Dalam era digital yang serba pantas ini, maklumat dan berita dapat disebarkan dengan begitu mudah.
Kebergantungan kepada media sosial juga kini semakin meningkat dalam memperolehi capaian berita, maklumat tentang sesuatu isu atau perkara, perhubungan dan interaksi serta banyak lagi.
Berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan oleh Data Reportal, jumlah pengguna media sosial di Malaysia sehingga bulan Januari 2023 dianggarkan berjumlah 26.8 juta pengguna.
Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa media sosial mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan masyarakat masa kini dan menjadi rujukan utama untuk menjalankan kehidupan seharian.
Bagi mengelakkan perkara buruk berlaku, maka pengguna media sosial harus mempunyai keupayaan bagi menganalisis, menilai dan memahami semua kandungan media yang diperolehi secara kritis.
Maka, di sinilah literasi media mengambil tanggungjawab bagi memberikan pendidikan kepada masyarakat khususnya pengguna media sosial agar dapat menavigasi landskap digital dengan penuh berhemah dan mengamalkan sikap profesional.
Lambakan maklumat
Menurut Livingstone (2003), literasi media adalah kemampuan untuk mengakses, menganalisis, menilai dan berkomunikasi dalam pelbagai bentuk media.
Oleh itu, secara umumnya literasi media dapat disimpulkan sebagai suatu keupayaan untuk memahami, mentafsir dan menilai secara kritis pelbagai bentuk kandungan media termasuklah pada artikel, berita, video, imej, iklan dan siaran langsung atau live streaming di media sosial.
Maka, untuk menjadikan seseorang individu itu mempunyai literasi media, maka ia haruslah mampu mencipta kandungan media, menyampaikan mesej, membezakan antara fakta dan pendapat serta mengenal pasti maklumat yang tidak tepat dan propaganda.
Dalam era digital kini, masyarakat di seluruh dunia seakan telah karam dalam lautan maklumat. Aliran maklumat berterusan daripada pelbagai sumber menyebabkan timbulnya cabaran hebat untuk membezakan maklumat tepat dan boleh dipercayai serta sebaliknya.
Kebanjiran platform media sosial kini juga meningkatkan jangkauan maklumat, seterusnya mendesak kita untuk lebih celik media.
Kepentingan literasi media
Literasi media pastinya dapat memperkasakan individu dengan kemahiran meneliti sumber, membuat rujukan silang pada maklumat yang diperolehi dan menilai secara kritis kredibiliti sumber maklumat yang diperolehi.
Maklumat salah dan berita palsu kini semakin berleluasa. Walaupun pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan inisiatif membanteras penyebaran berita palsu melalui penerapan amalan “Tidak Pasti, Jangan Kongsi,” namun maklumat yang tidak tepat dan berunsurkan kontroversi mudah merebak dengan cepat di platform media sosial sehingga membawa kepada kegelisahan dan timbulnya situasi yang tidak tenteram.
Maka, dengan kemahiran literasi media ini, ia diharapkan dapat membantu individu untuk mengenali taktik biasa yang digunakan bagi memanipulasi maklumat, seperti mengumpan dengan tajuk yang kontroversi, pengeditan terpilih (selective editing) dan petikan di luar konteks (out-of-context quotes).
Dengan mendidik masyarakat cara untuk menyemak kesahihan fakta dan mengesahkan maklumat, maka literasi media dilihat dapat bertindak sebagai perisai terhadap kesan buruk menyebarkan maklumat yang salah.
Literasi media juga mampu memupuk kemahiran berfikir kritis dengan menggalakkan individu menyoal, menganalisis dan mencari pelbagai perspektif apabila memperolehi sesuatu maklumat.
Masyarakat dididik untuk tidak hanya membaca tajuk berita sahaja, tetapi membudayakan untuk membaca artikel dan memahami berita dengan baik. Keadaan ini secara tidak langsung mampu melahirkan masyarakat yang lebih arif, analitikal dan berpengetahuan.
Sebagai warga digital yang bertanggungjawab, kesedaran pentingnya untuk mendalami kemahiran literasi media ini amat penting bagi membentuk satu masyarakat yang peka pada keadaan sekeliling.
Perkembangan teknologi yang amat pesat kini harus diikuti dengan ekosistem digital yang lebih sihat dan bertanggungjawab. Ia pastinya dapat mewujudkan komuniti maya yang lebih harmoni dan berjaya.
Nurul Nisha Mohd Shah, UiTM Kampus Rembau
Mohd Radzman Basinon