Kelebihan Solat Untuk Rehat: Satu Hadiah Terindah

Solat adalah hadiah yang terindah daripada Allah SWT kepada hamba-Nya. Ia merupakan satu peluang yang sangat istimewa bagi seorang hamba bertemu dengan Pencipta-Nya tanpa perantaraan.

Dalam pertemuan tersebut, seorang hamba berpeluang bercakap-cakap dengan Pencipta-Nya, meluahkan isi hati melalui zikir-zikir, doa-doa serta bacaan ayat-ayat al-Quran.

Sebagaimana seorang anak meluahkan perasaan dengan ibunya, atau seorang sahabat karib meluahkan perasaan kepada sahabatnya. Segala kepenatan dan kekusutan akan terlerai setelah semuanya dikongsi dengan Zat yang Maha Agung.

Rasulullah SAW menerima hadiah ibadat solat melalui peristiwa yang sangat istimewa iaitu Israk dan Mikraj. Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisaa’ ayat 103:

اِنَّ الصَّلٰوةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ كِتٰبًا مَّوْقُوْتًا

“Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman,yang tertentu waktunya.”

Firman Allah dalam Surah Taha ayat 14:

اِنَّنِىۡۤ اَنَا اللّٰهُ لَاۤ اِلٰهَ اِلَّاۤ اَنَا فَاعۡبُدۡنِىۡ ۙ وَاَقِمِ الصَّلٰوةَ لِذِكۡرِىۡ

“Sungguh, Aku ini Allah, tidak ada tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku dan laksanakanlah solat untuk mengingati Aku.”

Sumber inspirasi

Rasulullah SAW dan para sahabat baginda telah berjaya menjadikan solat sebagai sumber inspirasi, ketenangan dan kerehatan berdamping dengan Allah SWT.

Huzaifah Ibn al-Yamani r.a. menceritakan pengalamannya solat malam bersama Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Muslim (772), beliau menyatakan bahawa Rasulullah SAW menghabiskan Surah al-Baqarah, Ali Imran dan An-Nisaa’ dalam rakaat pertama sahaja iaitu menyamai 97 halaman, mengikut cetakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Malaysia.

Walaupun diberi ujian yang sangat berat, tentangan yang sangat hebat daripada kaum musyrikin, namun Rasulullah SAW memilih untuk meningkatkan kesyukuran dalam solatnya sehingga diceritakan oleh Saidatina Aisyah r.a. bahawa kaki baginda pecah-pecah kerana lamanya berdiri dalam solat.

Kisah Saidina Umar r.a. yang diserang ketika mengimamkan solat subuh, tetap bangkit untuk menunaikan solat selepas luka parah dibalut bagi menghentikan darah, yang akhirnya meninggal dunia kerana serangan tersebut, membuktikan penilaian solat yang sangat tinggi dalam kalangan sahabat r.a. 

Hadiah kerehatan

Solat memiliki kesan yang sangat mendalam pada diri Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Amalan solat tidak hanya menjadi ibadah rutin, namun ia merupakan momen yang sangat indah bersama Allah SWT.

Mereka merasakan pembersihan hati, kedamaian, dan ketenangan jiwa saat beribadah kepada Allah SWT. 

Secara keseluruhan, solat memiliki pengaruh yang mendalam bagi kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dalam memainkan peranan penting membentuk karakter, ketenangan jiwa dan kedekatan dengan Allah SWT. 

Suatu hari Rasulullah SAW menyuruh Saidina Bilal r.a. melaungkan azan dengan sabdanya yang bermaksud:

“Rehatkan kami dengan solat, wahai Bilal.” (HR Abu Dawud [4986], Sahih)

Hakikatnya solat merupakan satu hadiah untuk kita merasai kerehatan, namun kebanyakan daripada kita menjadikan solat sebagai beban.

Takbir, rukuk, sujud dan salam hanya tinggal gerakan dan ucapan kosong tanpa kesan dan impak pada hidup, malah merasakan ia sebagai satu tanggungjawab yang berat. Kerehatan dalam solat tidak dirasai.

Ramai orang yang mencari kerehatan dengan hiburan, makan-makan, jalan-jalan bak kata anak-anak muda sekarang ‘healing.’

Rutin harian kehidupan sering kali menemukan dengan pelbagai cabaran dan ujian yang membuatkan hati terasa penat dan lelah, namun sangat sedikit yang menjadikan solat sebagai waktu ‘rehatnya.’ 

Allah menghadiahkan solat sebagai keadaan untuk hamba-Nya berehat:

1. Persediaan mental

Sebelum memulakan solat iaitu bermula dengan mengambil wuduk, perlukan masa untuk menenangkan fikiran dan memfokuskan perhatian kepada Allah SWT.

Sedarkan minda bahawa kita akan berdepan dengan kuasa yang Maha Agung iaitu Allah SWT.

Sedarkan minda bahawa kita adalah hamba yang perlu patuh dan taat atas apa jua perintah-Nya.

Sedarkan minda bahawa Allah SWT sedang menunggu kita untuk bertemu-Nya di dalam solat. Maka kita bersedia untuk fokus bermula dengan takbiratul ihram.

2. Takbiratul ihram

Pembukaan solat dengan membayangkan keagungan Allah SWT. Allah Maha Besar bergema dalam segenap minda sehingga menjadikan urusan-urusan lain di luar solat adalah urusan-urusan yang kecil.

Segala urusan lain menjadi tidak penting kerana kita sedang berhadapan dengan Allah yang Maha Besar yang sangat mudah menyelesaikan segala persoalan di luar solat.

Penuh keyakinan bahawa urusan di luar solat adalah semuanya dalam perancangan dan aturan Allah SWT yang Maha Besar.

3. Memahami bacaan dan gerakan dalam solat

Mengetahui makna bacaan dan tindakan yang dilakukan semasa solat akan membantu meningkatkan kualiti dan khusyuk solat.

Perlu difahami setiap zikir dan doa yang dibaca dalam solat bermula dengan takbiratul ihram, membaca al-Fatihah sehingga ke akhirnya memberi salam yang kedua.

Apabila seseorang memahami apa yang dibaca, fikiran akan lebih mudah untuk fokus dan hati akan lebih mudah untuk merasai kenikmatan berbicara dengan Allah SWT.

4. Pergerakan perlahan dan stabil

Dalam solat disyaratkan ada thoma’ninah iaitu berhenti seketika pada setiap rukun. Pergerakan rukun-rukun solat dilakukan secara perlahan dan stabil tanpa tergesa-gesa.

Ini membantu minda untuk lebih tenang dan terkawal. Menghayati setiap gerakan dan pastikan berada betul-betul dalam posisi yang terbaik seperti yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW.

Ketika sujud perlu merasakan hina dan rendah diri  terhadap Allah SWT dengan memperbanyakkan memohon ampun atas segala dosa-dosa.

5. Menunaikan solat dengan cinta

Ia bermakna membawa sepenuh perasaan kepada Allah SWT sebagaimana perasaan cinta antara dua orang kekasih. 

Perlu menyedari bahawa solat adalah satu bentuk komunikasi langsung dengan Allah SWT dan peluang untuk membina hubungan yang sangat rapat dengan Pencipta, Rabbul Jalil.

Solat tidak hanya fokus kepada unsur-unsur teknikal seperti rukun-rukun solat, perkara-perkara sunat dalam solat serta perkara-perkara yang membatalkan solat. Malah, ia jauh lebih penting  untuk menikmati saat-saat berharga untuk berserah diri dan berdoa sebanyak-banyaknya kepada Allah SWT.

Ia membawa kita merenung betapa besar kasih sayang dan rahmat-Nya kepada hamba-Nya.

6. Setelah selesai solat, luangkan masa untuk berdoa secara peribadi

Bercakap dengan Allah SWT dengan menggunakan bahasa sendiri, merakamkan perasaan, keperluan dan harapan. Tingkatkan rasa kesyukuran atas segala nikmat dan ujian yang telah menghasilkan rasa akrab kepada Allah SWT. 

Usaha berterusan

Oleh yang demikian, usaha untuk mencapai penghayatan yang tinggi dalam solat adalah usaha secara berterusan.

Ia memerlukan latihan dan kesabaran untuk mengatasi gangguan mental dan emosi yang mungkin timbul semasa solat.

Dengan usaha yang berterusan, seseorang boleh meningkatkan penghayatan ketika solat dan merasai kelazatan solat sebagai hadiah yang terindah daripada Allah SWT.

Puan Hasliza Talib

Pensyarah Universiti Islam Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia