Keharmonian rumah tangga musim pandemik

Sejak Mac 2020 kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang mana wabak tersebut telah menimbulkan keresahan dan kerisauan pada masyarakat hatta perkara tersebut boleh mengancam nyawa. 

 

Oleh itu, inisiatif ini telah diambil bagi kemaslahatan rakyat itu sendiri. Namun begitu, inisiatif yang telah diambil ini bagi tujuan maslahat rakyat justeru memberi impak  negatif dari beberapa sudut dan aspek yang lain. Banyak pihak dan sektor ekonomi yang terjejas dan tidak ketinggalan juga institusi kekeluargaan yang terkesan akibat pandemik ini.

 

Tidak dinafikan media sosial kita hampir setiap hari menghidangkan pelbagai masalah dan isu yang berlaku akibat terkesan dengan pandemik ini terutama yang melibatkan institusi kekeluargaan.

 

Menurut rekod, sejak berlakunya pandemik ini, kes perceraian, kes curang, kes dera, kes bunuh diri semakin meningkat dari hari ke hari dan hal ini amat membimbangkan kerana membawa kepada rosaknya institusi keluarga dan padahnya akan memberi impak kepada anak-anak.

 

Sekiranya kita amati antara punca dan faktor runtuhnya institusi kekeluargaan adalah disebabkan sifat ego dalam diri, pengurusan stres yang salah, masalah kewangan, kurangnya tolak ansur antara satu sama lain, terlalu pentingkan diri dan  kurangnya didikan agama dalam keluarga.

 

Ini ditambah pula dengan keadaan dan situasi pandemik yang mendesak dan merunsingkan yang akhirya memberi implikasi serius ke atas institusi keluarga seperti keretakan hubungan antara dua keluarga, menyumbang kepada berlakunya gejala-gejala sosial dalam masyarakat dan anak-anak terabai. Solusi kepada persoalan perceraian dan masalah yang sering berlaku dalam institusi kekeluargaan perlu ditangani dan diubati.

 

Untuk pengetahuan, usaha ke arah membina keluarga yang bahagia dan mengekalkannya merupakan usaha yang takkan pernah ada noktahnya kerana setiap hari kita perlu untuk berusaha dan teruskan usaha kita, dan titik di mana kita berhenti berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk keluarga dan pasangan kita, maka itulah titik bermulanya keretakan rumah tangga dan institusi kekeluargaan.

 

Membangunkan sesebuah keluarga itu satu perkara yang mudah tetapi untuk mengekalkan keharmoniannya itulah yang masih menjadi tanda tanya. Menjadi lumrah kehidupan manusia terkadang diuji dengan permasalahan dalam hidup namun kita tidak boleh menjadikan itu satu alasan untuk berputus asa. 

 

Dalam Islam, keluarga yang harmoni adalah keluarga yang sakinah, mawaddah warahmah atau boleh kita ertikan dengan keluarga yang penuh dengan kasih sayang, cinta dan harapan. Hal dalam membangunkan keluarga yang bahagia ini sudah dicontohi oleh contoh teladan yang agung iaitu baginda Rasulullah SAW sendiri. Dalam al-Quran sendiri Allah Taala berfirman:

 

“Sesungguhnya dalam diri Rasulullah ada teladan yang baik bagi kamu (iaitu) bagi mereka yang mengharapkan (rahmat) Allah dan (akan datang)  hari kiamat dan dia banyak menyebut tentang Allah.” (Al-Ahzab: 21)

 

Antara perkara yang utama perlu kita lakukan dan jaga dalam menyuburkan keharmonian rumah tangga adalah dengan memperkuatkan hubungan dengan Allah SWT, iaitu dengan cara kita bersama-sama membina biah hasanah dalam keluarga dengan mengamalkan sunnah-sunnah yang diajarkan oleh baginda Rasulullah sendiri seperti solat berjemaah bersama-sama isteri dan anak-anak, membaca al-Quran seusai solat dan juga mengadakan majlis ta’lim bersama-sama ahli keluarga. 

 

Dalam hubungan, terkadang konflik antara pasangan adalah perkara yang tidak dapat kita elakkan. 

 

Persoalan di sini adalah, bagaimana menguruskan setiap konflik yang berlaku agar perkara tersebut tidak menjejaskan sesuatu hubungan dan institusi kekeluargaan? Perbincangan yang baik di antara kedua-dua pihak adalah perkara yang disarankan demi merungkai segala salah faham yang berlaku.  

 

Namun begitu, perbincangan tersebut mestilah dilakukan dalam keadaan kedua-duanya dalam emosi yang stabil. Hal ini kerana perbincangan dalam keadaan yang beremosi tidak akan membawa kepada jalan penyelesaian, malahan boleh memburukkan lagi keadaan.

 

Maka dalam konflik rumah tangga, sekiranya ada salah seorang yang berbuat salah, maka ketepikan ego dan saling memaafkan adalah perkara yang dituntut. Dalam al-Quran, Allah berfirman:

 

“Hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu, tidakkah kamu suka Allah mengampunkan dosa kamu? Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (An-Nur: 22)

 

Ayat tersebut merupakan galakan untuk kita agar saling bermaafan. Allah saja suka mengampuni apatah lagi kita sebagai hamba.

 

Jika kita perhatikan antara faktor yang menyumbang kepada kerenggangan dalam sesebuah hubungan itu adalah kerana masing-masing sibuk dengan hal masing-masing sehinggakan tidak dapat melapangkan waktu bersama isteri dan anak-anak, dan pasti akan ada yang merasa seolah-olah diabaikan. 

 

Dalam situasi pandemik ini, memandangkan setiap daripada kita diperintahkan untuk tetap kekal dan melakukan kerja dari rumah, maka waktu bersama keluarga itu pastinya lebih banyak berbanding sebelum ini.

 

Justeru itu, amatlah digalakkan agar kita menghabiskan dan meluangkan waktu yang berkualiti dengan ahli keluarga dengan melakukan aktiviti yang berfaedah bersama-sama. Antara kunci utama harmoninya rumah tangga juga adalah di mana adanya waktu lapang yang dihabiskan bersama-sama dan ini adalah perkara sangat penting dalam menjaga ikatan kekeluargaan. 

 

Antara perkara yang boleh dilakukan adalah ibu bapa boleh melapangkan waktu dengan membantu anak-anak dalam PdPR. Jika sebelum ini kebanyakan ibu bapa hanya mengharapkan guru-guru di sekolah sepenuhnya, maka sekarang adalah waktu yang sangat tepat sekiranya ibu bapa turun tangan dalam mengambil tahu akan hal pembelajaran anak-anak. 

 

Selain itu, saling membantu dalam melakukan kerja harian rumah juga perkara yang bagus untuk dilakukan bersama, jika sebelum ini hal-hal berkaitan kerja rumah hanya diletakkan atas bahu para isteri, maka masa lapang yang ada sekarang boleh di isi dengan saling membantu antara satu sama lain. 

 

Antara lain, perkara yang perlu dititikberatkan oleh institusi kekeluargaan dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga adalah dengan memastikan hal pengurusan kewangan diurus dengan baik. 

 

Melihat situasi pandemik sekarang, ramai individu yang terkesan dari segi ekonomi kerana ramai yang tidak dapat bekerja dan ada yang diberhentikan kerja, maka hal-hal ini secara tidak langsung telah menjejaskan pendapatan isi keluarga. 

 

Ditambah pula dengan kos sara hidup yang makin meningkat, maka ia makin menambahkan kerisauan terutama pada ketua keluarga hinggakan ada yang memilih untuk bunuh diri kerana sudah tidak tahan dengan kesempitan hidup.

 

Jika berlaku keadaan seperti ini, antara perkara yang perlu dilakukan adalah melatih diri dan keluarga untuk bersifat qanaah iaitu hidup dengan merasa cukup dengan apa yang ada. 

 

Jika sebelum ini kita lebihkan keinginan dari keperluan, maka saat situasi begini, keperluan adalah perkara yang utama untuk didahulukan berbanding keinginan dan kehendak yang lain. Selain itu, pasangan haruslah saling bantu membantu dalam memastikan pengaliran wang dalam keluarga sentiasa ada. 

 

Di Malaysia sendiri jika kita lihat, ramai pasangan yang menjalinkan hubungan jarak jauh atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan seperti perbezaan tempat kerja, pasangan yang masih belajar dan sebagainya. 

 

Atas faktor ini juga, banyak pasangan mengambil peluang untuk berlaku curang sehingga kes kecurangan yang direkodkan semakin bertambah dari hari ke hari khususnya dalam tempoh pandemik ini.

 

Oleh itu dalam situasi sebegini, perkara yang dinasihatkan kepada pasangan yang berjarak jauh ini adalah untuk mendidik diri, memahami keadaan antara satu sama lain dan mewujudkan komunikasi yang baik serta jujur antara satu sama lain kerana dari situlah akan mewujudkan rasa saling percaya antara satu sama lain. 

 

Hal ini kerana komunikasi yang baik dan saling percaya antara satu sama lain adalah asas penting dalam membangunkankan keluarga yang harmoni. Janganlah dijadikan alasan jauh dan kesibukan bekerja untuk mengelak daripada berkomunikasi dengan pasangan. Zaman perkembangan teknologi sekarang sudah banyak aplikasi untuk mempermudahkan kita berkomunikasi.

 

Selain itu, antara perkara yang disarankan demi menjaga keharmonian rumah tangga dalam apa jua situasi dan keadaan adalah dengan berusaha untuk menyenangkan hati dan jiwa pasangan. 

 

Sebagai contoh, memuji pasangan dengan menyebutkan hal-hal kebaikan dan melontarkan kata-kata penghargaan terhadap apa yang telah dilakukan kerana pada dasarnya manusia memang senang ketika mendapat pujian terutama pujian tersebut dilontarkan di hadapan orang lain misalnya keluarga atau teman rapat. 

 

Seterusnya, memanggil pasangan dengan panggilan yang disukainya. Hal ini sudah pun dicontohi oleh Rasulullah SAW sendiri ketika mana baginda memanggil isteri baginda Aisyah RA dengan panggilan Humaira yang bererti putih kemerah-merahan.

 

Oleh itu, pilihlah panggilan yang benar-benar baik kerana pasangan akan turut senang hati dengan perkara tesebut. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda:

 

“Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap isteriku.” ( HR At-Tirmidzi).

 

Konklusinya, kehidupan dalam rumah tangga serta keharmoniannya adalah perkara yang wajib kita ambil berat dan cakna serta perlu terus dipelihara kerana bermula dari institusi keluarga yang baiklah akan lahirnya sebuah masyarakat yang baik dan  harmoni.

 

Oleh itu, usaha ke arah mewujudkan keluarga yang bahagia perlu diteruskan kerana ia merupakan usaha sepanjang hidup yang tiada noktah.

 

Nurul Najwa Abdul Halim
Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia