Kepakaran Ilmu: Nilai Kredibiliti, Bukan PopularitI

Setiap bidang ilmu mempunyai segolongan orang yang mempunyai kepakaran, kemahiran atau arif dalam ilmu tersebut.

Mereka dihormati kerana memiliki kepakaran dan pengetahuan mendalam dalam bidang masing-masing hingga mempunyai kedudukan penting dalam membina masyarakat.

Oleh itu, wajar untuk orang awam merujuk kepada mereka yang berkepakaran dalam sesuatu perkara bagi mendapatkan pemahaman yang mendalam tentang sesuatu isu dalam bidang tersebut.

Menunggang ilmu

Namun yang menjadi isu adalah apabila mereka yang dirujuk sebagai pakar oleh masyarakat, hilang integriti ketika menunggangi ilmu untuk mencapai kepentingan tertentu.

Keadaan ini boleh terjadi apabila pihak ini mengeluarkan kenyataan yang salah atau bertentangan daripada prinsip dan tanggungjawab mereka hingga membawa implikasi serius yang boleh memudaratkan banyak pihak.

Dalam bidang sains, saintis bertanggungjawab untuk menjalankan penyelidikan secara teliti, mematuhi etika penyelidikan dan menyampaikan penemuan mereka secara jujur dan tepat. Sebarang penyelewengan seperti memanipulasi data atau menyembunyikan maklumat penting boleh menggugat kesahihan hasil kajian tersebut.

Dalam bidang agama pula, ulama memegang tanggungjawab besar untuk menyampaikan ajaran agama dengan tepat dan berintegriti. Kenyataan atau fatwa menyeleweng boleh menyebabkan kekeliruan dan perpecahan dalam masyarakat serta menjejaskan keharmonian sosial.

Sebagai contoh, apabila ada tokoh agama dalam masyarakat yang mengeluarkan kenyataan yang menghasut kebencian atau diskriminasi terhadap kumpulan tertentu, keadaan ini boleh menyumbang kepada perpecahan dan mewujudkan suasana ketakutan dan permusuhan.

Selain itu, kenyataan yang salah atau menyeleweng oleh pakar dalam bidang seperti ekonomi, politik dan perundangan juga boleh membawa kesan negatif yang memudaratkan. Ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap institusi-institusi ini.

Isu kredibiliti

Isu yang kedua pula adalah apabila masyarakat sering menganggap seseorang itu pakar dalam sesuatu bidang hanya kerana kedudukan, pengaruh atau populariti mereka tanpa menilai kredibiliti sebenar kepakaran tersebut.

Sikap ini boleh mendatangkan bahaya apabila pandangan yang dikeluarkan oleh ‘pakar’ tersebut menyeleweng daripada fakta dan kebenaran.

Dalam hal ini, masyarakat harus jelas dan sedar bahawa setiap bidang ilmu mempunyai pakar yang mengkhususi cabang ilmu tersebut.

Contohnya, sekiranya seseorang ingin mempelajari ilmu yang membicarakan kaedah-keadah dan dalil-dalil yang digunakan untuk sampai kepada proses mengeluarkan hukum, beliau perlu merujuk pakar dalam usul fiqh dan bukan pakar dalam bahasa Arab.

Sekiranya agamawan mengeluarkan kenyataan yang salah atau tidak tepat mengenai isu-isu seperti amal ibadat atau muamalat, ia boleh menyebabkan umat Islam keliru dan terpesong daripada ajaran sebenar agama.

Namun, terdapat juga ilmu-ilmu asas dan umum yang boleh dikongsi oleh sesiapa sahaja yang mempunyai pengetahuan dalam bidang tersebut.

Sebagai contoh, soal adab dan cara bersolat adalah ilmu asas dalam agama Islam yang boleh dijawab oleh sesiapa sahaja yang mempunyai ilmu dalam bidang tersebut, tidak semestinya daripada kalangan ulama yang mendalam ilmunya dalam bidang fiqh dan usuluddin.

Nilai kredibiliti

Oleh itu, masyarakat perlu bijak menilai kredibiliti seseorang sebelum menerima pandangan mereka sebagai pakar atau ahli dalam bidang tersebut. Setiap disiplin ilmu mempunyai pakarnya yang tersendiri.

Kita tidak boleh mengambil pandangan seseorang dalam bidang lain kecuali untuk ilmu-ilmu asas dan umum. Sebaliknya bagi ilmu khusus dan mendalam, carilah pandangan daripada pakar sebenar dalam bidang berkenaan.

Dalam masa yang sama, perlu ada sikap terbuka dan sentiasa bersedia untuk menilai semula pandangan yang diterima, sekiranya terdapat bukti dan hujah yang lebih kukuh. Ilmu itu sentiasa berkembang dan individu perlu bersedia untuk memperbaharui pandangannya.

Sehubungan itu, dalam soal adab menerima ilmu dan pandangan, perlu diakui perbezaan pandangan adalah suatu perkara semula jadi dan seharusnya diraikan dengan baik.

Perbezaan pandangan sering timbul disebabkan oleh perbezaan latar belakang, pengalaman hidup dan sudut pandangan seseorang terhadap sesuatu isu. Ia bukan bermaksud salah satu pandangan itu betul dan yang lain salah.

Sebaliknya, ia menunjukkan kepelbagaian cara berfikir yang wujud dalam masyarakat kita. Perbezaan ini seharusnya dihargai kerana ia dapat mewujudkan perbincangan dan perdebatan yang sihat serta membuka minda kepada perspektif baharu.

Betulkan pandangan terpesong

Walau bagaimanapun, pandangan yang jelas terpesong daripada kebenaran dan fakta tidak boleh diterima begitu sahaja.

Ia perlu dipertikaikan dan diperbetulkan, lebih-lebih lagi jika pandangan tersebut datang daripada mereka yang berpengaruh dan dianggap pakar dalam sesuatu bidang seperti saintis, guru, asatizah dan sebagainya.

Kedudukan dan pengaruh mereka membuatkan pandangan salah mereka berpotensi menyesatkan masyarakat dan terperosok dalam kejahilan.

Seperti pepatah Melayu, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya,” pandangan salah yang dibiarkan berterusan berpotensi membawa kemudaratan dan kerosakan yang lebih besar dalam masyarakat.

Oleh itu, kita mempunyai tanggungjawab untuk menegur dan membetulkan pandangan tersebut dengan menggunakan fakta dan bukti yang sahih.

Kepercayaan dan penghormatan masyarakat terhadap golongan yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang ilmu amat penting. Namun, ia tidak seharusnya diberikan secara membuta tuli tanpa melihat kepada integriti dan kredibiliti mereka dalam menyampaikan ilmu tersebut.

Bijak membezakan

Sebagai masyarakat yang berilmu dan beradab, kita perlu bijak membezakan antara perbezaan pandangan yang munasabah dengan pandangan yang jelas menyeleweng daripada kebenaran dan fakta.

Bersedialah untuk menilai semula sesuatu pandangan sekiranya terdapat bukti dan hujah yang lebih kukuh. Ilmu itu sentiasa berkembang dan kita perlu bersedia untuk memperbaharui pemahaman.

Dengan cara ini, kita dapat memelihara kehormatan dan kemuliaan ilmu serta menjadikannya sumber pencerahan kepada kehidupan manusia dan bukan sebaliknya.

Perkara ini memerlukan usaha bersama daripada semua pihak untuk mendaulatkan kebenaran serta menginsafi had-had keilmuan masing-masing.

Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia