Kebebasan bersuara adalah hak setiap individu yang dapat dinikmati dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia.
Jaminan ini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, bahagian Fasal (1)(a) Perkara 10 yang menyatakan, tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran.
Namun, undang-undang ini dikawal oleh beberapa fasal lain dalam Perlembagaan Persekutuan dan akta lain seperti Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.
Akta-akta ini adalah sebagai garis panduan agar rakyat Malaysia bertanggungjawab terhadap sebaran fitnah, hasutan dan tidak boleh mempersoalkan kedaulatan raja-raja, Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak-hak istimewa orang Melayu serta bumiputera.
Kebelakangan ini, begitu ramai kelihatan cuba mengambil kesempatan atas situasi semasa yang berlaku dengan melakukan provokasi terhadap sensitiviti keagamaan dan perkauman yang sudah sedia kemas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tidak kurang juga, ada segelintir golongan yang mencetuskan polemik dan memainkan naratif yang menghuru-harakan masyarakat.
Tindakan tegas harus diambil terhadap mana-mana individu termasuk mana-mana ahli politik yang cuba menggugat ketenteraman awam dengan kenyataan yang sengaja menimbulkan perpecahan dan persengketaan.
Langkah ini dapat mendidik pemimpin dan rakyat dengan disiplin yang harus diikuti bagi menjamin keamanan dan keharmonian dalam sesebuah negara.
Sudah terlalu banyak contoh pada masa lalu dan masa kini bersangkutan konflik yang ditimbulkan oleh pemimpin politik yang bersengketa sesama sendiri, sekali gus mengheret rakyat awam ke gelandang pergaduhan.
Konflik di Sudan menjadi contoh nyata yang telah menyaksikan natijah pertengkaran ketua-ketua pemimpin yang telah membawa rakyat dan negaranya ke kancah tinju. Ketua yang bergaduh tetapi rakyat dimangsakan dan negara menjadi binasa.
Akibatnya, pembangunan terbantut, masalah yang menyelubungi negara tidak dapat diselesaikan dan rakyat terpaksa menjadi pelarian di negara orang.
Benar kebebasan bersuara adalah hak asasi manusia dan mendorong pemikiran individu, namun ia harus dikawal agar tidak disalahgunakan dan mengakibatkan kenistaan serta kecelakaan dalam masyarakat.
Peribahasa Melayu ada menyebut, “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa” yang membawa erti kecelakaan yang terjadi akibat terlepas cakap.
Bercakap dusta, mengangkat diri sendiri sambil menjatuhkan orang lain, membuka aib dengan tujuan menimbulkan konflik dan menyebarkan fitnah, termasuk dalam perbuatan yang mengupayakan terjadi suatu kebinasaan.
Kebinasaan yang boleh membesar sehingga menjadi malapetaka dalam masyarakat adalah kecelakaan yang harus dikesalkan.
Namun pada zaman maklumat tersebar di hujung jari, begitu ramai orang dengan mudah menghamburkan tutur kata sewenang-wenangnya seperti angin lalu. Ini kerana kebebasan bersuara sering disalah tanggap sebagai kebebasan mutlak.
Fahaman sebegini yang boleh menjadikan seseorang fanatik pada pandangan sendiri. Keterujaan melontarkan hujah atau logik fikiran sendiri mampu menutupi kewarasan akal tanpa merujuk pada sumber dan etika yang digariskan dalam al-Quran dan hadis sebagai sumber keadilan.
Keadaan bertambah buruk apabila ia disokong oleh tangan-tangan yang bersorak menyebarkan sesuatu tanpa disemak.
Begitu banyak fitnah yang ditabur dan disebarkan dalam masyarakat pada zaman ini, sehingga yang benar menjadi salah dan yang salah menjadi benar.
Adakah masyarakat sedar atau mengambil ringan akan perbuatan ini sedangkan agama memberi ancaman pada orang-orang yang meriwayatkan sesuatu tanpa pasti akan kebenarannya?
Ini ditegaskan dalam hadis Nabi SAW seperti berikut:
كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع
“Memadai seseorang itu dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar.” (HR Muslim, No. 5)
Hakikatnya, kebebasan bersuara datang dengan pilihan yang ada pertanggungjawaban. Agama menerusi wahyu Ilahi dan kata-kata Nabi telah lengkap memberikan panduan dan sempadan kepada umatnya agar dapat membina hidup sejahtera dan tidak menjerumuskan diri dalam hal-hal yang mungkar.
Manusia secara fitrah perlu mempunyai kebebasan menyuarakan pandangan dan memilih pendapat bagi memajukan potensi fikirannya.
Namun dalam agama, manusia tidak pernah ada kebebasan yang mutlak dan segala tindakannya dilindungi dan dipelihara syarak.
Bagi memastikan kebebasan ini menghasilkan kesan yang mendatangkan manfaat, Islam menganjurkan agar manusia berfikir serta melakukan semakan dan kajian.
Ini penting agar budaya berfikir dan mengembangkannya adalah melalui fikiran yang waras dan bertujuan menyingkap kebenaran serta mencapai keadilan.
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Penafian: Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian IKRAM.