KUALA LUMPUR – “..Malaysia sedang bergerak ke arah yang positif, tetapi kemajuan mesti lebih mampan, institusi dan inklusif,” ujar Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Hj Badlishah Sham Baharin.
Beliau berpandangan demikian ketika menjadi salah seorang ahli panel bagi “Forum 509: Jom! Bentuk Semula Negara Kita” di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada 19 Julai lalu di sini.
Jangkaannya itu berdasarkan kajian Indeks Malaysia Negara Rahmah (IMNR) 2025 yang mencatatkan skor keseluruhan sebanyak 7.42 daripada 10, dalam kategori sederhana.
“Skor tersebut menunjukkan bahawa Malaysia sedang maju, tetapi masih belum mencapai tahap yang sepatutnya kita cita-citakan,” tambahnya.

Tambahnya, skor tersebut harus memberikan keyakinan bahawa negara ini mempunyai kekuatan penting dan telah mencapai kemajuan yang bermakna.
“Pada masa yang sama, ia mengingatkan kita bahawa pembaharuan institusi, politik dan ekonomi masih belum selesai. Tujuan IMNR bukanlah untuk meraikan atau mengutuk satu skor.”
“Ia adalah untuk mengenal pasti ke mana Malaysia bergerak ke hadapan dan di mana perhatian yang lebih besar diperlukan.”
Forum tersebut dianjurkan bersama KLSCAH, IKRAM, BERSIH, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Sabah Action Body Advocating Rights (SABAR) dan Association for Advocacy & Community Empowerment (ACE).

“Jalan ke hadapan bukan sekadar menggantikan satu kerajaan dengan kerajaan yang lain; ia adalah tentang transformasi cara Malaysia membina kepercayaan, menegakkan keadilan dan memperkukuh institusi,” kata Hj Badlishah Sham lagi.
Dalam forum yang menghimpunkan lebih 80 peserta yang terdiri daripada ahli akademik dan wakil masyarakat sivil itu, beliau turut menggariskan lima langkah untuk membentuk semula kemajuan negara.
“Pertama, kita mesti menggunakan nilai untuk membimbing pembaharuan.”
Jelasnya, dasar atau polisi tidak boleh dinilai hanya berdasarkan kecekapan atau populariti politik, tetapi sama ada ia menegakkan keadilan, maruah, inklusiviti dan rahmah.
Yang kedua menurutnya, kita mesti menggunakan data untuk mengenal pasti jurang antara perancangan dan impak sebenar.
Bagi beliau, sesebuah dasar mungkin kelihatan mengagumkan di atas kertas, tetapi ujian sebenar adalah sama ada ia meningkatkan kehidupan rakyat.
“Ketiga, kita mesti menggunakan masyarakat sivil untuk mengukuhkan akauntabiliti.”
Tambahnya, masyarakat sivil harus bertindak sebagai rakan kongsi yang membina, dengan menyokong pembaharuan yang baik, mengenal pasti kelemahan dan mewakili komuniti yang suaranya sering tidak didengari.
Langkah keempat pula katanya, kita mesti beralih daripada pengundian pasif kepada kewarganegaraan aktif.
“Rakyat mesti mengundi, sentiasa dimaklumkan, terlibat secara bertanggungjawab, memantau pelaksanaan dan memegang semua pemimpin pada janji mereka.”
Katanya lagi, kelima, kita mesti membina Malaysia yang adil, rahmah dan boleh dipercayai.
“IMNR boleh menjadi penanda aras untuk menilai keberkesanan dasar, mengenal pasti jurang negara dan mengukuhkan kepercayaan awam melalui ketelusan yang lebih tinggi,” ujar beliau.

Menurut Hj Badlishah Sham, IMNR tidak sepatutnya hanya kekal sebagai penerbitan penyelidikan, sebaliknya ia harus menyumbang kepada dialog dasar, pendidikan sivik dan wacana awam yang bermaklumat.
“Masa depan Malaysia tidak akan dibentuk oleh pilihan raya sahaja. Ia akan dibentuk oleh nilai-nilai yang kita junjung tinggi, institusi yang kita perkukuhkan dan tanggungjawab yang kita pikul bersama.”
Tegasnya, hanya dengan itu, perubahan politik boleh menjadi perubahan institusi, dan seterusnya, perubahan institusi menjadi kemajuan negara.
Selain beliau, Forum 509 turut dianggotai oleh tiga ahli panel lain iaitu Prof. Emeritus Terence Gomez (UM), Ooi Kok Hin (Felo ISEAS – Yusof Ishak Institute) dan Dr. Arnold Puyok (IBS UNIMAS), yang dikendalikan oleh Rozana Isa, daripada SIS Forum sebagai moderator.

Forum tersebut bertujuan untuk mencari hala tuju ke hadapan dalam usaha memperkukuh demokrasi dan memperbaharui institusi negara, khususnya dalam suasana kelesuan politik serta perbezaan pandangan dalam masyarakat yang semakin ketara.
Presiden KLSCAH, Ngan Teng Ye, merasmikan program ini dan mengalu-alukan penyertaan pelbagai rakan masyarakat sivil daripada bidang seperti pembanterasan rasuah, reformasi institusi dan hak-hak Malaysia Timur, yang mencerminkan semangat kerjasama merentas kaum dan komuniti.
Sumber: FB KLSCAH




