Kempen respons positif galak emosi sihat

Jika diimbas semula titik kemarahan masyarakat bermula dengan keculasan mematuhi prosedur oleh segelintir golongan atasan atau golongan ‘kayangan’ ketika negara masih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Ia seakan-akan ‘berjangkit’ dari satu individu ke satu individu yang lain melibatkan nama-nama besar seperti selebriti tanah air dan juga golongan pemimpin negara sendiri.

 

Di kala ini, emosi masyarakat bukanlah sesuatu yang boleh diperlekehkan sementelahan mereka inilah yang bertindak sebagai ‘kamera litar tertutup’ terhadap segala isu yang berlaku dalam negara, merakam segala tindak-tanduk masyarakat terutamanya figura awam dan tidak kurang juga yang menjadi ‘hakim’ dalam kalangan mereka.

 

Kita berhak melampiaskan rasa marah dan kecewa dengan apa yang berlaku. Namun, apa yang menjadi perhatian penulis adalah sikap atau penerimaan masyarakat terhadap isu ini yang dimuntahkan melalui kata-kata kesat melampau, cacian, makian malah turut menyumpah seranah mereka yang terlibat sehingga menimbulkan suasana tidak sihat.

 

Apa yang dibimbangkan bukan sahaja kesan kepada emosi pelaku, tetapi juga kepada emosi mereka yang menjadi pahlawan papan kekunci ini.

 

Sering kita mendengar alasan klise akaun media sosial adalah hak masing-masing, namun jangan kita lupa kesan psikologi akibat kecaman di media sosial ini boleh berakhir dengan pengalaman kesihatan mental yang negatif.

 

Individu terlibat terpaksa menyahaktifkan akaun media sosial mereka dan mengalami kemurungan. Adakah ini petanda kejayaan buat pengguna media sosial? Sudah tentu tidak. Malah, kita sebenarnya menarik lebih ramai pengguna menggali ‘lubuk dosa kering’ di media sosial.

 

Adakah kita sudah bersedia melihat generasi akan datang menilai pencapaian hebat di media sosial itu berdasarkan kepuasan menyakiti emosi orang lain?

 

Sejujurnya, sukar untuk kita bersangka baik apabila berhadapan dengan isu-isu sensitif di media sosial pada hari ini, namun inisiatif sendiri mampu menghalang diri daripada terjebak dalam gejala ini.

 

Bukan bermaksud menafikan kebebasan bersuara tapi lihat semula manfaat yang diperolehi selepas hak bersuara itu dilontarkan. Rata-rata masyarakat hanya ingin memuaskan hati sendiri berbanding mengharapkan perubahan lebih baik dari isu yang timbul.

 

Rantaian respons balas tanda sokongan pula menjadi ‘tulang belakang’ supaya tingkah laku tersebut diteruskan lagi. Perbalahan berpanjangan semata-mata untuk menentukan pandangan siapa lebih baik.

 

Perunding Psikologi dari Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh berpandangan, kepelbagaian latar belakang dan personaliti pengguna media sosial menjadi faktor kepada situasi ini.

 

Boleh jadi individu yang terjebak mempunyai ketidakseimbangan dalam kehidupan mereka, sering terdedah dengan persekitaran yang negatif dan cenderung melihat sesuatu perkara itu dari sudut negatif.

 

Pendidikan dari keluarga itu sendiri perlu ditambah baik kerana setiap anak melalui proses imitasi daripada kedua ibu bapa mereka sejak kecil lagi. Sekiranya ibu bapa seorang yang mudah melenting, berkata kesat, menghukum tanpa usul periksa, ia sekali gus mendorong anak-anak mengikuti tingkah laku yang sama.

 

Kempen Jom Respons Positif wajar dilaksanakan dengan sokongan kumpulan media sosial bagi mendidik masyarakat supaya cakna dalam setiap isi kandungan isu yang dilaporkan, bukannya tertumpu kepada tajuk utama sahaja.

 

Banyak keculasan etika kewartawanan yang bertujuan untuk mendapatkan perhatian pembaca semata-mata sehingga menimbulkan emosi negatif masyarakat yang meluap-luap.

 

Tajuk yang hangat sering kali membuatkan masyarakat tersilap tafsir isi kandungan sebenar berita yang ingin disampaikan. Penyebaran respons positif seperti doa, harapan, saranan, nasihat dan teguran berhikmah secara tidak langsung memberi aura positif kepada pengguna lain dan menyangkal persepsi buruk dalam cepu fikiran.

 

Marilah kita ikuti saranan agama Islam agar menjaga lidah selari dengan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang menyebut, “Siapa saja yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata baik atau diam.”

 

Bersama kita mengawal emosi supaya jauh daripada bulatan toksik ciptaan sendiri. Ingatlah, lisan dan tulisan kita mempamerkan bagaimana hati kita. Tepuk dada tanyalah iman.

 

Noor Syaibah Shabuddin
Pegawai Tadbir
Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia