Kebebasan bersuara dan media yang adil, beretika

Sekiranya ada pengarang atau wartawan yang cuba melencong sedikit pun daripada garis ini, maka sepastinya mereka akan dipanggil oleh pihak berkuasa, diberikan kata dua, lalu mereka akan kembali menjadi pak turut.

Kesan daripada itu, sebuah akhbar yang asalnya amat berwibawa dan membawa bendera perjuangan seperti Utusan Melayu yang begitu bebas hatta di bawah pemerintah penjajah Inggeris, akhirnya dimusnahkan kewibawaan mereka atau menjadi sebuah akhbar yang hanya menerbitkan apa yang dikehendaki oleh pemerintah sahaja, menjadi jurucakap parti yang berkuasa sahaja.

Akhirnya, kewujudan akhbar sedemikian sebagai sebuah entiti bisnes menjadi terancam, hinggakan jualan merudum teruk lantaran pupusnya kewibawaan kewartawanan mereka dan kepercayaan rakyat terhadap pelaporan mereka, dan hanya diselamatkan oleh tindakan pemerintah menggunakan duit rakyat untuk melanggan akhbar berkenaan di pejabat dan jabatan.

Kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya keempat belas dalam tahun 2018 memberikan nafas baru untuk kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar di Malaysia. Dengan janji untuk tidak menyekat kebebasan media oleh pemerintah yang baharu, TV dan akhbar semakin hidup dan kembali menjadi rujukan kepada rakyat untuk menilai sesuatu yang berlaku dalam negara.

Suara pembangkang dan mereka yang tidak bersetuju dengan pemerintah semakin kedengaran dan tidak disekat seperti dahulu, malah semakin mendominasi media perdana dan juga media bukan perdana.

Ini menjadi lebih ketara lagi apabila hampir kesemua syarikat akhbar dan media memang dikuasai oleh mereka yang asalnya berkait langsung dengan parti pembangkang, yang dahulunya memerintah negara. Sebaliknya boleh dikatakan pihak pemerintah kini tidak mempunyai sebarang syarikat media yang besar dan kukuh langsung.

Keadaan ini menimbulkan suatu suasana yang agak janggal yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Walaupun telah memerintah, pemimpin-pemimpin PH terpaksa berhadapan dengan sebuah institusi media yang tidak ramah malah kadangkalanya amat berseteru (hostile) dengannya.

Walaupun setakat ini pihak media belum berani untuk menyerang secara langsung seperti sebelum pilihan raya umum ke-14 dahulu, namun serangan-serangan secara halus tetap berterusan. Terlalu banyak kes di mana ketidakadilan dalam pelaporan berlaku, nyata dengan tujuan untuk membina persepsi buruk terhadap pemerintah kini dalam kalangan rakyat.

Ini diketarakan lagi dengan pihak menteri yang masih kekok dalam menghadapi media sebagai pihak pemerintah, ‘naive’ dalam percaturan politik media, dan tidak ‘savvy’ dalam melayan pertanyaan wartawan. Akibatnya, mereka mudah dimainkan oleh media dengan pelaporan yang tidak tepat dan ‘out of context’.

Pemerintah boleh sahaja kembali kepada zaman kuku besi seperti dulu lalu bertindak keras terhadap media yang tidak meletakkan mereka dalam pelaporan yang positif.

Namun itu bukan penyelesaiannya, dan tersesar daripada prinsip yang mereka sendiri perjuangkan dan apa yang rakyat juga harapkan. Kita tidak mahu kembali kepada zaman media pak turut dan penjilat yang lampau. Cukuplah Malaysia berdekad-dekad dengan pemikiran cara kuno sedemikian.

Sebaliknya pihak media harus sendiri bersikap adil dan beretika dalam membuat pelaporan. Rakyat tidak mahu sebuah institusi media yang menyorokkan kebenaran seperti dahulu. Pada masa yang sama, kita juga tidak mahu media yang berat sebelah atau tidak melaporkan seluruh kebenaran. Sebahagian kebenaran sahaja, yang dilaporkan di luar konteksnya, adalah pembohongan.

Begitu juga, hak untuk bersuara perlu dihormati, begitu juga hak untuk menjawab. Setiap pemberitaan perlu menggambarkan seboleh-bolehnya semua perspektif yang mungkin wujud.

Kewartawanan yang cemerlang dan paling beretika ialah kewartawanan yang tulus dan telus, serta tidak mempunyai agenda yang tersembunyi, melainkan untuk melaporkan sesuatu berita dengan benar seboleh mungkin.

Seorang wartawan dan sebuah institusi media, hendaklah bersifat neutral dan tidak memihak, seboleh mungkin, dan jujur terhadap yang demikian.

Di negara maju terutamanya di barat, perkara ini dijaga oleh sebuah institusi ‘watchdog’ yang bebas yang menyelia etika akhbar dan media. Contohnya di United Kingdom, wujud apa yang disebut sebagai Independent Press Standards Organisation. Sebelum IPSO, wujud Press Complaints Commission (PCC) dan sebelum itu ada Press Council.

Asas kesemua ini ialah pihak media bersedia secara sukarela untuk menjalankan kerja dengan beretika, untuk mengelakkan tindakan undang-undang yang lebih berat. Sekiranya ini tidak berlaku, mereka akan dimalukan dan kewibawaan mereka akan dipertikaikan.

Untuk mengelakkan Malaysia kembali kepada suasana tanpa kebebasan bersuara, kita juga perlukan sebuah badan bebas yang mewakili semua media, parti-parti dan juga masyarakat itu sendiri melalui tokoh-tokoh ternama yang berwibawa, untuk mengawal selia media kita agar lebih adil dan beretika.

Kesemua ini juga menurut masyarakat yang berfikiran, dan bukannya golongan manusia yang terbelenggu dengan pandangan yang sempit dan malas mengkaji. Sebenarnya hubungan di antara masyarakat yang berfikiran kritikal, media yang adil dan tulus, serta sistem demokrasi yang ampuh, adalah hubungan yang tidak boleh dipisahkan.

Setiap satu membina dan mengukuhkan yang lainnya. Ini lebih penting dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia yang secara tabiinya mempunyai terlalu banyak ‘hotspot’ yang perlu dijaga agar tidak meletus.

https://en.wikipedia.org/wiki/Independent_Press_Standards_Organisation

Prof Madya Hj Ainullotfi Abdul Latif
Ahli JKP IKRAM

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia