Kira-kira 40 peserta yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Media Wanita IKRAM seluruh negara menyertai kursus ini. Turut serta adalah Ketua Wanita IKRAM sendiri, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim dan Timbalan Ketua Wanita IKRAM, Dr Hafidzah Mustakim merangkap Pengerusi Jawatankuasa Media Wanita IKRAM serta AJK Wanita IKRAM Pusat.
Kursus tersebut dirasmikan oleh Pengerusi IKRAMedia Pusat, Hj Mahdzir Md Isa. Beliau menekankan kepentingan dalam menyampaikan maklumat melalui media berasaskan nilai FAST iaitu Fatanah (bijaksana), Amanah, Siddiq (benar) dan Tabligh (menyampaikan). Tambahnya, peluang dakwah menerusi media sosial begitu luas di mana kira-kira 11.8 juta rakyat Malaysia menggunakan Internet dan 80% daripadanya melayari Facebook.
Ucapan perasmian Hj Mahdzir, perkongsian Hj Saidy dan Abdullah Mujahid
Kursus diteruskan dengan slot perkongsian dan latihan ‘Asas Kewartawanan’ yang disampaikan oleh Prof Madya Hj Mohamad Saidy Ismail dan Hj A Ralim M Yassen. Antara isi perkongsian, kita perlu menulis dan terlibat dalam media untuk mengajak manusia kepada Allah dengan hujah yang nyata, menjadi penegak keadilan, menjadi penyebar fikrah Islam dan penyebar aktivisme melalui pemakluman aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
KAMI diteruskan pada keesokannya dengan penyampaian dalam slot ‘Asas Fotografi’ oleh Sdr Abdullah Mujahid Hasanuddin diikuti dengan ucapan ringkas daripada Ketua Wanita IKRAM, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.
Kursus bersambung dengan perkongsian berkaitan tentang “Memanfaatkan Media Sosial untuk Dakwah” oleh aktivis media sosial, Dr Aisyah Zainordin atau lebih dikenali sebagai Muharikah. Di hadapan aktivis media wanita, beliau mengatakan bahawa media sosial merupakan peluang besar untuk dakwah di mana wanita adalah pengguna media sosial yang paling ramai.
Ucapan Che Asmah, perkongsian Muharikah dan latihan grafik oleh Syafiq
Menurutnya, media sosial perlu dikemaskini sentiasa supaya pengunjung bertambah ramai ke halaman tersebut. Antara tips meramaikan pengunjung di halaman FB ialah dengan memuatnaik maklumat yang genuine (asli) dan mesej yang bermanfaat dan cepat tersebar setiap hari di samping menghubungkan twitter dengan FB.
Petangnya Sdr Syafiq Razak menitipkan teknik-teknik menghasilkan reka bentuk grafik menggunakan aplikasi Adobe Photoshop diikuti dengan penerangan tentang ‘Media dan Undang-undang’ oleh wakil IKRAM Lawyers.
Semoga aktivisme di kalangan penggerak media Wanita IKRAM lebih melonjak lagi dengan pelbagai pendedahan dan perkongsian bermanfaat dalam kursus ini, insyaa-Allah.