“Ibu ratu hati, kunci ke syurga.” Ungkapan ini sering kita dengar. Namun dalam konteks masyarakat moden hari ini, ibu bukan sahaja mendidik anak bangsa, malah memimpin organisasi, mencorak dasar negara dan membina masa depan masyarakat. Wanita kini tidak lagi sekadar menjadi tulang belakang, mereka adalah pemimpin barisan hadapan.
Bulan Mei membawa makna istimewa iaitu sambutan Hari Ibu dan juga Hari Guru. Ia masa yang tepat untuk kita merenung sejauh mana pengiktirafan dan kepercayaan yang kita berikan kepada wanita dalam dunia profesional. Adakah benar peluang itu setara atau masih ada “siling kaca” yang tidak kelihatan?
Profesion lebih mudah difahami sebagai pekerjaan. Profesional pula merujuk kepada individu yang melakukan pekerjaan tersebut sebagai suatu pekerjaan tetap dan sumber pendapatan utamanya. Profesionalisme adalah tahap kecekapan dan akauntabiliti yang seharusnya didukung oleh individu profesional tersebut.
Semakin diterima baik
Peranan dan sumbangan wanita dalam memimpin sektor-sektor profesional yang sebelum ini didominasi oleh lelaki semakin diterima dengan baik. Istilah “mengukir legasi” yang bermaksud mencipta atau meninggalkan kesan yang berkekalan untuk generasi akan datang semakin terpakai dalam kalangan wanita.
Dalam konteks ini, ia menggambarkan usaha wanita untuk membentuk dan membina sebuah warisan kepimpinan yang memberi impak besar dalam dunia kerja profesional. Etika profesional adalah nilai-nilai atau tingkah laku murni yang harus dihayati oleh individu mengikut profesion masing-masing.
Kepimpinan wanita sering membawa nilai empati, kebijaksanaan beremosi, pendekatan berpasukan dan komunikasi yang telus iaitu nilai-nilai yang sangat penting dengan pendekatan lebih manusiawi.
Teori Kepimpinan Transformasi yang dicetuskan oleh Bernard Bass turut menegaskan bahawa pemimpin hebat ialah mereka yang mampu memberi inspirasi, membawa perubahan dan membina kepercayaan. Ramai pemimpin wanita kita hari ini, dari sektor kerajaan hingga korporat, menzahirkan ciri-ciri ini secara konsisten.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah wanita dalam tenaga buruh negara mencecah 6.38 juta orang pada Januari 2025. Kadar penyertaan tenaga buruh wanita meningkat kepada 56.4 peratus. Tetapi, di sebalik angka itu, tersembunyi realitinya bahawa 44 peratus wanita luar tenaga buruh tidak bekerja kerana komitmen keluarga.
Pembaziran potensi
Lebih membimbangkan, ramai wanita berpendidikan tinggi masih bekerja dalam bidang separuh mahir atau tidak setimpal dengan kelayakan mereka. Ini bukan hanya pembaziran potensi, tetapi juga kehilangan besar kepada produktiviti negara.
Apa puncanya? Sebahagiannya datang daripada sistem kerja yang masih belum mesra keluarga. Sebahagiannya lagi berpunca daripada persepsi lapuk bahawa wanita tidak mampu memimpin setanding lelaki, terutama dalam sektor teknikal dan profesional.
Cabaran yang dihadapi wanita dalam mencapai kedudukan kepimpinan dalam bidang profesional amat ketara. Walaupun semakin banyak wanita menyumbang dalam bidang teknikal dan profesional, kepimpinan mereka bukan sahaja memperkasakan diri tetapi juga memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi.
Seperti yang dinyatakan oleh ahli falsafah kontemporari, Carol Gilligan, etika wanita dalam kepimpinan yang menekankan hubungan dan tanggungjawab sosial bukanlah kelemahan, tetapi kekuatan tersendiri yang wajar diraikan. Hal ini melibatkan perubahan budaya dan sistem untuk mengiktiraf serta menghargai kepimpinan wanita dalam pelbagai sektor.
Inilah yang disebut sebagai “glass ceiling” iaitu halangan tidak kelihatan yang mengehadkan kemajuan wanita dalam kerjaya. Teori ini sudah lama dibincangkan dalam kajian kepimpinan dan sumber manusia, dan sayangnya ia masih berlaku di negara kita.
Namun, banyak pengalaman menunjukkan bahawa wanita, apabila diberi peluang dan sokongan, mampu mengatasi halangan ini dan membuktikan kemampuan mereka dalam dunia kepimpinan.
Sebagai Pengerusi Program FemForward 2025, sebuah platform anjuran Women in Logistics and Transport (WiLAT), The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) Malaysia dengan kerjasama HAWA Malaysia dan Balai Ikhtisas Malaysia, saya berpeluang melihat bagaimana 23 tokoh wanita daripada pelbagai bidang diberi pengiktirafan atas sumbangan mereka yang luar biasa.
Tema program “Accelerate Action in Women Community” menggambarkan keperluan masa kini untuk mempercepat perubahan dan juga mengiktiraf pencapaian wanita.
Sudah tiba masanya
Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Pengerusi HAWA dan Pengerusi Jawatankuasa Konsultatif Women in Trade and Industry (WITI), MITI dalam ucapannya di majlis FemForward menegaskan bahawa sudah tiba masanya wanita diberi peluang dalam sektor berimpak tinggi seperti logistik dan pengangkutan.
Beliau berkata, perubahan dalam sektor ini bukan hanya memberi manfaat kepada wanita tetapi juga kepada kemajuan negara.
Isu pengiktirafan wanita dalam kepimpinan ini bukan hanya tentang wanita semata-mata, tetapi juga berkait rapat dengan keadilan sosial. Ia melibatkan penggunaan potensi seluruh rakyat Malaysia untuk memacu kemajuan bersama.
Hal ini juga disuarakan oleh Presiden CILT Malaysia, Prof. Ts. Dr. Muhammad Zaly Shah, yang menekankan bahawa dasar kerja fleksibel dan pembangunan bakat wanita dalam sektor teknikal perlu diberi perhatian serius. Ia adalah langkah penting dalam memastikan wanita mendapat peluang yang sama rata untuk berjaya.
Justeru, legasi kepimpinan wanita tidak akan tercipta dalam sehari. Ia adalah hasil daripada usaha gigih, dasar yang menyokong dan komuniti yang percaya kepada keupayaan wanita.
Sokongan antara sesama wanita boleh menjadi kunci untuk mengatasi halangan-halangan tersebut dan membuka ruang yang lebih besar untuk kemajuan bersama.
Masa depan yang lebih cerah adalah milik mereka yang percaya pada keindahan impian mereka, seperti kata Eleanor Roosevelt: “The future belongs to those who believe in the beauty of their dreams.”
Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw FCILT
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia &
Pengerusi Women in Logistics and Transport (WiLAT) Malaysia