Kejatuhan BN perlu tapi belum mencukupi

Dari aspek ekonomi antara lain ialah kenaikan kos kehidupan dan kekurangan peluang pekerjaan yang memberi ganjaran yang berpatutan. Dalam aspek sosial, antara lain ialah masalah jenayah yang berleluasa, masalah anak luar nikah, pengambilan dadah di kalangan remaja dan masalah-masalah lain.

Kejatuhan kerajaan Barisan Nasional baru-baru ini memberi harapan bahawa amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa mungkin akan dapat dihapuskan. Namun, pengalaman di negara jiran iaitu Indonesia menunjukkan bahawa masalah rasuah bukannya mudah untuk dihapuskan sama sekali. Selepas 20 tahun Suharto (yang terkenal dengan masalah korupsi dan salah guna kuasa) digulingkan, masalah korupsi masih berleluasa di Indonesia.

Di samping itu, masalah kos kehidupan yang sentiasa meningkat juga membuat ramai rakyat Indonesia, terutama dalam kalangan yang lemah dan miskin, hidup dalam keadaan yang sengsara. Akibatnya, jutaan rakyat Indonesia masih mencari rezeki di luar tanah air mereka. Ini membuktikan bahawa kejatuhan rejim yang korup tidak bermakna semua masalah akan dapat diselesaikan dengan senang.

Tetapi ini tidak menafikan keperluan perubahan kepada suasana politik di negara kita. Ini adalah kerana kerajaan UMNO-BN telah dihinggapi penyakit yang terlampau serius setelah 60 tahun memerintah dan berkuasa tanpa putus semenjak negara mendapat kemerdekaan lagi.

Kejatuhan kerajan BN adalah satu keperluan, bukan sahaja untuk negara, bahkan juga untuk BN dan UMNO sendiri. Sekarang, setelah hilang kekuasaan politik, UMNO akan berupaya membuat perubahan kepada dirinya sendiri ke arah kebaikan, dengan syarat pemimpin yang berakhlak tinggi dan mulia, terutama dalam kalangan yang muda, akan diberi peluang untuk mengambil alih tampuk pimpinan UMNO.

Tetapi perlu disedari bahawa kejatuhan UMNO dan BN tidak bermakna masalah masyarakat akan dapat diselesaikan dengan senang. Dalam bidang ekonomi, sebagai contoh, masalah kos kehidupan masyarakat serta kekurangan peluang pekerjaan bukan senang untuk diselesaikan.

Bahkan jika semua tuduhan terhadap Dato’ Sri Najib adalah terbukti benar (yakni bahawa beliau telah mencuri wang berjumlah beberapa bilion) dan semua wang tersebut dikembalikan kepada kerajaan Malaysia, adakah bermakna kerajaan akan mampu menyelesaikan masalah kos kehidupan dan pengangguran?

Adakah kejatuhan Najib dan Rosmah bermakna masalah sosial masyarakat termasuk korupsi dan rasuah akan dapat dihapuskan terus? Sudah tentu jawapan kepada kedua-dua soalan adalah tidak. Ini kerana kita menyedari bahawa punca kepada masalah-masalah yang disebut di atas sebenarnya bukan hanya daripada Najib dan Rosmah sahaja, bahkan daripada pelbagai sumber.

Sebenarnya banyak masalah di atas berkait dengan sistem-sistem yang diamalkan dalam masyarakat termasuk sistem sosial, politik dan ekonomi. Dalam aspek sistem sosial, banyak masalah berpunca dan kurangnya penghayatan kepada agama serta terhakisnya nilai-nilai murni Islam dalam masyarakat. Akibatnya, ramai ahli masyarakat bersikap rakus dan tamak dan inginkan kejayaan material yang cepat.

Ramai berbelanja lebih dari kemampuan dan ini mengakibatkan industri hutang dapat berkembang cepat. Sistem ini kemudiannya mencipta wang dengan banyak seterusnya menimbulkan pelbagai masalah termasuk kenaikan kos kehidupan. Di samping itu, institusi keluarga yang lemah serta sikap tolong menolong yang semakin terhakis bermakna masalah gelandangan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur semakin parah.

Sebenarnya masyarakat kita perlukan reformasi nilai supaya nilai Islam yang murni dan mulia menjadi lebih ketara dan dominan. Ini perlu disusuli oleh reformasi kepada sistem-sistem masyarakat termasuk sistem sosial, ekonomi dan politik.

Kita juga perlu sedari bahawa adalah menjadi satu kesilapan jika kita meletakkan semua usaha-usaha reformasi di atas bahu ahli politik semata-mata. Ini kerana ahli politik seringkali diminta untuk hanya melaksanakan apa yang rakyat mahukan.

Mereka sangat memerlukan undi rakyat, terutama apabila musim PRU tiba dan oleh itu, sering sekali hanya memberi fokus untuk memuaskan perasaan para pengundi berbanding memberi fokus kepada usaha-usaha reformasi pemikiran dan nilai ahli masyarakat. Di samping itu, ahli politik juga sering perlu bergelut dan bercakar sesama sendiri untuk mendapat pengaruh dan akhirnya sering mengabaikan tugas reformasi masyarakat.

Secara rumusan, setiap individu dalam masyarakat perlu menyedari bahawa sumbangan mereka kepada reformasi nilai dan sistem-sistem dalam masyarakat amat penting. Mereka tidak boleh bergantung kepada ahli politik semata-mata tetapi perlu berkerja keras untuk membawa perubahan di dalam masyarakat.

Tanpa usaha-usaha kita semua, adalah sukar untuk memastikan akan berlaku perubahan yang diinginkan dalam masyarakat supaya generasi akan datang akan dapat tinggal di negara Malaysia yang lebih sejahtera dan selamat.

Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail
Ketua Biro Penyelidikan IKRAM

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia