Alhamdulillah dengan menaiki Avanza, kami dipandu oleh Saudara Ahmad Samhan (digelar Abang Mat oleh pelajar di sana), orang Pasir Mas, pelajar Tahun 3 dalam bidang Perubatan di Universiti Tanta yang menunjukkan kecekapan pemanduan mengharungi trafik dan jalanraya Mesir yang begitu dahsyat itu.
Beberapa kali juga kami berasa degupan jantung begitu kencang bagai nak tercabut kerana perjalanan yang begitu mencabar. Suasana petang yang terang dan menyamankan, perjalanan di tebing sungai-sungai cabang sungai Nil; pelbagai kenderaan termasuk trak, kereta kuda, kereta kerbau, kereta himar dan keldai bersimpang siur, pelbagai kenderaan yang sarat membawa batu bata, seperti lori yang membawa bawang putih (gambar kanan) melebihi muatan tanpa diletakkan di dalam guni menjadi pengalaman yang kekal dalam ingatan.
Apa yang menonjol walaupun kehidupan mereka nampak kasar, namun hakikatnya orang Mesir adalah orang yang paling peramah dan amat senang memberikan bantuan. Kalau di UK dan Czech, pelajar Malaysia di sana bergantung kepada gajet GPS seperti Tom Tom dan Go Clever (ada masanya not so clever juga kerana tidak menunjukkan arah yang dengan betul), kami perhatikan Samhan ni memang banyak menggunakan ‘life GPS’ untuk tunjuk arah; berhenti tepi jalan tanya orang; satu ketika ‘GPS kami’ (penunjuk jalan ) tu masuk dalam kereta untuk menunjukkan arah kami menuju destinasi.
Selepas melalui perjalanan ini, saya memang tabik spring kepada pelajar kita yang belajar di Mesir. Tentunya belajar di tempat seperti ini akan menyebabkan anda semua lebih kuat semangat dan tahan diuji. Inilah juga yang kami katakan kepada para pelajar: “Anda semua patut menjadi doktor dan professional yang lebih baik dan kuat semangat kerana belajar dalam kehidupan yang serba mencabar ini”.
Selepas 4 jam kami sampai ke Mansourah, saya dan Khadijah berhenti di sini untuk program bersama pelajar di sini pada jam 9.00 malam. Ahmad Samhan meneruskan perjalanan membawa Dr Har ditemani Fira dan Hanisah (dua pelajar Universiti Mansourah) ke Tanta. Program di Mansourah diadakan di rumah Saudara Aiman Abd Latif dan isterinya Kauthar.
Seramai 50 pelajar Malaysia berkumpul di situ. Masya-Allah, sejuk hati bertemu anak-anak daripada pelbagai jurusan. Saudara Luqman Zaharuddin membacakan ayat-ayat Al-Quran dan doa dengan merdu sekali, layaknya sebagai seorang yang bergelar Ustaz tak lama lagi. Saudara Afif Abd Latif, adik kepada Aiman pun turut hadir.
Sesampainya Dr Har di Dewan Kuliah Anatomi di Universiti Tanta, dewan penuh sesak dengan sekitar 400 pelajar yang sedia menunggu. Para pelajar tidak dikecewakan dengan persembahan penuh bertenaga dan menginspirasikan dengan tajuk “A Glimpse through Medichood“. Rupa-rupanya kehadiran tokoh perubatan dan pimpinan IKRAM ini memang dinanti-nantikan.
Saya kongsikan berita program yang termuat dalam blog TantaMedicMesir oleh Saudara Nurul Athirah Zulkifli:
Tanta, 3 April 2012 – “Saya nak buktikan orang Islam boleh maju”, kata Prof Madya Dr Harlina Halizah Haji Siraj, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi UKM. Kata-kata itulah yang menjadi pembakar semangat beliau sejak zaman sekolah yang membimbing diri beliau menjadi seorang yang sangat positif dan menjadi doktor Islam yang berjaya sebagaimana beliau hari ini.
Kedatangan beliau ke Mesir adalah untuk menjayakan program STEP (Sliding Through Experience as Professionals) yang bakal berlangsung di Al-Azhar Conference Centre, Cairo, pada Jumaat,6 April nanti anjuran Education Malaysia Egypt, Kelab IKRAM Mesir dan Medic Mesir yang juga bakal disertai hampir 1200 orang pelajar jurusan perubatan dan agama dari seluruh Mesir.
Namun, beliau sempat membuat kunjungan istimewa ke bumi Tanta demi bersua muka dengan anak-anak pelajar Medik di sini, untuk membakar semangat atma-atma pejuang agama supaya lebih bertenaga dalam jihad menuntut ilmu dan mencari redha-Nya. “A Glimpse Through Medichood”, slot pendek selama 2 jam yang dijalankan di Dewan Kuliah Anatomi Universiti Tanta itu lebih tertumpu pada usaha merealisasikan kecemerlangan diri dan organisasi dalam perjuangan melahirkan doktor Muslim yang hebat.
Antara intipati program bersama beliau itu, beliau banyak berkongsi tentang kehidupan manusia dan beberapa noktah asas sebagai kayu asas kejayaan serta usaha menggapai kejayaan dunia dan akhirat. Sebagai seorang yang berfikiran jauh, beliau cuba untuk mencungkil kesedaran setiap yang hadir untuk mengasah potensi diri masing-masing untuk berusaha menjadi doktor Muslim yang berjaya dan dapat menyumbang untuk ummah suatu hari nanti.
Beliau mengingatkan semua pelajar bahawa “Kemenangan itu hanya dari sisi Allah”, dan sebagai seorang Mukmin, kita wajib sedar dan yakin dengan ketentuan Allah swt. Sebagaimana firman Allah swt dalam al-Quran yang bermaksud,
“Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu, jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu (selain) dari Allah sesudah itu? Karena itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakal.” ( Surah Al-Imran 3:160)
Tawakkal merupakan kunci kejayaan buat Mukmin di mana kita semua perlu yakin dengan Qada’ dan Qadar Allah SWT. Alhamdulillah, walaupun program yang berlangsung itu singkat, namun kata-kata beliau cukup memberi kesan kepada semua yang hadir. Moga semangat doktor Muslim yang positif dalam diri Dr Harlina mampu mengalir dalam jiwa bakal-bakal doktor yang hadir demi merealisasikan kecemerlangan dunia dan akhirat.
Sesi di Tanta dan Mansourah tamat sejurus sebelum tengah malam. Berbanding di UK dan Czech di mana keadaan sekitar agak sunyi menjelang malam kecuali tempat tertentu seperti pub, disko dan sebagainya, di Mesir masih ramai orang berada di luar rumah pada waktu malam terutama ketika musim panas.
Keesokan harinya (Khamis 5 April) sebelum ke Tanta mengambil Dr Har, saya dan Khadijah sempat berkunjung ke rumah sahabat yang membantu melihat kebajikan Khadijah dan kawan-kawannya. Sekitar jam 10.00 pagi kami bertolak ke Tanta bersama Samhan. Kali ini Samhan ditemani oleh Saudara Faris , pelajar jurusan Dirasat Islamiah di Dumiyat. Faris dan kembarnya, Faiz, belajar di Mesir mengambil jurusan agama.
Menurutnya, mereka adalah antara kumpulan yang terakhir mahasiswa Al-Azhar yang dihantar belajar ke Kampus Dumiyat. Selepas mereka, pelajar banyak belajar di kampus Kaherah. Di Tanta bersama Saudara Izz dan Saudari Amalia yang bertindak menjadi pemandu pelancong berpengalaman, kami di bawa ke Pasar Ablah untuk membeli belah. Pasar Ablah seperti juga pasar di Rantau Panjang, yang terdiri daripada deretan kedai-kedai kecil menjual kain, jubah dan pelbagai barangan lain sebagai ole-ole untuk dibawa pulang nanti.
[Bersambung ke Bahagian 3]