Kenali dan Tangani Ajaran Sesat, Ekstremisme Agama

Kenali dan Tangani Ajaran Sesat, Ekstremisme Agama | IKRAM

Perlu disedari oleh kita semua bahawa Islam adalah agama syariat yang tidak memandulkan pemikiran penganutnya. Agama Islam ini juga tidak menyekat seseorang itu berfikir dengan waras.

Dari sudut istilahnya, syariat ialah sesuatu aturan atau ketetapan yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW yang terdiri daripada hukum-hakam dalam al-Quran dan as-Sunnah yang berkait dengan bidang akidah dan perbuatan-perbuatan mukallaf, sama ada hukum-hakam qat’i atau zanni. (Rujuk Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 32/194 dan Tarikh al-Tasyri’ al-Islamiy, hal. 13)

Allah menjelaskan dalam Surah al-Maidah ayat 48 (maksudnya):

Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) daripada apa yang telah datang kepadamu daripada kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).

Firman-Nya dalam Surah al-Jathiyah ayat 18 (maksudnya):

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) daripada hukum-hukum agama; maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

Dari sudut bahasanya, syariah ialah jalan yang lurus atau jalan yang dilalui oleh orang ramai untuk mendapatkan sumber air untuk diminum mereka sendiri atau binatang ternakan mereka. Ia juga diertikan sebagai ajaran agama atau manhaj oleh sebahagian ulama. (Rujuk Lisan al-‘Arab 8/175, Tafsir al-Qurtubi 16/163 dan Al-Madkhal li Dirasah al-Syari’ah 1/38)

Indikator terseleweng daripada akidah yang sebenarnya

Menilai dan meneliti sesuatu kumpulan atau figura yang diikuti sama ada di landasan yang benar atau sebaliknya adalah sangat perlu agar seseorang itu tidak terjebak dalam kancah kesesatan.

Seseorang itu perlu menyedari bahawa perkumpulan atau figura itu tentunya tidak mengubah, meminda atau menafikan keaslian al-Quran atau menokok tambah sesuatu bagi kepentingan peribadi.

Tidak dinafikan, terdapat juga unsur-unsur mengingkari ajaran Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dengan menolak ajaran baginda, menyalahkan keluarga juga para sahabat.

Paling ditakuti, mereka bersembunyi di sebalik al-Quran dan hadis iaitu berselindung untuk mengelirukan manusia tentang perkara ghaib.

Apabila perkara seperti ini berlaku, sesuatu kumpulan itu akan dengan mudah mengeksploitasi pengikutnya bagi merealisasikan kehendaknya. Eksploitasi boleh terjadi dalam banyak bentuk termasuk menyerahkan wang, harta benda dan juga diri mereka sendiri.

Tidak terkecuali, ada yang mengaku diri mereka sebagai Imam Mahdi dengan membandingkan ciri-ciri mereka dengan ciri-ciri Imam Mahdi.

Ketua Bahagian Aqidah dan Hadis, Universiti Islam Selangor (UIS), Ustaz Dr. Mohamed Fairooz Mohamed Fathillah berkata, apabila seseorang itu berhadapan dengan perkara-perkara pelik, asing dan tak pernah belajar sebelum ni, maka pada ketika itulah seseorang perlu cepat-cepat ingat ayat-ayat Allah dalam Surah al– Anbiya ayat 7.

 فَسْـَٔلُوْٓا اَهْلَ الذِّكْرِ اِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُوْنَ 

..maka tanyakanlah kepada orang yang berilmu jika kamu tidak mengetahui.

“Sebagai seorang Muslim, kita mesti ada sifat ingin bertanya. Ada perkara-perkara yang dirasakan tak senang, tak betul, mencurigakan, hadis-hadis yang kita tak pernah dengar, seharusnya kita bertanya,” demikian tegas beliau ketika bercakap dalam program “Bicara Islam Rahmah Siri 2: Membongkar Misteri – Ajaran Sesat dan Bahaya Taasub” yang diadakan di Dewan Khawarizmi, Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 24 November lalu.

Menurut beliau lagi, beberapa faktor keterlaluan berpunca daripada diri seseorang itu sendiri seperti ideologi, sombong, melulu, tidak bertanya kepada orang yang berilmu serta suka memberontak dan berbeza pendapat.

Tidak terkecuali, sesuatu itu juga berpunca daripada sikap luaran seseorang kerana tekanan, situasi yang dialami atau masalah yang dihadapi.

Masalah-masalah itu mungkin berupa rasa tidak berpuas hati atau berputus asa dengan kezaliman, kekejaman dan ketidakadilan yang berlaku hinggakan mereka memutuskan untuk melarikan diri dengan menjebakkan diri dalam ekstremisme di bawah ilusi bahawa ia adalah penyelesaian kepada apa yang mereka lihat dan deritai itu.

Selari atau tidak dengan kehendak Islam?

“Apalagi dalam situasi kini, masyarakat sangat mudah mengetahui semua ini di media sosial. Seseorang itu perlu mengambil tahu adakah perkara sedemikian selari dengan agama atau tidak,” jelas Dr. Mohamed Fairooz.

Menurutnya lagi, jikalau tiada unsur taasub dan pengkultusan, seseorang boleh berfikir secara terbuka dan akan mendapat kebenaran.

“Itulah “red flag” yang perlu kita tahu dan pastikan apabila melihat perkara-perkara yang pelik, lebih-lebih lagi yang melanggari syarak.”

Setiap kita juga perlu sedar bahawa tidak ada istilah melanggari syarak untuk mendekatkan diri kepada Allah.

“Apa pun martabatnya, keturunan apa sekalipun, kita tidak ada kompromi kepada perkara-perkara yang melanggari syarak.”

Kaedah menangani ajaran sesat 

Rasulullah SAW telah melihat beberapa penyelewengan dan keterlaluan dalam perkara agama sebagaimana umat-umat terdahulu yang dibongkarkan sebagai petunjuk dan peringatan dalam Surah al-Maidah ayat 76, ayat 446 yang bermaksud:

Katakanlah: “Mengapa kamu menyembah selain daripada Allah sesuatu yang tidak dapat memberi mudarat kepadamu dan tidak (pula) memberi manfaat?” Dan Allah-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam Sahihnya: Bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Janganlah kamu memujiku sebagaimana orang-orang Nasrani memuji putera Maryam, bahkan aku adalah seorang hamba, maka katakanlah, ‘Abdullah dan Rasul-Nya’” (Al-Bukhari) Juga diriwayatkan secara sahih daripadanya: “Baginda bersabda: ‘Berhati-hatilah daripada berlebih-lebihan dalam agama. Orang-orang sebelum kamu telah dibinasakan oleh ekstremisme dalam agama.’”

Kepercayaan yang berlebihan terhadap status nabi dan wali menyebabkan umat terdahulu terjerumus ke dalam syirik, menyembah patung-patung mereka, meminta pertolongan dan makanan, mengusap kubur, bertawaf dan berpaut pada tirai makam, hinggakan perbuatan syirik tersebut menyimpang dari lingkaran tauhid yang murni ke dalam lipatan khurafat, karut dan khayalan kosong.

Setelah menutup saluran kemusyrikan, bidaah dan khurafat daripada langkah-langkah bangsa dan agama lain yang sesat atau menyeleweng, Rasulullah SAW menyeru umatnya untuk berhati-hati dan berpegang teguh kepada agama yang suci ini, sunah dan menjauhi setiap noda bidaah.

Baginda bersabda (maksudnya): “Hendaklah kamu berpegang teguh kepada sunahku dan sunah khalifah yang mendapat petunjuk sesudahku. Berpeganglah padanya dengan gigi geraham kamu dan berwaspadalah terhadap perkara yang diada-adakan; setiap perkara yang diada-adakan adalah bidaah dan setiap bidaah itu adalah sesat.”

Mempersiap jiwa untuk menerima nasihat 

Kaedah memerangi ajaran sesat hendaklah berdasarkan seruan dakwah yang baik dan dengan penuh hikmah. Seseorang itu perlu sedar akan nuansa dalam mengatur ketetapan tentang perbuatan manusia, terutama dalam persoalan akidah, ibadah serta isu-isu kekufuran dan keimanan.

Apa yang dituntut daripadanya ialah mempersiap jiwa-jiwa untuk menerima nasihat dan pembaikan, tidak menghadapi mereka dengan persaingan mahupun cabaran.

Tentunya ajaran sesat ini tidak boleh dipandang remeh, apalagi membiarkan “jenayah” ini berleluasa. Perlakuan yang salah adalah seperti minyak yang dicurahkan ke dalam api, dan yang pasti terdapat cara menanganinya dengan lebih berhati-hati serta berstrategi seperti memberikan nasihat, motivasi, bengkel pemulihan dan sebagainya.

Justeru, inilah waktunya untuk semua organisasi Islam bersatu mengisytiharkan dengan kebenaran, keikhlasan dan kepercayaan bahawa Islam bukanlah hak eksklusif mana-mana pihak. Ia tidak terhad kepada mana-mana kumpulan, mazhab, parti atau kaum, sebaliknya ia adalah agama Allah SWT yang kekal untuk semua manusia.

Program Bicara Islam Rahmah adalah anjuran Jabatan Pendidikan Masyarakat (JPM) Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang diadakan pada setiap bulan sejak Oktober 2024.

 

Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan pendidikan Masyarakat IKRAM

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia