Kemerdekaan Malaysia yang dikecapi pada 31 Ogos 1957 bukanlah hasil perjuangan satu kelompok atau satu pendekatan semata-mata.
Ia adalah natijah daripada gelombang kebangkitan pelbagai aliran iaitu golongan ulama, nasionalis kanan dan gerakan kiri yang mewakili denyut nadi rakyat dari segenap pelosok negara.
Perjuangan mereka berbeza pendekatan, namun bersatu dalam matlamat: membebaskan tanah air daripada penjajahan British dan membina masa depan yang lebih bermaruah.
Namun, naratif sejarah rasmi sering kali menyempitkan ruang pengiktirafan hanya kepada tokoh tertentu dan jalur politik utama.
Pendekatan ini bukan sahaja merugikan pemahaman generasi akan realiti sejarah, malah menjejaskan usaha membina satu identiti bangsa Malaysia yang inklusif dan adil.
Untuk mewujudkan generasi bangsa Malaysia moden, kita perlu menelusuri kembali akar sejarah ini dan menyusun semula naratif negara agar benar-benar mencerminkan semangat kolektif kemerdekaan.
Ulama Islam: Perjuangan berlandaskan agama dan keinsafan ummah
Gerakan awal menentang penjajahan banyak digerakkan oleh tokoh-tokoh ulama tempatan yang bangkit menentang penindasan British. Mereka melihat penjajahan bukan hanya sebagai penjajahan fizikal, tetapi juga penjajahan ke atas nilai, agama dan budaya umat Islam.
Di Kelantan, Tok Janggut (Haji Mat Hassan Panglima Munas) menentang sistem percukaian yang diperkenalkan British pada 1915. Penentangan itu berakhir dengan beliau dibunuh dan mayatnya dipamerkan secara terbuka yang merupakan simbol kekejaman kolonial British terhadap penentangan rakyat.
Di Terengganu, Haji Abdul Rahman Limbong memimpin kebangkitan petani pada awal 1920- an setelah British melarang rakyat membuka tanah tanpa kebenaran. Bagi beliau, tanah adalah hak Allah dan rakyat wajib mempertahankannya.
Kedua-dua tokoh ini memperlihatkan bagaimana perjuangan ulama Islam menjadi asas kesedaran nasional yang kemudian berkembang lebih luas. Ulama bukan sekadar pemimpin agama, tetapi penggerak kebangkitan rakyat.
Golongan kiri: Suara rakyat dan nasionalisme
Golongan kiri mula muncul secara berorganisasi selepas Perang Dunia Kedua sebagai reaksi kepada penindasan berterusan kolonial dan ketidaksamarataan sosial. Mereka membawa semangat nasionalisme dan menuntut kemerdekaan secara total – tanpa kompromi, tanpa penangguhan.
Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaacob ialah organisasi Melayu pertama yang secara terbuka menuntut kemerdekaan penuh. KMM memperjuangkan gagasan Melayu Raya, penyatuan Tanah Melayu dan Indonesia untuk membina kekuatan bangsa serumpun.
Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pula, di bawah pimpinan Ahmad Boestamam, menyuarakan pembebasan rakyat daripada kapitalisme kolonial dan menuntut keadilan sosial. Dalam Manifesto PUTERA-AMCJA (1947), mereka menuntut Perlembagaan Rakyat yang jauh lebih progresif daripada Perjanjian Persekutuan 1948.
Golongan kanan: Pendekatan diplomatik dan konsensus antara kaum
Golongan kanan pula menggunakan pendekatan lebih sederhana – melalui perundingan dan pembinaan institusi politik. Golongan ini termasuklah pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambanthan yang berjaya membentuk Perikatan – kerjasama politik antara Melayu, Cina dan India.
Tunku memimpin delegasi ke London pada 1956 dan berjaya mencapai kata sepakat dengan British untuk kemerdekaan tanpa pertumpahan darah. Ia adalah pencapaian besar – dan menjadi asas kepada kontrak sosial serta pembentukan negara berbilang kaum.
Meskipun pendekatan mereka lebih pragmatik dan diterima penjajah, namun peranan mereka tidak harus menghapuskan sumbangan gerakan yang lebih radikal.
Penyatuan melalui sejarah: Akar kepada identiti bangsa Malaysia
Setiap jalur perjuangan—agama, kiri dan kanan—mewakili pelbagai kelompok rakyat: petani, buruh, pelajar, peniaga, ulama, guru dan pemimpin masyarakat. Inilah cerminan awal kepelbagaian Malaysia hari ini. Kemerdekaan bukan datang daripadai satu kaum atau satu ideologi, tetapi hasil getaran gelombang rakyat dari seluruh tanah air.
Naratif kemerdekaan yang hanya mengangkat satu pihak memberi kesan buruk terhadap pembentukan identiti bangsa Malaysia:
- Ia mewujudkan rasa keterasingan dalam kalangan komuniti tertentu yang merasakan perjuangan nenek moyang mereka dipadam.
- Ia menghalang generasi baharu daripada memahami kemerdekaan sebagai projek rakyat dan bukannya sekadar pencapaian elit politik.
Sebaliknya, jika kita rangkul dan raikan semua jalur perjuangan ini:
- Kita akan dapat membina identiti bangsa yang jujur kepada sejarahnya.
- Kita akan mampu menyatukan rakyat atas dasar penghargaan kolektif terhadap masa lalu.
- Kita akan menanam rasa tanggungjawab bersama terhadap masa depan negara.
Cadangan dasar untuk menyatu melalui sejarah
Kemerdekaan Malaysia tidak lahir dari satu jalur. Ia adalah hasil daripada denyut pelbagai suara yang walau berbeza pendekatan, bersatu dalam hasrat membebaskan tanah air.
Jika kita jujur dalam mengangkat warisan sejarah ini, kita bukan hanya mengiktiraf pejuang sebenar, tetapi juga menyemai identiti bangsa Malaysia yang berasaskan kebenaran, perpaduan dan pengorbanan bersama.
Kemerdekaan bukan sekadar satu peristiwa – ia adalah akar kepada siapa kita hari ini. Marilah kita rangkul semua jalur perjuangan sebagai tiang seri kepada penyatuan bangsa Malaysia yang sejati.
Abdullah Fikri Bariman
Timbalan Yang Dipetua
IKRAM Kawasan Batu Pahat