Kekuatan negara, tamadun dari perspektif ekonomi

Kekuatan negara, tamadun dari perspektif ekonomi

Sebuah tamadun itu akan kuat jika ekonominya kuat. Masyarakatnya tidak miskin malah kehidupannya berada dalam keadaan selesa.

Pentingnya ekonomi ini sehingga mampu membina karakter atau peradaban yang cemerlang seterusnya mampu membina tamadun yang gemilang.

Jika masyarakatnya miskin atau susah, maka masyarakat tersebut akan buat apa sahaja untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Oleh sebab itu, apabila kita menyusuri sirah, Nabi Muhammad SAW ketika itu banyak membantu orang miskin dan susah kerana golongan ini mudah hilang pertimbangan dan atas dasar kasih dan sayang baginda terhadap umat manusia, maka baginda sentiasa mendekati golongan ini supaya kembali kepada fitrah Allah SWT.

Justeru, setiap lapisan masyarakat perlulah mengambil cakna akan bidang ekonomi kerana dengan kuatnya ekonomi, maka kuatlah tamadun serta peradaban dan sukar untuk ditumbangkan oleh musuh.

Ramai tokoh telah berjuang bagi membela bangsa dalam bidang ekonomi seperti Ibnu Khaldun, Khalifah Umar Abdul Aziz, Adam Smith, Alfred Marshall, Paul Samuelson, Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz, Tun Ismail Ali, Prof. Ulung Rajah Rasiah dan ramai lagi.

Justeru, bidang ekonomi adalah salah satu terjemahan pengertian dan konsep tamadun serta peradaban.

Kepentingan ekonomi

Betapa dekatnya pengertian dan konsep peradaban serta tamadun dengan ekonomi dibuktikan dengan maksud ekonomi itu sendiri.

Ekonomi bermaksud sebuah kajian yang mengkaji keperluan dan kemahuan manusia dengan sumber yang terhad.

Menurut Ibnu Khaldun pula, ekonomi bermaksud kehidupan manusia daripada satu rupa dan keinginan untuk mendapatkan rezeki dan berusaha untuk mendapatkannya.

Sehubungan itu, setiap tamadun mesti ada sumber. Jika tiada sumber, bagaimana sebuah tamadun itu wujud dan peradabannya tidak akan mempunyai nilai-nilai murni kerana manusia akan bertindak demi kelangsungan hidup.

Melalui ekonomi, kita mampu mengoptimumkan kehidupan kita dengan segala sumber yang ada dan mengurangkan kerugian yang akan dialami dalam kehidupan.

Justeru, bagi memahami ekonomi dengan lebih mendalam, maka hendaklah kita memahami tiga (3) jenis sistem ekonomi yang asas dalam dunia ini.

Sistem ekonomi kapitalis

Sistem yang pertama ialah sistem ekonomi kapitalis. Sistem ini bersifat kebebasan dan antara contoh kebebasan yang ditonjolkan adalah kebebasan memiliki harta persendirian, kebebasan dalam persaingan, kebebasan pengguna dan kebebasan dalam pasaran.

Secara dasarnya, sistem ini seakan membantu, namun sebenarnya sistem ini hanya memihak kepada sesiapa yang cekap mengambil kesempatan dan sistem ini mampu menindas orang yang lemah serta tidak cekap mengambil kesempatan.

Melalui sistem ini, wujudlah ketidaksamaan ekonomi dan perbezaan jurang pendapatan antara seorang dengan seorang yang lain, antara bangsa dengan bangsa yang lain dan antara negara dengan negara yang lain.

Sistem ekonomi sosialis

Seterusnya sistem ekonomi sosialis. Sistem ini boleh dianggap sebagai pilihan kedua terbaik kerana ia bersifat pengawalan ekonomi secara berpusat.

Segala aktiviti ekonomi sebagai contoh sebuah negara itu akan dikawal oleh pentadbiran pusat. Pun begitu, sistem ini tidak memberi kebebasan penuh masyarakat atau organisasi untuk membolot keuntungan seperti sistem ekonomi kapitalis kerana segala harta akan jadi milik negara.

Ia bertujuan memberi kesamaan ekonomi, mengoptimumkan keuntungan pengeluaran dan mendisiplinkan struktur politik sebuah negara itu.

Sistem ekonomi Islam

Walau bagaimanapun, sistem ekonomi Islam adalah yang terbaik untuk menjadi amalan kepada semua negara, bangsa, masyarakat dan individu.

Ini kerana sistem ekonomi Islam berasaskan hukum-hukum perundangan daripada Allah SWT melalui al-Quran dan amalan Nabi Muhammad SAW melalui hadis atau sunnah sebagai sumber utama rujukan bagi menjalankan sistem ini.

Selain itu, sumber utama juga merangkumi ijmak (kesepakatan ulama), qiyas (mengambil hukum sebelumnya sebagai rujukan) dan ijtihad (hukum syariat yang belum jelas dalam al-Quran dan as-Sunnah oleh seorang yang faqih iaitu mujtahid).

Di samping itu, sistem ini juga mempunyai sumber kedua bagi rujukan sistem yang digunakan mengikut keperluan semasa.

Sumber kedua sistem ini merangkumi kesesuaian, kepentingan awam, pendapat sahabat Nabi Muhammad SAW, pendapat ulama dan tindakan serta perilaku masyarakat Madinah.

Sistem ini bermatlamat untuk memberi kesejahteraan ekonomi, menghindari kelaparan dengan mencukupkan keperluan asas, menggunakan sumber dengan optimum yang mengelakkan pembaziran, pengagihan harta, hak dan peluang yang saksama, jaminan kebebasan individu dan keadilan.

Sistem ekonomi di Malaysia

Di negara Malaysia yang kita cintai, sistem ekonomi yang diguna pakai ialah sistem ekonomi campuran yang mencampurkan tiga (3) sistem ekonomi yang dinyatakan.

Kenapa Malaysia menggunakan sistem berkenaan? Ini kerana bagi mengatasi kelemahan yang ada dalam sistem-sistem berkenaan.

Pun begitu, penulis beranggapan sistem ekonomi Islam tiada cacat cela kerana hukum-hukum perundangannya datang daripada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.

Penulis berharap agar kerajaan akan mengamalkan sistem ekonomi Islam sepenuhnya pada masa akan datang.

Seperti yang dinyatakan pada awal perbincangan bahawa tamadun itu akan kuat jika ekonominya kuat dan kesannya, peradaban dalam tamadun itu akan mempunyai nilai-nilai murni yang tinggi.

Kerajaan Madinah, Abbasiyyah, Muawiyyah, Uthmaniyyah, Melaka dan kerajaan Islam yang lain adalah bukti pengertian dan konsep tamadun serta peradaban dalam ekonomi yang cuba kami jelaskan.

Justeru, penulis berpendapat bahawa pengertian dan konsep tamadun serta peradaban melalui pemahaman ekonomi hendaklah mendasari sistem ekonomi Islam yang sememangnya memberi pengertian yang jelas, tulus, jujur dan luhur.

Hazim Fitri Halim
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam

Rujukan

  1. Azhar, Z., Mohamed, J., Abd Samad, N., Harun, H. A. S. R. I., & Amalina, N. N. (2019). Islamic Finance Principles and Operation Fundamental Perspective (6th ed.). Universiti Selangor
  2. Darusalam, G. (2001). Kursus Tamadun Islam dan Pendidikan Moral (Nilai-nilai Moral Dalam Pelbagai Aspek, Aspirasi Moral dan Badan-Badan Dunia). Utusan Publication & Distribution Sdn Bhd.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia