Bertempat di Dewan Masjid Tantawi, Hayyu Sabi’ dengan tema “Bersama Merintis Saf Kekuatan”, seramai 261 ahli Kelab IKRAM Mesir (KIM) telah menghadirkan diri untuk bersama-sama melibatkan diri dalam muktamar ini bagi mendengar kupasan lanjut perkembangan gerak kerja dan aktiviti KIM secara umumnya.
Bermula dengan Ucapan Dasar Presiden KIM, Akrom Shamsuri, peserta muktamar seterusnya mendengar pembentangan perincian Laporan Kewangan Tahunan KIM, selingan kalam taujihat, Perbahasan Perwakilan Muktamar dan Pengumuman Jawatankuasa Tertinggi KIM untuk sesi 2014/2015.
Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan nasyid oleh kumpulan Rusyd. Tidak ketinggalan juga acara pelancaran buku ‘Luahan’ oleh Aqsa Syarif Mesir yang telah berjaya membukukan luahan-luahan mahasiswa serata dunia berkaitan isu kemanusiaan khususnya di Palestin.
Kemuncak MUKIM’14 diserikan dengan Pidato Perdana “Malaysia Menuju Negara Rahmah: Satu Perkongsian Untuk Rakyat Malaysia” yang telah disampaikan oleh Ustaz Hj Hasanuddin Mohd Yunus, Timbalan Presiden IKRAM.
Suasana muktamar, pelancaran buku ‘Luahan’ dan Pidato Perdana
Dalam pidatonya, beliau banyak mengupas konsep ‘rahmah’ yang dibawa dalam gagasan IKRAM dan bagaimana membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang rakyatnya hidup harmoni, saling menghormati dalam kasih sayang dan belas kasihan mengikut garisan dan panduan yang diletakkan oleh Islam.
Tambahnya, kita seharusnya mengimpikan dan berusaha menggembleng tenaga ke arah pembentukan negara yang ditadbir dengan penuh keadilan, hak-hak rakyat dipastikan, tidak terbuku dendam dalam kalangan masyarakat, dakwah boleh dijalankan secara rancak dan semua penduduk Malaysia merasa selesa dengan suasana yang ada di tanah air, bukan saling bercakaran antara satu sama lain.
“Suasana seperti inilah yang akan mampu memacu bukan sahaja dakwah, malah negara Malaysia sendiri maju ke hadapan,” jelasnya.
Semoga KIM mampu merintis saf kekuatan agar aktiviti dakwah dan tarbiah terus subur dalam kalangan mahasiswa Malaysia di bumi Mesir khususnya, insyaa-Allah.
Sumber: