Beberapa orang diragut nyawa menjadi mangsa kebakaran di Greece yang berlanjutan sejak lebih seminggu yang lalu.
Sehingga kini, api masih marak dan belum berjaya dipadamkan. Cuaca panas, kering dan berangin telah menyukarkan kerja memadamkan api. Sebaliknya apa terus marak membakar hutan kering di negara Mediterranean itu.
Pada 25 Mei lalu, tentera udara melaporkan dua juruterbang terbunuh sewaktu jet Canadair CL-215 terhempas dalam usaha memadamkan kebakaran di Pulau Evia, timur Athens.
Masing-masing berusia 34 dan 27 tahun. Rakaman video menunjukkan pesawat tersebut telah terhempas ke lereng bukit dan terus terbakar setelah menjatuhkan air ke atas kawasan kebakaran.
Bomba dikerah
Pada sesi perbahasan di Parlimen, Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis berikrar kerajaannya akan membangunkan semula penempatan dan memberikan pampasan ke penduduk yang terjejas teruk akibat beberapa kebakaran hutan di negara itu.
Beratus-ratus anggota bomba dikerah dan dibantu oleh orang awam dan tentera dari negara jiran seperti Turkiye dan Slovakia untuk mengekang kebakaran besar yang melanda negara itu di Pulau Rhodes, Corfu dan Evia sejak Rabu lepas.
Pihak berkuasa bekerja sepanjang masa bagi memadamkan kebakaran. Kyriakos Mitsotakis mengatakan, negara mesti berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk beberapa minggu akan datang. Tambahnya, Greece sedang ‘berperang’ dengan api.
Pihak berkuasa telah mengarahkan orang ramai meninggalkan hotel dan rumah masing-masing. Beribu-ribu rakyat telah menyelamatkan diri dari kediaman masing-masing. Kira-kira 19,000 orang telah keluar melalui jalan darat dan laut. Kebanyakannya terdiri dari para pelancong yang datang bercuti disitu.
Sektor pelancongan sangat penting di negara Mediterranean itu dan menyumbang hampir 15 peratus daripada KDNK pada 2021 serta membuka peluang satu daripada lima pekerjaan. Sumber pendapatan di Kepulauan Rhodes dan pulau-pulau lain didorong oleh pelancongan.
Pemanasan 20% lebih cepat
Gelombang panas yang melanda Greece kini merekodkan suhu melebihi 46 darjah Celsius di sesetengah kawasan. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaporkan dalam laman medianya bahawa rantau Mediterranean mengalami pemanasan 20 peratus lebih cepat daripada purata global.
“Berdasarkan data, kita mungkin akan melalui kira-kira 16 hingga 17 hari gelombang haba yang tidak pernah berlaku sebelum ini di negara kita,” ujar pengarah penyelidikan, Balai Cerap Negara (Greece), Kostas Lagouvardos dalam siaran ERT Televisyen.
Greece telah mengalami cuaca paling panas dalam sejarah 50 tahun apabila suhu mencapai 45 darjah celsius. Perubahan cuaca global telah mengakibatkan krisis iklim yang terjadi telah meningkatkan tragedi kebakaran hutan dan bencana alam lain di seluruh dunia.
Alam bertindak balas
Alam telah bertindak balas terhadap kerosakan yang dibuat oleh kegiatan manusia. Isu perubahan iklim adalah isu global yang harus ditangani secara bersama dan harus mendapat kesepakatan demi kelestarian alam dan seluruh hidupan yang mendiaminya.
Para pemimpin negara dan dunia seluruhnya harus bekerjasama dan mendukung usaha menangani isu alam sekitar dengan komitmen yang tinggi terhadap usaha memeliharanya seperti merealisasikan pelan mengurangkan pencemaran alam, menggalakkan penggunaan teknologi tenaga baharu, tegas terhadap jenayah alam sekitar.
Manusia memerlukan hijau alam dan langit biru untuk melepaskan lelah dan ketenangan. Itu fitrah kejadian manusia dan sains telah membuktikan melalui kajiannya.
Sedari ini, manusia juga makhluk yang bertanggungjawab merosakkan keindahannya dan menjejaskan ekosistem semula jadi yang wujud.
Walaupun kini dunia mengalami fenomena cuaca ekstrem akibat perubahan iklim, namun masih ada lagi peluang dan ruang untuk diperbaiki demi masa depan yang lebih indah.
Kita perlu menanganinya dari sekarang tanpa bertangguh lagi. Mulakan dengan diri sendiri!
Basmin Maarof
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia
Rujukan: