Kejatuhan Rejim Zalim: Pentingnya Kepimpinan Adil

Kejatuhan Rejim Zalim: Pentingnya Kepimpinan Adil | IKRAM

Apabila disebut kepimpinan, antara perkara yang sering dikaitkan adalah pengaruh, kuasa dan kekayaan. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa kepimpinan adalah tentang masa depan, hala tuju dan nasib bangsa. 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kepimpinan bermaksud keupayaan memimpin. Kepimpinan merupakan kata terbitan daripada kata akar pimpin. Kata pimpin itu sendiri mempunyai pelbagai maksud antaranya membimbing, mengepalai, mengetuai, melatih dan mendidik. 

Sarjana Barat seperti Gordon, Fred Fiedler, Stoner dan Hollander menyatakan bahawa kepimpinan sebagai satu seni menyusun hubungan antara individu dengan kumpulan lain ke arah pencapaian matlamat.

Justeru itu, kepimpinan ialah proses atau upaya yang mempengaruhi dan menginspirasi kepercayaan, tingkah laku serta sokongan baik seseorang individu mahupun kumpulan untuk bersama-sama mencapai sesuatu matlamat dalam organisasi mahupun negara.

Keadilan menurut Kamus Dewan Edisi Keempat merupakan keadaan, sifat, perbuatan dan tindakan yang adil.

Kata adil pula bermaksud menyebelahi pihak yang benar, meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul, menepati hak seseorang atau sesuatu, tidak menyebelahi mana-mana pihak, tidak berat sebelah serta tidak berlebih-lebihan dan tidak kurang pula daripada sepatutnya.

Dalam al-Quran, terdapat 54 ayat berkaitan persoalan keadilan dan pengadilan, manakala sejumlah 320 ayat lagi berkenaan dengan kezaliman yang merupakan tindakan keji.

Sepanjang sejarah umat manusia, telah wujud para pemimpin yang zalim sama ada lelaki mahu pun wanita. Antara pemimpin zalim terkenal pada abad ke-20 yang akan dibincangkan dalam artikel ini adalah Idi Amin dan Pol Pot.

Sumber: The Independent

Idi Amin

Pemerintahan zalim selama lapan tahun oleh Idi Amin telah meninggalkan impak negatif terhadap sosioekonomi Uganda. Pada 25 Januari 1971, Idi Amin melancarkan rampasan kuasa dan menggulingkan pemerintahan Milton Obote.

Setelah berkuasa, Amin memulakan pembunuhan besar-besaran terhadap kumpulan etnik Kristian, Acholi dan Lango yang setia kepada Obote kerana dianggap sebagai ancaman.

Beliau juga menubuhkan Biro Penyelidikan Negeri dan Kesatuan Keselamatan Awam yang bertujuan untuk menghapuskan mana-mana pihak yang menentang rejimnya. 

Pada tahun 1972, Amin mengusir keluar penduduk Asia yang tidak mengambil kewarganegaraan Uganda yang berjumlah antara 50,000 hingga 70,000 orang. Lebih kurang 60 000 orang India dan Pakistan telah keluar dari Uganda. 

Tindakan tersebut mengakibatkan kejatuhan ekonomi negara. Hal ini kerana mereka menjadi tenaga kerja yang penting terhadap perkembangan ekonomi Uganda.

Rejim Amin berakhir apabila tentera anti-Amin yang dikenali sebagai Barisan Pembebasan Kebangsaan Uganda dan kerajaan Tanzania mara ke ibu negara, Kampala menyebabkan diktator Uganda itu melarikan diri pada 11 April 1979. Sepanjang pemerintahan beliau, dianggarkan 300 000 orang awam telah terbunuh. 

Sumber: All Thats Interesting

Pol Pot

Kemboja ketika pemerintahan Pol Pot dari tahun 1975 hingga 1979 pula telah menyebabkan 1.5 hingga 3 juta orang terbunuh termasuk minoriti Vietnam dan Muslim Cham akibat kelaparan, kekurangan zat, hukuman mati, penyakit atau kerja berlebihan.

Dianggarkan sejumlah 500,000 orang Cham telah terbunuh. Penganut Kristian dan Buddha turut menjadi sasaran penindasan.

Pol Pot yang merupakan pemimpin Khmer Rouge telah bekerjasama dengan Putera Norodom Sihanouk bagi menentang Jeneral Lon Nol yang melancarkan kudeta pada Mac 1970 sekali gus mencetuskan perang saudara.

Amerika Syarikat telah menyokong Lon Nol. Pada 17 April 1975, Khmer Rouge memenangi perang saudara setelah menawan Phnom Penh.

Kerajaan Khmer Rouge digulingkan pada 7 Januari 1979 selepas tentera Vietnam menawan ibu negara.

Namun, ketidakstabilan masih belarutan sehinggalah pembentukan Pihak Berkuasa Peralihan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kemboja pada 28 Februari 1992.

Misi PBB berakhir pada September 1993 setelah berjaya memulihkan demokrasi dan pemerintahan beraja di Kemboja. Pada tahun 1997, Pol Pot dikenakan tahanan dalam rumah sehingga meninggal dunia pada 15 April 1998.

Kejatuhan Rejim Zalim

Kejatuhan rejim-rejim zalim dalam sejarah umat manusia selaras dengan firman Allah SWT berikut yang bermaksud:

“Tetapi ketika Allah menyelamatkan mereka, malah mereka membuat kezaliman di bumi tanpa (alasan) yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya kezalimanmu bahayanya akan menimpa dirimu sendiri; itu hanya kenikmatan hidup dunia, kemudian kepada Kamilah kamu akan dikembalikan, kelak akan Kami khabarkan kepadamu apa yang telah kamu lakukan.” (Yunus: 23)

Begitu juga dengan firman Allah SWT berikut:

“Adapun orang-orang yang melakukan kejahatan (akan mendapat) balasan kejahatan yang setimpal dan mereka diselubungi kehinaan. Tiada bagi mereka seorang pelindung pun daripada (azab) Allah, seakan-akan wajah mereka ditutupi dengan beberapa bahagian malam yang gelap gelita. Mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Yunus: 27)

Pemimpin zalim mendapat kehinaan apabila digulingkan oleh rakyat yang ditindasnya atau campur tangan pihak luar.

Kepimpinan Adil

Oleh hal yang demikian, Islam menuntut supaya manusia membudayakan keadilan dalam seluruh tindakannya agar keadaan yang lebih aman dan sejahtera dapat diwujudkan. 

Menegakkan keadilan merupakan sebahagian daripada tuntutan iman dan nilai sebenar seorang Muslim selaras dengan kedudukan keadilan sebagai asas kecintaan Muslim terhadap kebenaran.

Kepimpinan yang disanjungi turut berpunca daripada pemimpin yang mendaulatkan keadilan dalam pemerintahannya. Hal ini terbukti melalui firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada kedua-duanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nasfu supaya kamu tidak menyeleweng daripada keadilan. Dan jika kamu memutarbalikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam segala apa yang kamu kerjakan.” (An-Nisaa’: 135)

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya, Allah menyuruhmu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (An-Nisaa’: 58)

Menerusi ayat tersebut, dapatlah difahami bahawa hukuman yang dikenakan terhadap mana-mana individu tanpa mengira pangkat, darjat, keturunan, bangsa, agama mahupun parti politik boleh disifatkan sebagai adil kerana tiada unsur berat sebelah atau pilih kasih.

Yang bersalah tetap salah dan perlu menerima hukuman setimpal tanpa sebarang keistimewaan hanya kerana individu itu mempunyai pangkat atau pernah memegang tampuk pemerintahan negara.

Populariti seseorang juga tidak boleh dijadikan sandaran untuk terlepas daripada hukuman. Semua ini penting bagi menjamin keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Islam juga menuntut agar berlaku adil tanpa dipengaruhi rasa permusuhan peribadi terhadap individu, kumpulan, agama atau bangsa tertentu. 

Perbezaan bukanlah halangan untuk Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Maaidah: 8)

Oleh itu, amatlah tidak wajar jika para pemimpin mempunyai prejudis yang tinggi, rasis dan pilih kasih sehingga berlakunya kezaliman. Keadilan berupaya memupuk kepimpinan berkualiti yang akan disanjungi pengikut bawahan atau rakyatnya.

Pemimpin yang adil juga dapat memantapkan perpaduan rakyat yang berbilang bangsa dan agama serta mampu mengekalkan kestabilan politik. 

Sebaliknya, pemimpin yang zalim akan mencetuskan ketidakpuasan hati yang mampu menggoyahkan perpaduan rakyat.

Ketidakpuasan hati ini kadangkala dizahirkan melalui ketidakpatuhan terhadap perintah, demonstrasi dan revolusi. Keadaan anarki sudah pasti tidak menguntungkan negara dan rakyat. 

Zulfiqar Mohd Yusof
Pensyarah Kolej Al-Quran Sayyidina Ali

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia