Keganasan rumah tangga: Jangan berdiam diri

Ketika kejadian, si isteri menegur suami kerana perilaku sang suami dan ketika itu suami berang dan telah memukul isteri dan anaknya yang masih bayi itu sehingga cedera.

 

Keganasan rumah tangga bermaksud perlakukan ganas terhadap pasangan yang melibatkan penderaan secara fizikal, seksual, psikologi serta sosial. Keganasan terhadap wanita adalah perbuatan penganiayaan terhadap wanita dan kanak-kanak dalam pelbagai cara.

 

Keganasan berlaku apabila wujudnya penyalahgunaan dadah, pengambilan alkohol yang berlebihan, individu yang mempunyai kecelaruan personaliti, tiada saluran bagi menghilangkan tekanan ataupun stres, masalah kewangan dan pelbagai masalah yang berkaitan. 

 

Organisasi wanita di malaysia telah mengambil masa hampir satu dekad untuk memperjuangkan isu keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak serta isu keganasan rumah tangga sebelum Akta Keganasan Rumah Tangga diluluskan pada tahun 1994. Dengan adanya akta ini, keganasan rumah tangga kini merupakan satu jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

 

Faktor keganasan

 

Statistik pada tahun 2019 menunjukkan bahawa kes panas baran, perselisihan faham, penagih dadah, pengaruh alkohol, dan cemburu yang berlebihan menjadi punca keganasan yang berlaku.

 

Keganasan juga tidak dialami hanya kepada wanita sahaja, bahkan kaum lelaki juga berisiko menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Pendera terbahagi kepada dua yang mana lelaki dan wanita juga boleh menjadi pendera.

 

Mengapa keadaan boleh menjadi sebegitu? Ini kerana wujudnya rasa cemburu, rendah diri apabila pasangan lebih berpendapatan tinggi serta berjawatan tinggi dan berpendidikan yang lebih tinggi serta sukar mengawal emosi.

 

Jangan tidak tahu, wanita yang dibesarkan dengan persekitaran dan suasana pendera atau keganasan juga amat cenderung untuk menjadi pencetus keganasan mahupun pendera, kerana trauma yang pernah  dialami.

 

Akan tetapi, kaum wanita lebih terdedah kepada keganasan berbanding kaum lelaki. Walaupun mereka juga ada yang menjadi mangsa kepada keganasan wanita, akan tetapi nisbahnya adalah terlalu kecil dan sedikit berbanding jumlah keganasan terhadap wanita.

 

Ini kerana disifatkan lelaki adalah seorang yang gagah, hebat, kuat dan sukakan keganasan dan pantang dicabar. Manakala wanita pula lebih bersifat mudah mengalah, penyayang, mudah memaafkan dan tidak suka keganasan.

 

Faktor ini juga sedikit sebanyak mempengaruhi tindakan keganasan lelaki terhadap wanita. Keganasan rumah tangga pula sering berpunca apabila permasalahan gagal diselesaikan dengan baik.

 

Contohnya, panas baran disusuli dengan cemburu buta dan permasalahan penyalahgunaan dadah kerana tidak mendapat stok bekalan dadah. Sering kali kesilapan kecil akan membawa kepada akibat yang membawa padah yang boleh  meragut nyawa, 

 

Pergaduhan yang berpunca daripada keganasan boleh mendatangkan kesan kepada kesihatan dari segi kestabilan emosi dan psikologi serta memaksa wanita yang mengalaminya sukar untuk mencapai kemajuan dan sentiasa berada dalam ketakutan. 

 

Kebanyakan kes keganasan rumah tangga tidak dilaporkan kerana masalah dalaman keluarga dan masalah peribadi yang lain, serta malu dan risau mendapat cemuhan daripada masyarakat luar.

 

Tiada saluran yang betul serta kurang keyakinan diri menyebabkan hampir tiada kes keganasan dilaporkan kepada pihak berkuasa.

 

Bentuk keganasan

Keganasan pula terbahagi kepada beberapa bentuk. Antaranya adalah:

 

1. Keganasan yang berbentuk fizikal

Diserang dipukul, ditumbuk, ditampar, ditendang, dicederakan dengan menggunakan senjata adalah contoh yang jelas keganasan yang berlaku. Tidak memberi atau menghalang keperluan asas manusia juga adalah salah satu bentuk keganasan atau penderaan fizikal, seperti tidak memberi makan, minum, tidur dan tempat perlindungan yang sewajarnya.

 

2. Keganasan yang berbentuk psikologi dan emosi

Ugutan, hinaan, makian, menjatuhkan maruah adalah keganasan yang boleh memberikan dan meninggalkan kesan yang sama kerana mampu mendatangkan kesan sama seperti keganasan berbentuk fizikal.

Keganasan ini memberikan kesan lebih mendalam dan membahayakan kesihatan emosi dari sudut pemikiran yang positif, sehingga mangsa tidak mampu untuk berfikir sendiri  demi menjalankan kehidupan.

 

3. Keganasan seksual

Mangsa dipaksa melayan hubungan seksual melihat atau melayan kehendak seksual  yang di luar kebiasaan kemahuan seseorang itu.

 

Personaliti mangsa keganasan

 

Terdapat juga di antara mangsa keganasan, tidak banyak dapat dinilai dari mata kasar pada kebiasaanya kerana tiada kejelasan perubahan personaliti yang ada pada sikap mangsa.

 

Mangsa keganasan rumah tangga masih mampu bercampur gaul dengan komuniti dengan baik, mampu keluar bekerja dan menjalani kehidupan seperti biasa, akan tetapi mereka lebih cenderung beremosi tinggi dan suka menyendiri, gelisah dan mudah panik pada sesuatu hal.

 

Mangsa juga tidak mampu berfikir jalan dan pilihan yang sesuai dan sering menemui jalan yang buntu, tidak mahu keluar daripada permasalahan atau tidak mahu lari daripada permasalahan dan tidak mempercayai orang lain. Bahkan, mangsa lebih mudah menerima penderitaan daripada keluar dari masalah keganasan walaupun mempunyai peluang dalam situasi tersebut.

 

Ada juga mangsa yang berada di tahap kemurungan dengan suka menyalahkan diri sendiri, dengan beranggapan bahawa keganasan dan penderaan ini tidak akan berpanjangan dan tidak berisiko terhadap kesihatan emosi dirinya serta anak-anak. Tanda-tanda kemurungan yang biasa dapat dilihat adalah berasa tidak berguna, mampu mencederakan diri sendiri dan bertindak ganas.

 

Keganasan ini masih berlanjutan adalah kerana kepercayaan mangsa keganasan kepada pasangan yang mahu berubah. Akan tetapi pada dasarnya pasangan itu tidak berubah menjadi baik, malah semakin mendera secara emosi dan fizikal dengan lebih teruk lagi. 

 

Dengan sikap-sikap pemaaf ini, mangsa mula menidakkan atau menganggap keganasan yang berlaku adalah hanyalah perkara biasa dan pada tahap ini mangsa akan menidakkan keganasan dengan menyembunyikan segala hal sehingga tidak dapat diketahui oleh orang lain serta mula melindungi  perkara yang sebenar.

 

Kebanyakan mangsa keganasan tidak melaporkan keganasan yang dialami kerana mangsa risaukan keselamatan anak-anak yang mungkin akan menjadi mangsa sekiranya mangsa keganasan membuat laporan.

 

Anak-anak akan turut menjadi mangsa serangan secara emosi dan fizikal dengan kesan yang mudah dilihat adalah suka bertindak agresif atau lebih kepada mendiamkan diri, lebih percayakan rakan-rakan daripada ibu bapa dan mudah terjerumus dengan persekitaran yang negatif.

 

Pelaku keganasan (suami) pula berfahaman bahawa memukul atau bersikap keganasan adalah suatu hukuman kerana mangsa (isteri) melakukan kesalahan dan ia adalah cara yang akan memberikan pengajaran terhadap kesalahan dan bimbingan yang tepat untuk menghukum mangsa (isteri).

 

Selain itu, pelaku keganasan kurang didikan dan pengetahuan agama, di bawah pengaruh dadah, perasaan cemburu serta dendam yang sering kali melakukan keganasan terhadap wanita dan rumah tangga. Pelaku merasakan mangsa tiada hak bersuara. Oleh yang demikian, pelaku sewenang-wenangnya melakukan keganasan terhadap mangsa.

 

Tanda-tanda kemurungan yang biasa dialami oleh wanita mangsa keganasan, selalu berasa tidak berguna, suka menyalahkan diri sendiri, mudah tertekan dengan keadaan, sering marah-marah terhadap diri sendiri dan mudah terasa hati. 

 

Kadangkala apabila mangsa keganasan ini menemui jalan buntu untuk mendapatkan sokongan, akhirnya mereka akan kembali kepada kehidupan lingkungan keganasan ini, kerana mereka tidak  mendapat sumber  maklumat dan saluran yang tepat  bagi meluahkan rasa dan mendapatkan khidmat yang sewajarnya.

 

Peranan mangsa keganasan

 

Apa yang dapat dilakukan oleh mangsa keganasan adalah mencari peluang untuk membuktikan bahawa segala kejadian adalah yang benar dan berani keluar membuat laporan polis serta  kepada pihak yang berkuasa.

 

Jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan, mangsa perlu berani bertindak untuk keselamatan diri serta anak-anak. Namun ia sering kali gagal kerana tindakan atau laporan tersebut tidak dilayan oleh pihak berkuasa kerana pihak mangsa gagal mengemukakan bukti yang kukuh.

 

Selain itu, mangsa juga mempunyai pemikiran bahawa masalah hubungan mahupun pertelingkahan atau pergaduhan dalam sesebuah rumah tangga tidak patut dicampuri oleh masyarakat luar. Lebih menyedihkan, mangsa gagal mempertahankan diri sebaliknya masih bergantung kepada pendera, menjadikan mangsa mengambil langkah berdiam diri.

 

Peranan komuniti

 

Apakah yang boleh dilakukan oleh komuniti setempat bagi menangani keadaan ini?

 

Peranan komuniti yang prihatin adalah dengan bersikap cakna dalam kejiranan di sekeliling mereka dengan membantu melaporkan ke Talian Kasih yang telah dibangunkan dalam aplikasi Whatsapp yang beroperasi 24 jam sehari.

 

Ini akan menjadikan masyarakat setempat  mampu menjadi mata dan telinga dalam membantu dan melaporkan segala yang berkemungkinan keadaan yang  berkaitan keganasan rumah tangga.

 

Masyarakat komuniti juga boleh berperanan melaporkan kepada pihak polis dan membantu merancang laluan keselamatan jika benar mangsa adalah mangsa keganasan rumah tangga, serta meneliti segala laporan yang diterima bagi mengelakkan  kejadian yang tidak diingini.

 

Pelbagai usaha bersepadu perlu diambil bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu keganasan rumah tangga ini dan perlunya diperbanyakkan program dan perkhidmatan sokongan sosial bagi memberi penerangan serta kefahaman tentang keganasan rumah tangga.

 

Peranan komuniti terhadap isu keganasan wanita dan kanak-kanak perlu ditingkatkan bagi membolehkan mereka mengambil langkah dan tindakan dalam membantu mengetengahkan isu ini dan mengambil kira aspek perlindungan dan pemulihan.

 

Lebih banyak pendedahan perlu diketengahkan dalam masyarakat supaya mereka mempunyai kesedaran sekali gus berperanan agar isu keganasan rumah tangga ini tidak menjadi satu isu yang membimbangkan.

 

Noraini Jaffar

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia