Keluarga – Pejuang Kemerdekaan Tidak Didendang

Keluarga, Pejuang Kemerdekaan Tidak Didendang | IKRAM

Setiap kali tarikh 31 Ogos timbul, rakyat Malaysia umumnya akan bergembira bukan hanya kerana ia adalah hari cuti umum kebangsaan, tetapi ia memberi peluang kita menilai pencapaian negara dalam pelbagai aspek pembangunan.

Tidak kurang juga dalam kalangan rakyat yang akan mengimbau kembali bibit-bibit perjuangan dan pengorbanan yang dilalui oleh nenek moyang kita untuk mendapatkan kemerdekaan dan kesejahteraan yang dikecapi hari ini.

Mungkin bagi generasi baru, perjuangan dan pengorbanan tersebut menjadi nyata melalui kisah daripada ibu bapa dan datuk nenek, gambar, video, lokasi sejarah dan artifak yang dapat diikuti dari pelbagai medium yang dapat dicapai. 

Aktiviti seperti ini perlulah diteruskan dan dipupuk agar generasi akan datang terus memahami bahawa negara tercinta ini penuh dengan sejarah perjuangan dan pengorbanan.  Sejarah ini boleh dijejaki sejak sebelum kedatangan Inggeris lagi.  Banyak darah dan air mata yang mengalir di  bumi bertuah ini.

Apabila disebut perjuangan dan pengorbanan untuk mencapai kebebasan kita selalu merujuk kepada pimpinan dalam masyarakat dan pasukan keselamatan.  Jasa mereka sangatlah dihargai. 

Mereka berdepan secara langsung dengan ancaman dan senjata musuh yang pelbagai macam dengan penuh keberanian.  Diri dan nyawa menjadi benteng agar kita memperolehi kemenangan.  Tiada perkataan yang selayaknya untuk mengungkapkan pengorbanan mereka.

Namun, tidak ramai yang membicarakan pengorbanan yang dilalui oleh keluarga di Malaysia dalam usaha negara mencapai kemerdekaan.  Bagi setiap anggota keselamatan yang terkorban contohnya, ada sahaja keluarga yang menderita.  

Ada isteri yang kehilangan suami dan suami kehilangan isteri; ada ibu dan bapa yang kehilangan anak lelaki yang menjadi punca rezeki; anak-anak kecil yang masih dahagakan kasih sayang dan pelukan; ada adik yang kehilangan saudara yang menjadi idolanya. Kehidupan mereka dihiasi dengan kesedihan dan keperitan.  

Di kampung dan di bandar, keluarga pada era kemerdekaan bersusah-susah untuk memenuhi keperluan hayat.  Hasilnya, setiap keluarga mampu melangsungkan kehidupan dan membesarkan generasi baru dengan apa sahaja sumber yang diperolehi.

Ibu dan bapa menjadi pejuang-pejuang yang tidak didendangkan tanpa mengira penat lelah.  Lahirlah daripada keluarga ini keutuhan yang menjamin modal insan berterusan buat negara tercinta.  

Oleh yang demikian, sempena sambutan Bulan Kemerdekaan kali ini, marilah kita sama-sama menghayati perjuangan setiap keluarga; dahulu dan sekarang, tanpa mengira kaum dan agama terutama perjuangan ibu bapa dalam usaha melahirkan keluarga yang utuh. 

Selain daripada itu, ikatan perpaduan dalam kalangan keluarga pelbagai kaum di negara kita sejak sekian lama perlulah dipupuk sentiasa.  Kita kena ingat, nilai muhibah telah mengikat kesepaduan dan menjamin keamanan di Malaysia.  

Walaupun ada banyak cabaran yang kita hadapi, perhubungan keluarga silang budaya di negara kita sebenarnya adalah baik. Bak kata Bapa Kemerdekaan:  

Kita semua rakyat Malaysia. Inilah ikatan yang menyatukan kita. Marilah kita sentiasa ingat bahawa perpaduan adalah kekuatan asas kita sebagai rakyat dan sebagai sebuah negara.” (Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, 3 Jun 1957)

Semua ini dapat dicapai kerana “Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama.”  Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia 2022.

Rozalli Hashim adalah Ketua Kumpulan Fokus Institusi Keluarga Utuh, Kluster Masyarakat Progresif, Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia