Kenyataan media IKRAM Selangor: Pelancaran Sambutan Hari Bapa

serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. (Surah Luqman : 16 )

 

“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.” ( Surah Luqman : 17 )

 

Peranan bapa dalam pembinaan keluarga dan proses pembesaran anak-anak adalah cukup penting terutama dalam zaman serba mencabar ini. Jika dahulu kebolehan bapa memimpin dan mengurus keluarga adalah sesuatu yang dianggap lumrah atau tabii. Namun dalam dunia yang serba kompleks kini kebapaan adalah suatu kemahiran yang perlu dipelajari dan dikuasai.

 

Gejala negatif yang melanda institusi rumahtangga pada hari ini adalah berpunca daripada lemahnya kepimpinan seorang bapa sebagai ketua keluarga. Dalam keadaan sedemikian kewibawaannya sering dipersoal dan mereka tidak lagi dilihat sebagai contoh oleh anak-anak. Ini menyebabkan anak-anak terutamanya remaja tercari-cari ‘hero’ yang boleh mereka banggakan. Ketiadaan bapa sebagai ‘hero’ mendorong anak-anak mencari orang luar yang diharap dapat mengisi peranan tersebut. Keadaan ini menyebabkan seringkali anak remaja terpedaya oleh pihak yang mengambil kesempatan di atas kepercayaan yang diberi oleh remaja.

 

Kesan peranan bapa terhadap anak-anak apabila mereka mendirikan rumahtangga kelak cukup besar. Seorang anak lelaki pastinya menjadikan bapa sebagai ‘role model’ apabila mereka beristeri kelak. Sikapnya sebagai seorang suami terhadap isteri akan dicorakkan oleh cara ibunya disantuni oleh bapa. Begitu juga anak perempuan akan mengambil bapa sebagai contoh dalam memilih bakal suaminya.  Bahkan kesan ke atas anak perempuan lebih besar. Kajian menunjukkan remaja perempuan yang bermasalah dan terjebak dengan pergaulan bebas selalunya dibesarkan tanpa kehadiran seorang bapa atau tidak mendapat perhatian atau kasih sayang seorang bapa.

 

Peranan tradisional seorang bapa yang dihormati dan ‘ditakuti’ pada zaman dahulu mungkin tidak boleh dipertahankan lagi. Bapa yang bersikap ‘authoritarian’ dan cuba mengawal keluarga atas dasar otoriti semata-mata akan melahirkan anak-anak yang melawan dalam diam atau secara terbuka. Sebaliknya panduan kebapaan yang digariskan di dalam Islam seperti yang diungkapkan oleh Sayidina Ali R.A. iaitu untuk bermain, mendisiplinkan dan berkawan dengan anak-anak pada tahap umur yang bersesuaian adalah lebih tepat. ‘Berkawan’ dengan anak adalah satu skil yang perlu dikuasai oleh para bapa pada hari ini.

 

Mereka perlu memahami sedikit sebanyak laras bahasa yang digunakan oleh remaja. Bahkan seorang bapa harus menguasai sedikit sebanyak gajet-gajet teknologi dan medium komunikasi terkini yang tidak boleh dipisahkan dari kehidupan remaja. Seorang bapa pada hari ini wajar memiliki akaun dalam laman sosial Facebook untuk berinteraksi dengan anak-anak dalam pelbagai situasi dan kesempatan. Kemahiran-kemahiran seperti ini yang memungkinkan seorang bapa ‘keep pace’ atau mengikuti perkembangan dan seterusnya memberi panduan kepada anak-anak dalam melalui liku-liku kehidupan yang didepani oleh anak-anak remaja.

 

Di samping para bapa membuat anjakan-anjakan paradigma untuk memainkan peranan sebagai bapa yang versatil di zaman ini, mereka juga memerlukan empati dari anggota keluarga dan masyarakat. Seorang bapa dewasa ini harus diberikan ruang yang luas untuk merealisasikan peranan kebapaan tersebut. Mereka memerlukan sistem sokongan yang bersesuaian dengan fitrah dan ego lelaki mereka. Satu mekanisme seumpama sistem sokongan harus diwujudkan bagi para bapa membuat perkongsian. Mereka tidak perlu terus dikritik di atas kepincangan-kepincangan yang melanda masyarakat seolah-olah memberi gambaran bahawa mereka sebagai punca utama.

 

Di saat pelbagai keperluan wanita diraikan seperti mewujudkan agensi-agensi khusus mengenai wanita, kumpulan-kumpulan sokongan dan kemudahan-kemudahan khas untuk wanita, golongan lelaki/bapa seolah-olah dilihat mampu mendepani cabaran secara bersendirian atas alasan bahawa mereka adalah pelindung wanita. Mereka diandaikan sebagai gender yang gagah dan maskulin serta bersedia untuk menghadapi apa juga situasi bersendirian tanpa sebarang sokongan moral dan material. Senario seorang lelaki yang gagah dan tangkas di luar sebagai imej lelaki mandiri mungkin benar di masa lalu. Namun lelaki/bapa yang akan bertahan di zaman ini bukanlah lelaki yang nampak gagah dari sudut fizikal tetapi rapuh dari sudut ketahanan jiwa. Di sinilah inisiatif boleh diwujudkan untuk memperkasa jiwa sebagai pelengkap skil atau kemahiran kebapaan di kalangan para bapa pada hari ini.

 

Menyedari hakikat pentingnya para bapa diperkasakan dan diberi pengiktirafan yang setimpal ke atas peranan mereka yang besar, maka Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat IKRAM Selangor bersama Wanita IKRAM Selangor dengan sokongan padu dari Exco Hal Ehwal Wanita Kerajaan Negeri Selangor melancarkan program sambutan Hari Bapa 2011 dengan tema ‘Bapaku Heroku’. Inisiatif ini bertujuan untuk mempopularkan kembali peranan aktif bapa dalam menguruskan keluarganya dan memastikan keluarganya berada dalam keadaan sejahtera baik dari sudut fizikal, mental dan spiritual. Kepimpinan seorang bapa yang berwibawa pastinya menjadi contoh ikutan kepada anak-anak pada hari ini yang bukan sahaja dahagakan kasih sayang seorang bapa bahkan tercari-cari ‘role model’ untuk mengembangkan potensi yang ada dalam diri mereka.

 

Dengan premis yang digariskan di atas maka IKRAM Negeri Selangor merumuskan Objektif Hari Bapa 2011 seperti berikut:

1. Memberi kesedaran kepada masyarakat tentang peranan dan tanggungjawab bapa dalam pembangunan keluarga.

2. Memberikan pendedahan kepada golongan bapa tentang pentingnya keperluan dan kemahiran kebapaan yang mesti dikuasai.

3. Mewujudkan jalinan hubungan di antara agensi-agensi yang relevan untuk memperkasa bapa dan skil dan kemahiran kebapaan.

4. Memupuk kesedaran bapa sebagai ‘role model’, terutama kepada anak-anak remaja yang mencari-cari ‘idola’ hidup mereka.

 

Untuk memupuk kesedaran di kalangan masyarakat tentang pentingnya peranan bapa maka penanda buku bertemakan hari bapa telah dikeluarkan oleh penganjur. Penanda buku ini akan dibekalkan di kesemua cawangan IKRAM di 13 daerah di negeri Selangor dan akan diedarkan kepada orang ramai di tempat-tempat awam seperti taman rekreasi, pusat membeli belah, medan selera dan tempat-tempat di mana keluarga berkumpul.

 

Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan Forum Hari Bapa yang bertemakan ‘Bapaku Heroku’ yang akan dilaksanakan pada 10 Julai 2011. Forum ini membariskan tiga ahli panel yang berpengalaman luas dalam bidang kekeluargaan. Mereka akan membicarakan topik tersebut dari sudut pandang masing-masing sebagai seorang bapa, ibu dan anak. Juga satu program ‘Explorace’ yang bertema ‘Father You R the Man’ akan menyusul selepas Forum dengan aktiviti yang bertujuan untuk memupuk dan memperbaharui hubungan di antara bapa dan anak remaja. Orang ramai dijemput untuk bersama dalam program-program tersebut.

 

Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi

Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) Negeri Selangor

 

“UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN”

“IKRAM WADAH PERJUANGAN”

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia