Keluarga utuh: Impian atau realiti?

Ketika kita mengidamkan masyarakat yang saling hidup aman dan damai serta saling menghormati antara satu sama lain, terdapat pelbagai faktor pendorong yang memberikan kesan terhadap nuansa tersebut.

 

Namun, satu faktor besar yang penting untuk kita ambil perhatian ketika membicarakan tentang masyarakat adalah keadaan sesebuah keluarga dalam masyarakat tersebut.

 

Kita perlu melihat semula kepada unit kecil yang bernama keluarga ini kerana yang membentuk masyarakat itu sendiri ialah himpunan daripada keluarga. Kita perlu sedar bahawa bagaimana acuan keluarga itu sendiri, begitulah acuan masyarakat. 

 

Maka, langkah awal dan penting untuk membina masyarakat yang menjadi idaman kita, perlu bermula daripada setiap anggota keluarga – bapa, ibu dan anak-anak. Setiap satu ahli keluarga mempunyai peranan masing-masing yang tidak boleh diabaikan. 

 

Membina keluarga utuh

 

Sebuah hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, baginda bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik antara kamu adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.”

 

Hadis ini telah meletakkan satu kayu ukur bagaimana menjadi seorang manusia yang terbaik. Jawapannya adalah menjadi orang yang paling baik dengan ahli keluarganya. Kenapa menjadi baik kepada ahli keluarga? Kerana di sinilah kita menjadi diri kita yang sebenar-benarnya.

 

Kita boleh mengubah karakter dan peribadi kita apabila berada di khalayak awam atau ketika bersama dengan rakan-rakan. Tetapi apabila bersama dengan ahli keluarga, inilah warna sebenar diri kita. Itulah sebab kenapa sangat penting untuk kita perhatikan diri kita apabila berinteraksi dengan ahli keluarga kita.

 

Jika kita melihat sifat-sifat yang buruk ada pada diri kita seperti cepat marah, bahasa yang kasar, tidak ringan tulang dan sebagainya, maka kita perlu sedar bahawa diri kita masih belum menjadi manusia yang terbaik. Dari sinilah kita menyusun proses membentuk diri kita dengan mengisi sifat-sifat yang baik. 

 

Maka, untuk membina sebuah keluarga yang utuh, kita perlu bermula dengan membaikkan diri kita sendiri. Baik yang bagaimana? Pastinya seperti yang dianjurkan dalam al-Quran. Bagaimana ingin tahu contohnya? Kita lihatlah kisah hidup baginda, Nabi Muhammad SAW kerana Aisyah RA pernah berkata, “Akhlaknya (Nabi SAW) ialah al-Quran.” (HR Bukhari).

 

Peranan ibu dan bapa

 

Meskipun usaha membaikkan diri sendiri perlu dimainkan oleh semua anggota keluarga, namun ibu bapa mempunyai pemberat yang berbeza. Ibu bapa adalah contoh dan pemimpin kepada keluarga. Merekalah guru pertama buat anak-anak yang lahir ke dunia. 

 

Apa yang dilakukan oleh ibu bapa, itulah yang akan diikuti dan dipelajari oleh mereka di rumah. Meskipun ia hal yang kecil seperti menyusun selipar di rak kasut atau membasuh pinggan selepas makan, ia menjadi pelajaran buat anak-anak. Perkara ini akan tertanam dalam peribadi anak-anak hingga menjadi jati diri mereka. 

 

Ibu bapa mempunyai peranan yang sangat besar untuk memberikan pendidikan dan teladan yang betul dan baik agar anak-anak dapat membina keperibadian yang utuh.

 

Maka, ibu bapa mesti ada rasa kebertanggungjawaban untuk berterusan menambah baik diri mereka. Usaha ini boleh dilakukan dengan mengikuti kelas atau kuliah pengajian, membaca buku dan berbincang dengan mendalam antara kedua-duanya.

 

Di belakang ibu bapa, tertanggung satu beban yang besar untuk mendidik anak-anak mereka kerana kelak mereka akan mengisi ruang-ruang dalam masyarakat. Jika utuh keluarganya, maka utuhlah masyarakatnya.  

 

Menuju masyarakat utuh

 

Usaha membina masyarakat yang utuh perlu menjadi tanggungjawab buat kita semua. Ia pastinya akan memakan masa. Tapi itu tidak penting untuk kita risaukan.

 

Utamanya adalah kesedaran yang ada pada setiap ibu bapa untuk memulakan usaha membina masyarakat utuh ini daripada keluarga mereka sendiri. Tanpa kesedaran ini, masyarakat utuh akan kekal menjadi mimpi. 

 

Selain itu, sistem sokongan buat ibu bapa dan keluarga yang memerlukan juga perlu digiatkan terutamanya pada aspek ekonomi dan sosial. Kedua-dua ini memberikan kesan langsung kepada proses membina keluarga yang utuh.

 

Ibu bapa pastinya tidak dapat memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak jika kewangannya hanya mampu mengisi perut mereka sahaja. Sama juga jika tekanan sosial terus mendesak, akan memberikan kesan kepada keupayaan mental mereka. Akhirnya keputusan yang salah akan memberikan kesan buruk kepada keluarga itu. 

 

Menuju masyarakat yang utuh memerlukan kebersamaan yang sejagat daripada kita semua. Maka, bantulah apa yang mampu kita berikan. Mohonlah bantuan, jika kita memerlukan. 

 

Dr Syamimi Saadon
Timbalan Ketua IKRAM Muda

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia