Hayati Sejarah Kemerdekaan
“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” Laungan keramat yang bergema pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka membuka lembaran permulaan bagi negara ini. Penyerahan Watikah Perlembangaan oleh wakil Queen Elizabeth II, Duke of Gloucester kepada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra menandakan berakhirnya naungan British di Tanah Melayu.
Detik gilang-gemilang ini disaksikan lebih 20,000 orang masyarakat pelbagai kaum. Kini, usia kemerdekaan sudah mencecah 62 tahun. Jika dikira usia manusia, kemerdekaan kita sudah digelar ‘warga emas’. Walau apa pun gelarannya, kemerdekaan ini perlu diisi dengan jati diri dan keharmonian kita bersama. Jangan pernah kita lupa jasa Ahli Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) 1949 yang bersusah payah membina perpaduan antara masyarakat Melayu, Cina, dan India di negara ini.
Individu seperti Dato’ Onn Jaafar, Tun Tan Cheng Lock dan Dato’ E.E.C. Thuraisingam telah menjadi suri teladan bahawa kita boleh bersatu walaupun berbeza agama dan bangsa. Jika mereka mampu menyatupadukan masyarakat bagi mencapai kemerdekaan, maka tanggungjawab kita pula untuk menjaga keharmonian masyarakat untuk mengekalkan kemerdekaan.
Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah rakyat Malaysia pada tahun 2019 berjumlah 32.6 juta orang. Daripada jumlah tersebut, 69.3 peratus ialah Bumiputera, 22.8 peratus ialah Cina, 6.9 peratus ialah India dan 1.0 peratus ialah kaum-kaum lain. Angka tersebut bukan sekadar angka. Angka tersebut membawa makna kita datang dari latar yang berbeza, namun berkongsi tanah yang sama iaitu Malaysia. Oleh itu, wajarlah untuk kita bersama mengekalkan keharmonian dan mengelakkan perpecahan.
Perlukah Kita Berpecah?
Benarlah kata orang-orang tua “bumi mana yang tidak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora” dan “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula kita manusia biasa”. Kebelakangan ini kita diuji dengan pelbagai insiden yang membawa kepada perpecahan masyarakat. Bermula dengan tragedi kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim sewaktu rusuhan di Kuil Mariamman, Seafield, Subang Jaya pada November 2018.
Yang terbaru, kejadian kematian Syed Muhammad Danial Syed Syakir pada Ogos 2019 selepas terbabit dalam satu pergelutan susulan perselisihan faham yang berpunca daripada kemalangan jalan raya di KM 239 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban. Kemuncaknya pula apabila Mesyuarat Jemaah Menteri mengekalkan keputusan supaya pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran bahasa Melayu tahun empat di Sekolah Jenis Kebangsaan mulai tahun 2020.
Tiga insiden ini telah cukup untuk membuktikan perpaduan kita sedang sakit dan perlu dirawat semula. Isu kematian saudara Adib menjadikan Melayu dan India bermusuh, isu kematian saudara Danial menjadikan Melayu dan Cina bermusuh, isu tulisan khat menjadikan ketiga-tiga kaum bermusuh. Adakah kita bermusuh kerana kita berbeza bangsa? Islam mengajar kita untuk berbaik-baik dan meraikan perbezaan.
Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (al-Hujurat: 13).
Sebenarnya, dalam berhadapan dengan isu-isu tersebut, kita terlalu melebihkan emosi sehingga melupakan perkara yang lebih penting iaitu keadilan. Keadilan yang perlu kita kembalikan kepada yang berhak. Adilkah kita jika bermusuh dengan keseluruhan bangsa kerana kesalahan segelintir yang alpa? Tidak adakah jasa dan kebaikan yang boleh kita kongsi sehingga api permusuhan perlu dinyalakan?
Sekali lagi, Islam tampil mengajak kita semua untuk berlaku adil. Firman Allah yang bermaksud:
“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (al-Maaidah: 8)
Semua isu tersebut perlu diselesaikan dengan hikmah. Sebagai rakyat Malaysia yang berpegang kepada prinsip rukun negara iaitu kedaulatan undang-undang, kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan sehingga si pesalah dapat kita ketahui.
Jangan kita jadikan isu-isu tersebut sebagai perpecahan kepada perkauman kerana musuh kita bukan Melayu, bukan Cina, bukan India mahupun bangsa-bangsa lain. Musuh kita ialah kezaliman, kejahatan, kebatilan dan penipuan yang berlaku dalam masyarakat. Ingat pesanan nenek moyang kita “jangan kerana marahkan nyamuk, habis kelambu kita bakar”. Perpaduan yang kita warisi ini perlu dijaga untuk anak cucu kita pada masa akan datang.
Pandanglah Ke Hadapan
Sudah tiba masanya kita bergerak maju ke hadapan. Dalam keadaan negara-negara dunia sibuk mencipta pelbagai kemajuan untuk generasi akan datang, adakah kita hanya duduk diam bergaduh sesama sendiri tanpa kesudahan? Berubahlah, ayuh kita bina Malaysia baharu yang lebih harmoni dan damai.
Antara perkara yang kita perlu lakukan ialah meningkatkan kebersamaan melalui semangat patriotik dan cinta akan tanah air. Semangat ini boleh ditunjukkan dengan penggunaan satu bahasa sebagai medium komunikasi bersama. Bertepatan dengan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia, Perkara 152 memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia.
Maka, wajarlah semua rakyat Malaysia mempertingkatkan kefahaman terhadap bahasa tersebut dan menjadikannya sebagai bahasa pengantaraan. Perkara ini juga boleh dilakukan dengan memuat naik status-status di Facebook dan media sosial yang lain menggunakan Bahasa Melayu yang betul agar difahami dan bermanfaat buat semua rakyat Malaysia. Menjadikan bahasa Melayu sebagai medium komunikasi utama tidak menafikan kepentingan bahasa-bahasa lain. Oleh itu, rakyat Malaysia juga perlu mempelajari dan berusaha menguasai pelbagai bahasa untuk terus maju ke hadapan.
Selain itu, kita perlu saling mengenali budaya dan kepercayaan antara satu sama lain. “Tak kenal maka tak cinta”. Ungkapan ini menggambarkan pentingnya kita mengenali budaya masyarakat majmuk yang ada di Malaysia. Dek kerana kita tidak mengenali dan memahami, akhirnya banyak salah faham dalam kehidupan berlaku sehingga mewujudkan rasa tidak puas hati dalam masyarakat yang akhirnya membawa kepada perpecahan.
Program-program silang budaya dan agama perlu diperbanyakkan bagi mewujudkan rasa saling menghormati dalam kalangan masyarakat. Bermula dari sinilah akan lahirnya masyarakat yang saling bertegur sapa dan mengambil peduli akan perihal masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. Natijahnya, masyarakat Malaysia akan menjadi contoh terbaik di mata dunia dalam mempromosikan kehidupan kepelbagaian dalam masyarakat majmuk.
Bagi merealisasikan impian hidup harmorni dalam pelbagai bangsa di Malayisa, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) turut bergiat aktif bagi menyuburkan semangat tersebut. Tamsilnya, IKRAM terlibat secara aktif dalam mempromosikan perpaduan serta mempengerusikan NGO Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) yang banyak memfokuskan kepada usaha-usaha keharmonian kaum.
Bukan itu sahaja, kewujudan Hidayah Centre Foundation (HCF) sejak 2005 yang dinaungi IKRAM telah melakukan pelbagai program ke arah perpaduan nasional, termasuklah mengadakan interfaith dialog bagi mengenali dan memahami budaya pelbagai kaum di Malaysia. Usaha ini tidak hanya terhenti di peringkat dewasa sahaja. Menyedari hakikat “melentur buluh biarlah dari rebungnya”, IKRAM tampil melalui rangkaian pendidikan IKRAM MUSLEH bagi mendidik anak-anak pelajar sejak kecil lagi erti perpaduan pelbagai bangsa.
Kanak-kanak hari ini merupakan pemimpin pada masa akan datang. Oleh itu, rangkaian pendidikan IKRAM MUSLEH telah melakukan pelbagai aktiviti silang budaya di peringkat sekolah dan nasional seperti Program Sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa. Program silang budaya ini turut melibatkan Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan di seluruh Malaysia. Dengan cara inilah para pelajar dapat bergaul dengan kelompok yang berbeza latar belakang serta melatih sifat keterbukaan dalam menerima nilai yang wujud pada setiap bangsa.
Begitulah pentingnya nilai perpaduan ini diajar sejak kecil lagi. Sebab itu jika kita lihat sejarah terdahulu, Hassan al-Banna, seorang pelopor gerakan kebangkitan Islam semasa, menganggap perpaduan sebagai matlamat utama yang perlu dicapai oleh setiap individu. Beliau turut mengingatkan kita “janganlah anda tidak bersetuju untuk bersatu, kerana anda akan gagal dan hilang pedoman tanpanya”.
Kekalkanlah Perpaduan Bersama
Isu yang melibatkan perpaduan merupakan bom jangka yang boleh meletup pada bila-bila masa. Suis bom jangka ini berada pada tangan setiap daripada kita. Jika ada yang menekan suis tersebut, maka meletuplah dan musnahlah perpaduan yang telah terbina. Sebagai rakyat Malaysia yang cinta akan tanah air ini, penting untuk kita mengekalkan keharmonian antara kaum, menjaga sensitiviti masyarakat, berlapang dada dalam perbezaan dan tidak terpengaruh dengan persepsi buruk yang dimainkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Percayalah, peranan dan tugas menjaga keharmonian bukan hanya dipundak Menteri Perpaduan sahaja, sebaliknya peranan itu juga merupakan tanggungjawab setiap individu yang mengaku warganegara Malaysia. Ayuh, carilah titik persamaan sesama kita dalam mencapai Malaysia Baharu yang lebih baik. Bersama kita hayati kaedah “Bertolong-tolonglah dalam perkara yang kita persetujui dan bertoleransilah dalam perkara yang kita berbeza”. Kekalkan keharmonian, elakkan perpecahan.
Mohd Hafiz Abd Hamid
Ketua IKRAM Muda Pusat
Kredit foto: tripsavvy