Sebut saja cuti, perasaan gembira dan ceria akan menyinggah diri. Apatah lagi cuti perayaan, sudah terbayang kegembiraan berkumpul bersama kaum keluarga, sanak saudara dan kawan-kawan.
Persediaan tentunya sudah lama dibuat untuk menyambut ketibaan perayaan yang dibayangi dengan suasana penuh keriangan dan gelak tawa.
Namun sedihnya, sering kali cuti perayaan diselangi dengan berita tragedi kemalangan jalan raya yang turut meragut nyawa.
Statistik Kemalangan
Berdasarkan statistik Op-Selamat ke-19 yang dijalankan pada cuti perayaan Tahun Baru Cina yang lepas, sebanyak 1,445 kemalangan direkodkan menjelang hari kelima operasi di seluruh negara. Kemalangan melibatkan kereta sahaja adalah sebanyak 75.99 peratus.
Statistik untuk tempoh lima hari adalah angka yang tinggi. Menurut Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintenden Dr Bakri Zainal Abidin, pada tahun 2022, dianggarkan berlaku satu kematian akibat nahas jalan raya bagi setiap 84 minit.
Tentunya ini adalah nilai yang menggertakkan jiwa apabila jalan raya menjadi tempat yang mengancam nyawa. Sepatutnya ini menimbulkan kesedaran kepada para pengguna jalan raya untuk lebih berwaspada semasa memandu. Malangnya, ini tidak berlaku.
Disebabkan sikap tidak endah ini juga, berita kemalangan yang banyak sudah tidak lagi menggemparkan, seolah-olahnya menjadi suatu kebiasaan yang dijangka akan berlaku setiap kali menjelang musim perayaan.
Punca Kemalangan
Berdasarkan analisis kajian dan laporan yang pernah dibuat, punca utama kemalangan sering kali dikaitkan dengan kecuaian pemandu atau masalah teknikal kenderaan. Ini termasuk cuai ketika melintas jalan, tidak memberi signal lampu isyarat ketika menukar lorong atau masuk simpang.
Turut menjadi punca ialah memandu ketika mengantuk atau keletihan, berlumba, tidak mengikut lampu isyarat dan mengekori kenderaan dengan rapat.
Selain itu, faktor seperti memandu dalam keadaan mabuk atau disebabkan penggunaan dadah turut mempengaruhi kadar kecelakaan jalan raya.
Saban tahun, sambutan perayaan tidak pernah sunyi dari berita kemalangan. Justeru itu, semua orang tanpa terkecuali harus sedar akan bahaya kemalangan di jalan raya dan melakukan semua hal bagi mengelakkannya dari terjadi.
Keselamatan adalah prioriti utama dan tidak harus dikompromi dengan risiko kehilangan nyawa atau kecederaan yang serius.
Amalkan pemanduan yang berhemah, utamakan keselamatan dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak daripada terjadinya kemalangan.
Kemalangan Akibat Mercun
Satu lagi kemalangan yang sinonim dengan musim perayaan ialah kemalangan melibatkan mercun. Belum sempat lagi masuk perayaan Aidilfitri, sudah ada kes kemalangan melibatkan mercun dilaporkan semasa bulan Ramadan.
Pada 6 April lalu, seorang remaja lelaki 13 tahun dilaporkan mengalami kecederaan pada mata kanan gara-gara bermain mercun yang telah diubah suai di Kuala Nerus, Terengganu.
Empat hari kemudian, juga di Kuala Nerus, seorang lelaki 27 tahun putus tangan kiri dan sebahagian jari tangan kanan, serta cedera beberapa bahagian badan akibat bermain mercun buatan sendiri.
Penggunaan mercun terutamanya buatan sendiri sangat merbahaya dan boleh mengakibatkan kecederaan serius mahupun kematian. Sekiranya kemalangan terjadi, gelak tawa bermain mercun boleh bertukar sekelip mata diganti dengan tangisan dan air mata.
Ledakan mercun yang sangat kuat dan secara tiba-tiba mampu menyebabkan kulit luka terbakar, kehilangan jari, buta mata atau kecederaan serius lain yang mengakibatkan kecacatan seumur hidup.
Bunyinya turut mengganggu ketenteraman di kawasan perumahan dan boleh menyebabkan kerosakan bangunan tanpa penyeliaan yang berhati-hati.
Beralihlah kepada alternatif yang lebih selamat. Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membenarkan penjualan 45 bunga api dan mercun untuk dibeli semasa musim perayaan sahaja.
Orang ramai disarankan untuk mematuhi undang-undang dengan hanya membeli daripada penjual yang mempunyai permit yang sah sahaja dan melepasi aspek keselamatan yang telah ditetapkan.
Ini penting bagi mengelak daripada membeli bahan api yang terlarang, sekali gus boleh membahayakan keselamatan. Sambutlah Aidilfitri dengan mengamalkan sikap berjaga-jaga dan utamakan keselamatan.
Penguatkuasaan undang-undang adalah untuk mendisiplinkan, namun tanggungjawab utama adalah daripada diri individu sendiri.
Janganlah jadikan peringatan pihak berkuasa seperti berseru di padang pasir. Mari amalkan sikap berhati-hati dan jaga diri.
Badan hendak diguna lama seiring dengan peningkatan usia. Maka, jagalah diri agar tidak menempah celaka akibat kecuaian dan sikap acuh tak acuh diri sendiri.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.