Kenaikan OPR: Apa Alternatif Yang Tidak Membebankan Rakyat?

Kenaikan OPR: Apa Alternatif Yang Tidak Membebankan Rakyat? | IKRAM

Pada 6 Julai yang lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate atau OPR) sebanyak 25 mata asas dan menjadikan kadarnya ketika ini 2.25 peratus.

Kenaikan ini telah diputuskan semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang keempat ketika Malaysia kini berdepan dengan isu kenaikan harga barangan dan tenaga. Ini merupakan peningkatan kali kedua selepas kenaikkan sebanyak 25 mata asas pada bulan Mei lalu.

Ada penganalisis ekonomi merasakan kemungkinan kadar ini akan dinaikkan lagi oleh pihak BNM pada masa akan datang. Ini kerana BNM meramalkan bahawa kadar inflasi di Malaysia akan bertambah dari 2.2 peratus menjadi 3.2 peratus pada tahun ini.

Kerajaan Belanja Banyak

Punca utama mengapa masalah inflasi di Malaysia semakin serius ialah kerana kerajaan sendiri telah berbelanja dengan banyak pada tahun 2020 dan 2021 untuk mengatasi masalah ekonomi akibat penularan wabak Covid-19.

Puluhan bilion telah dibelanjakan oleh kerajaan dengan menggunakan dana yang dipinjam daripada industri kewangan. Langkah ini bukan sahaja dilakukan oleh kerajaan Malaysia, bahkan juga oleh kerajaan di negara-negara lain termasuk di Amerika Syarikat dan juga Eropah. 

Oleh yang demikian, masalah inflasi telah menjadi masalah global. Keadaan inflasi global ini menjadi lebih parah apabila berlaku peperangan di antara Rusia dan Ukraine kerana tanggapan bahawa bekalan gandum dan baja akan terjejas teruk. 

Tujuan utama mengapa kebanyakan kerajaan melakukan perbelanjaan dalam tempoh dua tahun yang lepas adalah untuk merangsang ekonomi yang telah menjadi perlahan, terutama sekali apabila peraturan PKP dilaksanakan untuk mengatasi masalah Covid-19.

Apabila rakyat tidak dibenarkan keluar daripada rumah masing-masing, sudah tentu perbelanjaan mereka akan menurun. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan telah menyuntik dana ke dalam ekonomi dengan harapan kadar permintaan di dalam ekonomi akan meningkat.

Langkah yang diambil termasuklah pemberian bantuan kewangan kepada rakyat yang terjejas. Rakyat juga dibenarkan untuk mengeluarkan dana daripada tabung simpanan KWSP untuk berbelanja.

Namun pada masa yang sama, PKP sebenarnya telah turut menjejaskan aktiviti pengeluaran dalam ekonomi. Sebagai contoh, ladang-ladang ternakan ayam terpaksa mengurangkan pengeluaran dengan mendadak. Bekalan-bekalan untuk ladang dan kilang turut terjejas. 

Keadaan menjadi lebih parah apabila pekerja asing juga terpaksa pulang ke negara asal mereka.

Menambah Hutang

Apabila wabak Covid berjaya dikawal dan langkah PKP ditamatkan, ramai rakyat Malaysia telah meningkatkan perbelanjaan mereka.

Oleh kerana ramai yang mempunyai simpanan yang kecil, kebanyakan perbelanjaan adalah melalui penambahan hutang, terutama sekali apabila membeli kereta dan rumah. 

Bahkan ada yang pergi bercuti dengan meminjam daripada bank atau menggunakan kad kredit. Ramai juga yang mengadakan kenduri perkahwinan dengan meminjam daripada bank.

Dalam sistem kewangan yang diamalkan sekarang, bank komersial (sama ada konvensional atau bank Islam) akan mencipta wang baru setiap kali mereka memberi pinjaman. Wang yang diciptakan daripada tiada menjadi ada ini tidak berbentuk fizikal. 

Ia hanya merupakan rekod elektronik yang disimpan dalam sistem teknologi maklumat bank sahaja. Industri perbankan sangat menggalakkan ahli masyarakat membuat pinjaman kerana bukan sahaja ia mudah dilakukan, bahkan akan menjana keuntungan lumayan untuk mereka. 

Namun apabila mata wang terlalu banyak diciptakan oleh industri perbankan (sama ada konvensional atau Islamik), sudah tentu nilai mata wang tersebut akan menurun. Inilah sebenarnya keadaan yang telah berlaku dan disebut sebagai inflasi.

Jika masalah inflasi tidak dapat dibendung dengan berkesan, banyak masalah lain yang akan timbul. Keadaan akan menjadi lebih parah jika terdapat pihak berkepentingan yang sengaja menyorokkan barang-barang keperluan untuk mempengaruhi harga.

Contoh Ekstrem: Zimbabwe

Satu contoh ekstrem ialah di negara Zimbabwe di mana pada tahun 2004 hingga 2008, ia telah mengalami kadar inflasi sebanyak 79,600,000,000 peratus sehinggakan pada November 2008 sahaja harga barangan meningkat setiap beberapa jam.

Keadaan inflasi yang teruk adalah zalim kepada rakyat, terutamanya daripada kalangan yang berpendapatan rendah. Ini kerana, ia akan mengakibatkan kecurian nilai kepada harta yang disimpan dalam bentuk matawang dan mengakibatkan kuasa-beli simpanan semakin hari semakin berkurangan.

Bagi warga tua yang tidak mempunyai peluang atau tenaga untuk mencari pendapatan tambahan, serta golongan yang menerima pendapatan dalam bentuk pencen bulanan yang tetap dan tidak berubah, inflasi akan menimbulkan masalah serius kerana kuasa beli wang mereka akan jatuh.

Ekonomi negara akan turut terjejas kerana keadaan inflasi biasanya akan diikuti oleh kejatuhan nilai mata wang berbanding matawang asing.

Kemerosotan nilai mata wang yang mendadak akan menakutkan pihak pelabur asing, dan akan membuatkan masalah kejatuhan nilai mata wang menjadi semakin serius.

Kejatuhan nilai mata wang juga akan memberi kesan yang teruk kepada sektor yang banyak mengimport barangan dari luar negara kerana harga barangan import akan naik melambung. 

Jika banyak keperluan asas seperti makanan dan petrol diimport, maka ramailah yang akan sengsara terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah.

Kawal Harga Burukkan Keadaan?

Ramai pihak mungkin akan mendesak kerajaan untuk mengawal harga bagi mengatasi masalah inflasi. 

Sebenarnya tindakan tersebut berisiko tinggi dan berpotensi memburukkan lagi keadaan jika petani dan penternak tidak mampu memperolehi keuntungan daripada jualan mereka. Mereka akan menutup ladang mereka dan akibatnya bekalan makanan akan berkurangan.

Keadaan inilah yang  telah berlaku di Venezuela di mana harga yang dimandatkan adalah terlampau rendah sehingga memaksa banyak syarikat, terutamanya dalam bidang pertanian kerugian dan akhirnya mereka terpaksa menghentikan operasi. Keadaan ini sekali gus mengurangkan jumlah makanan di dalam negara. 

Hakikat penting yang kita semua perlu sedari ialah masalah inflasi adalah sangat sukar untuk dielakkan daripada berlaku apabila kita berada dalam sistem kewangan yang berpaksikan industri hutang di mana mata wang dicipta dengan mudah oleh bank pusat dan bank komersial. 

Jika pihak bank pusat tidak berjaya mengawal tekanan untuk terus mencipta mata wang dengan banyak bagi membiayai perbelanjaan kerajaan, atau menurunkan kadar pembiayaan untuk menggalakkan industri perbankan memberi pinjaman dengan banyak bagi merangsangkan ekonomi, maka masalah inflasi negara akan menjadi lebih teruk pada masa hadapan.

Dalam suasana sedemikian, hanya golongan elit kewangan dan elit politik yang kaya yang mampu bertahan daripada masalah harga barangan dan perkhidmatan yang meningkat. Rakyat marhaen, terutamanya daripada kalangan yang berpendapatan rendah akan menanggung beban kos sara hidup yang semakin hari semakin tinggi.

Kenaikan OPR Membebankan Rakyat

Namun, kenaikan OPR juga sebenarnya akan membebankan rakyat. Ini terutama sekali kepada golongan yang mempunyai beban hutang yang tinggi kerana membeli rumah, membeli kereta dan lain-lain dengan cara berhutang kepada industri perbankan.

Rakyat perlu sedar bahawa membeli rumah dengan berhutang daripada bank sememangnya mempunyai banyak risiko. Sudah pasti kenaikan OPR akan mengakibatkan beban hutang mereka semakin meningkat lagi.

Rakyat juga perlu sedar bahawa jika semua orang cenderung untuk berhutang daripada bank untuk membeli rumah, harga rumah akan senantiasa naik.

Oleh sebab itulah, dalam keadaan sekarang, golongan muda perlu memikirkan alternatif lain dalam isu tempat tinggal, ini termasuklah dengan menyewa.

Hanya dengan cara itu, mereka boleh meningkatkan simpanan yang boleh dilaburkan atau disimpan untuk masa tua. Jika jumlah simpanan adalah tinggi, mereka boleh membeli tanah dan membina rumah satu hari nanti di kawasan luar bandar di mana harga tanah adalah lebih murah.

Rakyat juga perlu sedar bahawa dalam sistem ekonomi yang disokong oleh industri perbankan sebagai pembekal mata wang dan menjadi institusi utama dalam sistem kewangan kita, golongan marhaen akan senantiasa menghadapi cabaran kehidupan yang semakin hari semakin susah.

Inflasi dan kos sara hidup akan senantiasa meningkat daripada tahun ke tahun. Jumlah hutang dalam sektor kerajaan, korporat dan isi rumah juga akan senantiasa meningkat dan oleh itu, kadar upah atau gaji sukar untuk dinaikkan.

Akhirnya, usaha terakhir yang dapat dibuat untuk mengawal inflasi adalah dengan menaikkan OPR. Namun, langkah ini juga akan menimbulkan masalah kepada semua pihak terutama sekali dalam kalangan mereka yang mempunyai beban hutang yang tinggi. 

Golongan yang akan senantiasa untung dalam keadaan di mana rakyat secara keseluruhannya hidup dalam keadaan tertekan adalah golongan elit kewangan serta golongan yang berkuasa dan kaya yang bekerjasama dengan elit kewangan. Semakin banyak beban hutang dalam masyarakat, semakin banyak keuntungan untuk mereka. 

Penyelesaian Jangka Panjang

Sebagai rumusan, apa yang dapat disyorkan sebagai penyelesaian jangka panjang untuk masalah inflasi dan kos sara hidup yang tinggi adalah rakyat perlu meminimumkan hutang atau lebih baik lagi jika tidak mempunyai beban hutang langsung. 

Inilah sahaja cara yang dapat dibuat untuk mengelakkan beban hutang yang tinggi akibat kenaikan OPR. Apabila seseorang tidak mempunyai sebarang beban hutang, masalah yang ditimbulkan oleh kenaikan OPR akan dapat diminimumkan. 

Benarlah firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 276: 

“Allah memusnahkan riba (memusnahkan harta itu atau meniadakan berkatnya) dan menyuburkan sedekah (mengembangkan harta yang telah dikeluarkan sedekahnya atau melipatgandakan berkatnya). Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.”

Seterusnya Allah berfirman dalam surah yang sama, ayat 279:

“Maka jika kamu tidak melaksanakannya (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kamu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok asal hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya (dirugikan).”

Tidak cukup lagikah peringatan ini untuk menyedarkan kita semua sedangkan kita kini sedang merasai kesan mengingkari larangan Allah ini?

Prof. Dr Mohd Nazari Ismail
Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia