Kenapa perlu vaksin?

Setiap negara masih berusaha untuk mengawal penularan penyakit ini dengan mewujudkan Standard Operating Procedure (SOP) kepada rakyat untuk memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal selain daripada mempercepatkan proses vaksinasi terhadap mereka.  

 

Apa itu Covid-19?

 

Covid-19 berpunca daripada virus SARS-CoV-2 yang boleh menyebabkan jangkitan terhadap saluran pernafasan. Antara gejala yang boleh dikesan adalah dari selesema biasa kepada radang paru-paru (pneumonia) yang teruk.

 

Cara virus ini merebak kepada individu lain adalah melalui titisan dari hidung ataupun mulut yang tersebar apabila seseorang batuk ataupun bersin. Jika individu tersebut tidak memakai pelitup muka, titisan tersebut akan merentasi objek dan permukaan sekelilingnya.

 

Orang lain yang menyentuh objek atau permukaan tersebut dan kemudian menyentuh mata, hidung atau mulutnya berisiko tinggi untuk dijangkiti Covid-19.  

 

Apa itu vaksin?

 

Vaksin mengandungi antigen yang diperolehi daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria yang telah dimatikan atau dilemahkan. Antigen dalam vaksin ini memainkan peranan yang penting untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan (sistem imuniti) tubuh dan membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

 

Jadi, dengan mengambil vaksin untuk Covid-19, tidak bermaksud kita tidak akan dijangkiti dengan virus tersebut tetapi ia dapat mengurangkan risiko jangkitan dan mencegah virus Covid-19 daripada merosakkan sistem imuniti dalam tubuh kita.

 

Kenapa vaksin dan bukan ubat?

 

Kita harus faham bahawa dalam sektor kesihatan ini, penghasilan ubat untuk merawat sesuatu penyakit memerlukan masa kajian yang lama untuk mendapatkan kelulusan daripada Food and Drug Administration (FDA) seperti dalam Rajah 1. 

 

Bagaimana pula dengan vaksin? Bukankah ia memerlukan masa yang lama juga untuk dihasilkan? Ya benar, ia memerlukan sekurang-kurangnya lima hingga 10 tahun untuk mendapatkan kelulusan daripada FDA.

 

Walau bagaimanapun, disebabkan dunia pernah menghadapi wabak global SARS (Severe Acute Respiratory Syndrome) pada tahun 2002 dan MERS (Middle-East Respiratory Syndrome) pada tahun 2012 yang berpunca daripada virus dalam kategori coronavirus ini, jadi data semasa berkenaan struktur, genome dan jangka hayat virus tersebut boleh digunakan untuk meneruskan kajian dalam penghasilan vaksin Covid-19.

 

Tambahan juga, sejak pandemik Covid-19, saintis daripada pelbagai negara bekerjasama dengan berkongsi hasil kajian mereka bagi mempercepatkan proses untuk menghasilkan vaksin Covid-19.

 

Justeru, antara ubat dan vaksin, penggunaan vaksin dikira sebagai lebih efektif dalam situasi sekarang untuk mencegah dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

 

Rajah 1 (Sumber: PhRMA)

 

Apa yang anda tahu tentang jenis vaksin Covid-19 di Malaysia?

 

Setakat ini, terdapat tiga jenis vaksin yang mendapat kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) iaitu Pfizer, Sinovac & AstraZeneca. Perincian bagi setiap vaksin ini boleh dilihat dalam jadual di bawah:

 

Syarikat

Jenis

Vaksin

Jumlah Dos

Kadar Keberkesanan (%)

Pfizer-BioNTech

mRNA

2

95

Sinovac Biotech

Virus ternyahaktif

2

62-90

AstraZeneca-Oxford

Adenovirus

2

>50

Jadual 1 (Sumber: New York Times)

 

Berdasarkan jadual tersebut, kita boleh lihat bahawa walaupun ketiga-tiga vaksin tersebut menggunakan teknologi yang berbeza iaitu menggunakan mRNA, virus ternyahaktif dan adenovirus, fungsi utama mereka adalah sama iaitu untuk mengenalpasti spike protein (protein pepaku) daripada virus Covid-19 dan merangsang sistem imuniti tubuh kita untuk melawan virus tersebut. 

 

Vaksin apa yang terbaik untuk Covid-19?

 

Jawapan kepada persoalan ini adalah vaksin paling cepat yang anda boleh dapatkan. Hal ini adalah kerana ketiga-tiga vaksin tersebut berkesan dalam membantu meningkatkan sistem imunisasi tubuh kita untuk melawan virus Covid-19.  

 

Adakah vaksin selamat?

 

Penghasilan vaksin ini dijalankan dalam keadaan yang diselia dengan rapi, dalam persekitaran bebas kuman, melalui kawalan kualiti dan harus mematuhi spesifikasi Amalan Pengilangan Baik (GMP). 

 

Antara kriteria penting lain untuk meluluskan vaksin ini adalah dengan melihat keputusan kajian klinikal yang dijalankan dalam skala besar. Jika vaksin tersebut terbukti keberkesanannya dalam mencegah penyakit khusus, baru ia akan diluluskan oleh FDA seterusnya Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia. 

 

Kesimpulannya, setiap daripada kita bertanggungjawab bagi mengawal penularan penyakit Covid-19 dan mengurangkan kadar kematian pesakit Covid-19 di Malaysia. Jadi dengan mendaftar untuk mengambil vaksin, merupakan langkah pertama untuk menyelamatkan nyawa diri sendiri serta orang tersayang sekeliling anda. 

 

Nor Shahirah Shaik Amir

 

Rujukan:

http://www.myhealth.gov.my/wp-content/uploads/FAQ-COVID-19.pdf

https://mysejahtera.malaysia.gov.my/FAQcovid19/2/

http://www.myhealth.gov.my/imunisasi-fakta-dan-kemusykilan/

https://www.infosihat.gov.my/index.php/multimedia/risalah/item/perbezaan-ubat-antiviral-vs-vaksin-influenza 

http://phrma-docs.phrma.org/sites/default/files/pdf/rd_brochure_022307.pdf

https://www.medicalnewstoday.com/articles/how-did-we-develop-a-covid-19-vaccine-so-quickly#Worldwide-collaboration 

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia