Lima faktor kejatuhan pemimpin menurut Hamka

Tokoh ulama terkenal yang tidak asing lagi dalam dunia Islam di Nusantara, Haji Abdul Malik bin Karim Amrullah atau lebih dikenali dengan Hamka, telah menggariskan beberapa faktor kejatuhan seseorang pemimpin. Beliau memberikan peringatan kepada pemimpin beberapa perilaku kejatuhan mereka.

 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pemimpin merupakan orang yang memimpin, manakala menurut Hamka dalam buku Kedudukan Perempuan Dalam Islam, pemimpin bermaksud “memimpin secara tegak. Membimbing supaya dapat berjalan, memapah supaya jangan jatuh! Atau menarik naik kalau sudah tergelincir jatuh. Tegak ke muka kalau bahaya datang mengancam.”

 

Hamka pernah berpantun dalam memperihalkan makna kepimpinan:

Janganlah masuk ke tengah gelanggang
Kalau taruhan tidak tertampin

Janganlah ingin jadi pemimpin
Kalau hanya alang kepalang

Tidaklah semua orang akan senang
Selama berjuang di bumi ini

Ada yang suka ada yang benci
Setelah meninggal barulah tenang.

 

Pantun Hamka ini menggambarkan betapa beratnya tanggungjawab mereka yang bernama pemimpin ini. Bukan mudah menggalas beban seorang pemimpin, bukan sekadar berkata-kata sahaja. Mereka perlu mengata dan mengota janji-janji  mereka. Ya, walk the talk!

 

Terlalu dipuji

 

Hamka telah menggariskan beberapa faktor kejatuhan seorang pemimpin antaranya adalah sikap terlalu memuji pemimpin.

 

Terdapat rakyat dan pengikut yang mendekati, memuji dan memuja pemimpin mereka dengan niat supaya takut dimarah, dijatuhkan pangkat dan kedudukan dek takut periuk nasi mereka hilang begitu sahaja.

 

Bagi pemimpin pula, apabila dipuja dan dipuji sentiasa, akan timbul rasa takjub menyebabkan mereka akan berbuat apa sahaja kerana walau dilakukan salah atau sebaliknya, mereka tetap akan berada dalam zon selesa.

 

Golongan ini bahkan melakukan sikap sedemikian kepada pemimpin lain juga. Pemimpin silih berganti tetapi golongan ini tetap akan wujud!

 

Melanggar janji

 

Selain itu, tambah Hamka, faktor kejatuhan pemimpin juga disebabkan oleh perbuatan melanggar janji. Allah SWT berfirman dalam Surah As-Saff ayat 2-3 maksudnya:

 

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”

 

Dalam ayat ini, Allah SWT membenci orang yang berjanji dan berkata tetapi tidak mengotakannya. Jangan mudah menabur janji kerana mengimpikan kuasa. Takut nanti kuasa tersebut yang akan menjatuhkan kita. Berpadalah dalam berkata-kata!

 

Ketidakadilan pemimpin

 

Seterusnya, Hamka juga mengingatkan faktor kejatuhan seseorang pemimpin adalah kerana ketidakadilan pemimpin.

 

Apabila memiliki kuasa, pemimpin boleh melakukan apa-apa yang mereka suka. Sukar untuk pemimpin melakukan apa yang mereka tidak suka terutamanya yang tidak digemari oleh para pengikut dan penyokong mereka.

 

Keadaan ini menyebabkan kemungkinan akan berlaku ketidakadilan kepada orang lain. Ketidakadilan berlaku, malah kezaliman yang diperlaku.

 

Dek memuaskan hawa nafsu diri, dek kuasa dan penerusan kekuasaan, mereka melakukan ketidakadilan seperti memberikan kedudukan dan pangkat walau tidak memenuhi syarat, pemberian anugerah dan sumbangan juga dipilih-pilih dengan mengutamakan mereka yang memberikan kepentingan kepadanya.

 

Menurut nafsu

 

Hamka juga menjelaskan bahawa menuruti hawa nafsu dan kerosakan akhlak pemimpin juga merupakan faktor kejatuhan seseorang pemimpin.

 

Dalam buku nukilan Hamka iaitu Akhlaqul Karimah bahawa pemimpin yang menuruti hawa nafsu akan menyebabkan hilang pertimbangan akal dan perbuatan mereka menjadi tidak rasional kerana kemewahan hidup.

 

Pemimpin tidak boleh memperlakukan sesuka hati, bercakap tanpa iman kerana itu akhlak sebagai seorang pemimpin. Banyak mata yang melihat dan banyak hati yang perlu dijaga, nanti tangan-tangan merekalah yang menentukan jatuh bangun seorang pemimpin.

 

Pemimpin perlu menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai qudwah dalam berbicara dan berperilaku di hadapan masyarakat. 

 

Tidak ditegur kesalahan

 

Akhir sekali, Hamka mengingatkan bahawa kejatuhan seseorang pemimpin kerana rakyat tidak menegur kesalahan pemimpin. Saidina Abu Bakar As-Siddiq radiallahuanhu sejurus sahaja dilantik sebagai khalifah selepas Rasulullah SAW mengatakan dalam khutbahnya:

 

Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah dipilih untuk memimpin kamu semua, dan aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan kamu semua. Sekiranya aku berbuat baik maka bantulah aku, dan sekiranya aku melakukan kesilapan, maka betulkanlah aku. Kebenaran adalah satu amanah dan dusta itu adalah satu pengkhinatan.”

 

Saidina Abu Bakar telah menunjukkan bahawa sebagai manusia biasa, kita tidak lari daripada kesilapan. Jadi kesilapan tersebut mungkin tidak disedari dilakukan mungkin dalam keadaan sedar atau sebaliknya.

 

Maka, rakyatlah yang menjadi penegur dan pengkritik. Maka pemimpin hendaklah bersedia untuk menerima kritikan dan teguran daripada rakyat.

 

Hamka menyarankan setiap pemimpin agar mencari sahabat setia yang tidak menyembunyikan kelemahannya dek menjaga hati dan air muka.

 

Hamka juga mengingatkan supaya pengkritik atau penegur yang menegur pemimpin agar menegur dengan cara yang berhemah supaya cara dan kaedah teguran tidak menjatuhkan kredibiliti dan kewibawaan seseorang pemimpin. 

 

Akhir kalam, pemimpin mempunyai tugasan besar. Pemimpin yang sedar akan tanggungjawab kepimpinan tidak akan menganggap jawatan dan kedudukan merupakan suatu kemuliaan, tetapi mereka perlu menganggapnya sebagai suatu bebanan besar yang akan disoal di akhirat kelak. Beringatlah wahai pemimpin!

 

Mohamad Sazmani Abdul Samat
Ketua IKRAM Muda 
Kedah Darul Aman

Artikel ini telah memenangi hadiah Pertandingan Menulis Artikel sempena Bengkel Jom Menulis! pada 11 Disember 2021 anjuran Jabatan Penyiaran dan Komunikasi IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia