Kapal LCS: Satu Lagi Skandal Merobek Imej Negara

Kapal LCS: Satu Lagi Skandal Merobek Imej Negara | IKRAM

Pendedahan demi pendedahan mengenai isu projek kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semakin menyerlah.

Tersingkap pula isu kelewatan penyerahan kapal peronda luar persisir (OPV), milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang kebarangkaliannya mengalami nasib yang serupa.

Namun, pihak yang sepatutnya bertanggungjawab seakan-akan baling batu sembunyi tangan terhadap isu yang mencalarkan imej negara di mata dunia ketika ini.

Menguak kembali naratif politik negara, ‘pemerintahan kleptokrasi’ telah berjaya dikuburkan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) yang lalu, namun sehingga hari ini negara masih dibelenggu oleh serpihan-serpihan kebobrokan pemerintahan mereka.

Terbaharu, skandal LCS yang melibatkan kerugian wang rakyat lebih RM9 bilion, hingga merencatkan keupayaan TLDM untuk mengawal perairan negara disebabkan kegagalan syarikat yang diberikan kontrak pembinaan kapal tersebut secara rundingan terus untuk menyiapkan projek tersebut.

Tentunya pembongkaran mantan Panglima TLDM, Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar mengenai bantahan beliau terhadap perolehan projek ini menerusi beberapa pucuk surat yang dihantar kepada Menteri Pertahanan pada ketika itu amat mengejutkan negara.

Walau bagaimanapun, bantahan tersebut tidak diendahkan oleh Menteri Pertahanan pada ketika itu iaitu Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kini.

Sadisnya, dengan isu tersebut, sekali lagi menjadikan negara ini makin dikenali dengan amalan tadbir urus yang tidak berintegriti lagi teruk kerana mengakibatkan kerugian berbilion ringgit dana awam.

Sebagaimana Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah mendedahkan kontrak projek LCS diberikan kepada syarikat BNS (Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd) secara rundingan terus dengan kerajaan membayar RM6.083 bilion, namun tiada sebuah kapal LCS pun disiapkan.

Hentikan Bayaran

Dalam pada itu, Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan tidak membuat bayaran lanjut bagi projek pembinaan LCS sehingga penghantaran kapal yang memenuhi spesifikasi kontrak dibuat dan setimpal dengan jumlah RM6.083 bilion yang dibayar sehingga kini.

TI-M turut menggesa kerajaan menyiasat kontraktor dan subkontraktor LCS di semua peringkat bagi memastikan tiada pemalsuan syarikat (dummy companies) yang mendorong kepada penggelapan kontrak dengan nilai yang besar itu.

“Bagaimana projek LCS yang bermula pada 2013 boleh dibiarkan sehingga berdepan kegagalan perolehan dan tadbir urus yang besar untuk sekian lama, selain aspek pengawasan, tadbir urus yang baik dan akauntabiliti?” soalnya.

TI-M yang merupakan badan memperjuangkan ketelusan, tidak berlaku rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran sesebuah negara, menggesa tindakan tegas diambil jika didapati mana-mana penjawat awam cuai dalam melaksanakan tugas berkaitan projek, terutama tugas berkaitan pengawasan dan pelaporan.

“Prosiding jenayah perlu dimulakan terhadap sesiapa yang disyaki melakukan kesalahan di bawah pelbagai undang-undang di Malaysia, terutama suapan, rasuah dan salah guna jawatan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Hanya Gah Pada Nama?

Sebagaimana kata Penganalisis Pertahanan Zaki Salleh dalam artikelnya yang bertajuk, ‘TLDM, LCS dan pemodenan’ pada Mei 2021:

“Sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada 27 April 2021 lalu pasti lebih bermakna sekiranya kapal tempur pesisir (LCS) yang direncanakan pembinaannya tujuh tahun lalu telah berlayar megah dengan mengibarkan bendera armada membelah samudera negara.”

Dengan kemampuan belayar selama 21 hari, kehadiran LCS melakukan rondaan pada tempoh yang lama sangat diperlukan berbanding kapal-kapal peronda yang saiznya berkali ganda lebih kecil.

“Gah pada namanya, malangnya nasib kapal itu yang sepatutnya diterima TLDM tiga tahun lalu masih tidak menentu, melainkan implikasi yang terpaksa ditanggung angkatan laut negara iaitu kekurangan kapal-kapal perang sebagai armada barisan hadapan.”

Turut didedahkan, empat lagi LCS yang nasibnya masih kabur ialah KD Raja Mahadi, KD Mat Salleh, KD Tok Janggut dan KD Mat Kilau, kesemuanya bersempena nama tokoh-tokoh pejuang tanah air yang handal.

Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) dianugerahkan secara rundingan terus untuk menyiapkan kapal-kapal tersebut dalam tempoh 10 tahun berkuat kuasa 3 Oktober 2013 sehingga Oktober 2023 dengan kos RM9.1286 bilion.

Kontrak perolehan itu juga adalah kesinambungan daripada kejayaan BNSSB menyiapkan enam kapal peronda generasi baharu (NGPV) sebelum itu.

Rentetannya…

Pada 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengarahkan projek LCS diberhentikan seketika dan siasatan dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah.

Mohamad Sabu yang menjawat jawatan menteri pertahanan ketika Pakatan Harapan memerintah negara (2018-2020), dan timbalannya ketika itu, Liew Chin Tong, menggesa supaya kementerian pertahanan membatalkan klasifikasi rahsia ke atas semua dokumen dan surat berkaitan projek itu, menurut laporan media tempatan.

“Tanpa dokumen terlibat dinyahklasifikasi, banyak persoalan tidak akan terjawab,” kata Mohamad Sabu.

Pada Februari 2020 pula, Menteri Kanan Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, Jemaah Menteri membuat keputusan meneruskan projek LCS, demi kepentingan TLDM.

Seterusnya pada November 2021, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberitahu Dewan Rakyat, kelewatan perolehan LCS berpunca daripada pengeluar produk tulen (OEM) memberhentikan kerja susulan masalah kewangan dan kapal LCS yang pertama akan diterima oleh TLDM pada tahun 2025.

Manakala pada 24 Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan menahan dua Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat berusia 49 dan 79 tahun berkaitan kontrak perolehan enam kapal LCS.

Namun, mesyuarat kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada April lalu sebulat suara memuktamadkan supaya projek perolehan LCS diteruskan.

Dilaporkan, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira dua faktor utama iaitu LCS adalah aset yang amat diperlukan oleh TLDM, selain akan menjejaskan 400 vendor yang terbabit dalam projek itu dengan implikasi kewangan lebih RM4 bilion.

Penyelewengan Ketara

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli sebelum ini mendakwa bahawa siasatan dalaman juga menunjukkan sekurang-kurangnya RM890 juta telah diselewengkan daripada projek itu.

Antara bentuknya ialah penipuan, wang yang dipindahkan kepada pihak yang bertujuan menipu kontrak, pertindihan kontrak dengan tuntutan berganda dan pelbagai penyelewengan lain.

“Saya akan kembali mendedahkan satu persatu dalam siri expose sepanjang bulan Ogos ini seperti yang saya pernah lakukan semasa skandal NFC, 1MDB, Tabung Haji dan Felda dahulu.”

Beliau percaya siasatan dalaman ini telah sampai kepada Hishammuddin Hussein. 

“Sebagai menteri yang menandatangani kontrak dalam tahun 2014, beliau juga menteri yang menandatangani perjanjian tambahan (supplementary contract) pada 31 Mei 2022 untuk menghidupkan kembali projek ini,” jelas Rafizi.

Menurutnya, sebagai menteri pertahanan yang paling lama menguruskan projek ini, beliau sudah tentu tahu tentang segala laporan dalaman mengenai penyelewengan projek ini.

“Kenapa sehingga sekarang beliau tidak mengambil tindakan untuk menangani penemuan penyelewengan berjumlah RM890 juta itu kerana tidak ada satu kes pun yang dibawa terhadap pihak-pihak yang dinamakan terlibat di dalam penyelewengan tersebut?”

Di mana Pemimpin Berintegriti?

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Woh berkata, hal ini dibuktikan apabila kerajaan terpaksa membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1.36 bilion kepada syarikat BNS, bertentangan dengan Surat Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 5 Tahun 2007 yang berkuat kuasa ketika itu.

“Kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan, yang mana menurut jadual asal, setakat Ogos 2022, sepatutnya lima buah kapal LCS harus disiap dan diserahkan,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen pada Khamis.

Sedangkan skandal 1MDB pun belum tamat kisahnya, muncul pula ‘skrip’ baharu yang mencemarkan nama negara dan mencederakan hati-hati rakyatnya.

Boleh jadi skandal ini bakal memerangkap pentadbiran yang tidak berintegriti apatah lagi berkompetensi menjelang PRU15 kerana ia akan membuktikan bagaimana kerajaan yang menuduh kerajaan yang memenangi PRU-14 lalu menjual aset negara, sedangkan ia berlaku di bawah pentadbiran kerajaan sekarang ini.

Terdahulu, pelbagai pihak turut menggesa kabinet negara mewujudkan Suruhanjaya Bebas Diraja bagi menyiasat dakwaan penyelewengan berhubung projek pembinaan kapal LCS TLDM.

Kerajaan Keluarga Malaysia juga seharusnya berusaha menangani isu yang memburukkan lagi keadaan negara ini dengan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana mereka yang terlibat.

Apa yang menjengkelkan, mengikut perjanjian asal, dua kapal pertama sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada April 2019, tetapi hanya 44 peratus siap, menurut laporan PAC. Laporan itu juga mengatakan pandangan panglima TLDM tidak diendahkan oleh Kementerian Pertahanan dan Boustead.

Pendek kata, tiada satu pun kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disiapkan meskipun kerajaan telah membayar RM6.083 bilion untuk projek itu menerusi kontrak kepada Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS) secara rundingan terus.

“Bersama selamatkan Malaysia.”

Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi Strategik dan Multimedia
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia