Kembara Dakwah di Bumi Mesir: Kenangan STEP 2012 [Bahagian Akhir]

Program dengan pimpinan akhawat malam sebelumnya habis hampir jam 11.00 malam. Seusai program Saudari Fathiyyah, AJK STEP 2012 mengambil kesempatan untuk memberi kami taklimat terakhir sebelum program. Wah! Nampaknya anak-anak kita nampaknya dapat mengurus organisasi mereka dengan teratur dengan pembahagian potfolio dengan agak kemas.

Sewaktu berjalan-jalan di Hussain petang semalam pun kami dah terserempak dengan anak-anak pelajar dari Mansoura dan dari beberapa tempat lain yang datang awal untuk ke STEP 2012. Kebanyakan mereka tumpang menginap di rumah rakan-rakan di Kaherah. Dengarnya pelajar dari Alexandria akan datang dengan menaiki enam buah bas yang disewa khas.

Lepas program, kami tidur awal dan bangun awal sekitar jam 3.00 pagi dengan dua tujuan: mengemaskan bahan penyampaian dan juga mengemaskan beg dan barang-barang kami. Jadual hari itu padat sekali; program dijangka tamat jam 5.00 petang dan penerbangan kami balik ke Malaysia di jadualkan jam 11.00 malam nanti. Maknanya tak banyak masa untuk berkemas lepas program nanti.

Selepas solat Subuh berjamaah dan membaca Ma’athurat, kami sama-sama bermunajat memohon kepada Allah agar perjalanan program hari ini diberkati, diberikan bantuan dan pertolongan oleh-Nya sehingga dapat menyantuni hati-hati peserta yang hadir. Ustazah Ros selaku hos amat memahami keadaan kami pagi itu begitu prihatin, membawakan sarapan ke bilik tidur kami.

Ini betul-betul breakfast in bed. Kami makan roti dengan telur kocak dan salami daging. Hmmm… memang sedap. Sebelum tu Ustazah Ros tolong bancuhkan air madu dengan perahan lemon untuk melegakan suara Dr Har yang sudah mula serak. Bantuan dari anakanda Khadijah dalam menguruskan keperluan menggosok pakaian kami juga amat dihargai.

Tepat jam 8.30 pagi kami bergerak dibawa oleh Faisal ke Al-Azhar Convention Centre. AJK Program sedia menunggu kami; yang lelaki kelihatan segak dengan suit masing-masing siap dengan rosette berwarna biru turquoise dan yang perempuan memakai tudung biru turquoise dan berkot hitam.

Fathiyyah, selaku AJK yang menjaga kebajikan kami membawa kami ke ruang menunggu sebelum masuk ke dewan besar. Kelihatan para peserta juga mula beratur mendaftarkan diri di kaunter-kaunter yang telah disediakan. Masing-masing peserta juga berpakaian kemas kebanyakannya hadir dengan kot masing-masing. Segala-galanya begitu teratur dan tersusun pagi itu.

Kami bertemu dengan Puan Haniza, CEO Medic Mesir yang tiba dari Malaysia pada hari sebelumnya. Medic Mesir adalah antara penganjur bersama program STEP 2012. Tidak lama kami menunggu sebelum pegawai dari Education Malaysia Egypt (EME) sampai termasuk tetamu kehormat iaitu Pengarah EME sendiri iaitu Pengarah Education Malaysia Egypt (EME), Prof. Madya Dr Hj Su’aidi bin Dato Hj Safei.

Beliau mendapat ijazah sarjana mudanya di Mesir sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya hingga ke PhD di Universiti Leeds. Pernah berpengalaman berkhidmat di Brunei dan terakhir berkhidmat di UTeM sebelum menjawat jawatannya sekarang. Merupakan seorang orator dan juga motivator; beliau kelihatan amat bersedia untuk ucapan perasmiannya.

Kami akhirnya berarak masuk ke dalam dewan, terasa macam menghadiri majlis konvokesyen pula. Kebetulan masa bertemu dengan Prof tadi beliau menyebutkan yang majlis konvokesyen graduan Al-Azhar diadakan di dewan ini.  Beliau juga menyebutkan tentang kejayaan program A Glimpse Through Medichood anjuran MedicMesir yang diadakan di Tanta yang berjaya mengumpulkan  400 pelajar sebelumnya.

Majlis Perasmian

Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan oleh pengacara majlis, Saudara Akram Shamsuri (yang mahu dipanggil Akrom) yang berkaliber, very witty dan spontan ini. Pantun-pantunnya yang bertemakan keluarga zirafah menghiburkan hadirin sepanjang hari. Ana mendapat tahu bahawa beliau adalah graduan program MHI tahun 2010 kita.

Majlis dimulakan dengan alunan bacaan Al-Quran oleh Saudara Naufal, seorang Qari dengan suara emas yang membacakan ayat-ayat  dari surah Ali Imran 102-105 dengan lantang dan merdu.  Video promo STEP 2012 ditayangkan selepas tilawah ini. Selepas itu Pengarah STEP 2012 Saudara Abd Rahman Nik Mazian memberikan ucapan aluannya dan meletakkan Kelab IKRAM Mesir di satu mercu dan permulaan yang baik dengan program yang grand ini.

Ucapan Perasmian

Tibalah ucapan yang ditunggu-tunggu  iaitu perasmian oleh Prof Su’aidi.  Bagi yang biasa mendengar ucapannya, mereka mengatakan yang ucapan pagi ni diberikan dengan nada yang agak berbeza. Beliau memang seorang motivator dan berjiwa seni.

Antara ucapan permulaannya adalah ucapan tahniah kepada Kelab IKRAM Mesir yang walaupun baru seminggu didaftarkan telah berjaya mengadakan program yang gilang gemilang ini.  Semasa majlis bermula terdapat lebih kurang enam buah bas dari Alexandria yang masih belum sampai. Jadi, masa beliau berucap, pelajar-pelajar ini baru sampai. Jadi, dari atas pentas beliau menyaksikan berduyun-duyun peserta memenuhi dewan.

Dalam ucapannya juga beliau menyentuh tentang menangani kepelbagaian dan ini menjadi mukaddimah yang baik terhadap latihan kemahiran yang bakal dijalankan kepada peserta sepanjang hari. Memang kita tidak boleh nak underestimate homework yang di jalankan oleh Prof ni sebelum hadir ke program kita.

Sebelum program bermula program juga ada menyebutkan kuota pelajar Malaysia yang diberikan oleh kerajaan Mesir adalah besar; sekitar 2000 tempat. Dan saban tahun kita tak akan memenuhi kuota ini. Akhirnya beliau berharap agar STEP 2012 berjaya melahirkan profesional yang hebat dan cemerlang untuk berkhidmat di negara kita, Malaysia.

Majlis perasmian diakhiri dengan pemberian cenderahati yang disampaikan oleh Ust Abd Haris Bain kepada Pn Haniza dan Prof Su’aidi. Sementara para VIP diiringi untuk jamuan ringan, majlis di teruskan untuk program yang  telah dirancang. Program yang dirancang memang padat untuk ruang masa yang begitu terhad.

Namun, Alhamdulillah pengurusan yang teratur dari anak-anak muda kita berjaya melicinkan perjalanan program. Menguruskan lebih 1200 peserta dengan makan minum dan sela masa untuk solat Jumaat dan sebagainya bukanlah sesuatu yang mudah, namun berkat kerjasama yang erat maka segala-galanya dapat berjalan dengan lancar biiznillah.

Pengisian Program

Antara kepakaran Dr Har adalah di bidang Perkembangan Profesional dan Kendiri Pelajar-Pelajar Perubatan. Pengalaman lebih 6 tahun menjalankan program ini untuk semua pelajar perubatan HUKM menjadikan modul yang disampaikan pada STEP 2012 ini relevan kepada semua peserta yang hadir.

Antara topik yang dibentangkan seperti Becoming 5 star students serving Malaysia Professional Sector, Survival Tips for Medical Student, Managing Diversity, Life Balance, Critical ThinkingDecision Making, Problem Solving dan Emotional Intelligence.

Perkongsian tentang life balance (kehidupan yang seimbang) yang diberikan kepada siswi sewaktu rehat tengahari juga berjaya mencuri perhatian siswa untuk mendengar sekali. Di sepanjang sesi, kami menerima hampir sekotak soalan-soalan dari peserta. Untuk menjimatkan masa, peserta diminta untuk menuliskan soalan-soalan mereka.

Pelbagai soalan yang diajukan berkisar  tentang persoalan masalah pembelajaran, pengurusan emosi dan cabaran kehidupan, masalah perhubungan dan komunikasi , persoalan menangani cabaran suami atau isteri yang tinggal berjauhan, persoalan tentang pluralism dan dakwah non-Muslim, persoalan dakwah dan tarbiah, dan lain-lain.

Dalam kesempatan yang terbatas kami cuba menjawab secara umum persoalan-persoalan yang ditanyakan. Selebihnya kami serahkan kepada Kelab IKRAM Mesir untuk mengadakan program susulan dan soalan-soalan itu boleh menjadi garis panduan tentang keperluan sebenar pelajar-pelajar kita.

Majlis Penutup

Majlis kemudian diserikan dengan halwa telinga dan mata dengan persembahan nasyid yang dipersembahkan oleh dua kumpulan nasyid berbakat. Hmm… padanlah di bangunan MedicMesir Tanta nak dilengkapkan dengan peralatan gim dan muzik; ini juga salah satu keperluan anak-anak muda yang perlu disantuni.

Majlis ditutup dengan penayangan video STEP HAYBAT 2012 dan bacaan doa yang dibacakan oleh Ustaz Luqman Zaharuddin. Berbunga-bunga hati, saya melihat ramai anak-anak muda kita yang sedang membesar dan menjadi  pewaris dakwah kita, yang bukan saja comel dan kacak, tetapi yang utama, hasanah perangai dan akhlaknya.

Selepas majlis tamat, sesi bergambar pula bermula. Hmm… bayangkan nak melayan hadirin yang ribuan bilangannya. Tentunya sukar juga menolak permintaan dari siswa untuk bergambar; masa inilah kami membayangkan diri kami sebagai ummi-ummi bagi mereka. Ramai juga yang menyebutkan “Dr Har , mak saya pesan ingatkan saya bergambar dengan Dr Har (rupanya mak-mak mereka juga adalah peminat Dr Har di Malaysia).”

Masa sesi inilah kita boleh nampak yang hadir tu dari pelbagai latar belakang; ada juga bro yang berambut panjang tapi diikat kemas ke belakang. Apa pun, kita santuni belaka. Kami sedar tak semua peserta yang dikumpulkan akan menjadi penggerak dakwah, namun kami amat berharap agar program ini dapat menyantuni emosi mereka dan kita dapat mendekatkan jurang antara kami dan mereka supaya akhirnya mereka berupaya menjadi pendokong kepada kebenaran dan kebaikan yang ingin disebarkan di atas bumi Allah SWT ini.

Kami meninggalkan Al-Azhar Conference Centre hampir jam 6.00 petang untuk bergegas ke rumah Ust Haris, berkemas kali terakhir dan menyiapkan diri. Sebelum bertolak ke lapangan terbang, kami makan malam lauk ikan siakap masak merah di restoran Melayu Pattani di Hayyu Sabi’ berdekatan rumah Ust Haris. Makan malam ni dihoskan oleh Puan Haniza Medic Mesir yang turut sama menyertainya.

Kami menaiki kereta Faisal sementara anakanda Khadijah dan rakan-rakannya menggunakan khidmat teksi untuk ke lapangan terbang. Di sana, Abd Rahman telah sedia menunggu. Alhamdulillah, urusan bagasi di sana tidak menghadapi banyak masalah. Kami meninggalkan bumi Mesir yang penuh kenangan ini pada jam 11.40 malam 6 April dan tiba di Kuala Lumpur sekitar jam 6.00 petang 7 April setelah transit di Bangkok selama lebih sejam.

Terima kasih Ust Haris, Saudara Faisal,Ustazah Rosmawati dan semua ikhwah akhawat penggerak Kelab IKRAM Mesir yang terlibat. Hanya Allah SWT yang dapat mengganjari usaha anda semua. Segala yang baik itu sesungguhnya dari Allah dan segala keburukan datang dari kelemahan kami. Semoga amal-amal kita diterima Allah SWT dan diselamatkan dari perkara yang boleh mencacatkannya, Amin.

Tujuan coretan ini adalah untuk berkongsi dan sekiranya ada yang baik, kita jadikan teladan dan yang buruk kita jadikan sempadan. Saya berusaha untuk bersikap objektif dalam pemerhatian saya ini dan berharap agar coretan yang agak panjang ini bermanafaat untuk dikongsikan. Saya mulakan dengan Mesir dahulu. InsyaAllah, jika diizinkan Allah, coretan ini akan disambung dengan pengalaman di UK dan Prague. Terima kasih bagi yang sudi membaca hingga ke akhir…… Yes, Sharing is Caring….

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia