktiviti-aktiviti sambutan oleh IKRAM kepada semua media dan juga mempromosi bahan-bahan sambutan.
“IKRAM sangat menghargai kerjasama dan bantuan ini, serta mengharapkan ia dapat diteruskan dalam kempen-kempen lain pada masa akan datang,” ujarnya.
Tambahnya, untuk permulaan, video lagu Selamanya Malaysia dan jingle Teguh Bersama telah dimasukkan dalam senarai video kolaborasi lagu-lagu patriotik di laman web kempen kemerdekaan kerajaan, Merdeka360 melalui pautan http://merdeka360.my/web/.
“Melalui perbincangan tersebut, IKRAM akan menyediakan semua bahan SBK 2022 dan pihak K-KOMM akan membantu publisitinya.”
“Begitu juga dengan video aktiviti kempen, serta liputan program yang melibatkan kehadiran menteri.”
Menurut Dr Sabariah, aktiviti-aktiviti SBK 2022 telah berlangsung sejak 1 Ogos lalu dan berakhir pada 16 September 2022 dengan program kemuncak iaitu Karnival Kita Anak Malaysia di UTM Kuala Lumpur.
“Kita mengajak semua rakyat Malaysia untuk menyokong sambutan ini dan hadir bersama-sama memeriahkan karnival pada 16 September nanti.”
Info lanjut aktiviti Sambutan Bulan Kebangsaan 2022 boleh dilayari di Portal IKRAM atau pautan https://linktr.ee/teguh_bersama.
Mewakili IKRAM, turut hadir dalam perbincangan maya bersama K-KOMM Ketua Kluster Masyarakat Progresif, Hj Ainullotfi Abdul Latif, Timbalan Pengarah SBK 2022 Dr Wardah Mustafa Din dan Ahli-ahli Jawatankuasa Sambutan.