Kajian Kes Sistem MUSLEH Dibentang Dalam Persidangan Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan 2011

Persidangan ini telah dihadiri lebih 200 orang peserta dari pelbagai organisasi Islam sama ada yang terdiri dari organisasi kerajaan, swasta mahupun NGO seluruh negara. Wakil IKRAM dihadiri oleh Prof Dr Omar Yaakob, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan IKRAM, Ahli-ahli Jawatankuasa dan para Ahli Lembaga Pengarah MUSLEH.


YB Hjh Dr Halimah Ali, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor telah merasmikan persidangan ini sekaligus menyampaikan ucaptama beliau pada hari kedua persidangan. Dato’ Abu Bakar bin Chik, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat juga telah di jemput menyampaikan ucaptama beliau yang bertajuk “Mengarusperdanakan Sistem Pendidikan Islam”.

Persidangan yang mengambil masa selama dua hari itu telah dimuatkan dengan lima pembentangan kertas kerja daripada enam ahli panel yang dijemput khas dari pelbagai institusi untuk sama-sama berkongsi dan membincangkan beberapa isu utama yang membebani sistem pendidikan Islam di Malaysia khususnya mutakhir ini. Pembentangan Kertas Kerja 1 telah disampaikan oleh Hj Mohamad Ya, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan, Yayasan Islam Kelantan bertajuk “Falsafah Pendidikan dan Kurikulum”.


Diikuti pula dengan pembentangan oleh Prof Dato’ Dr Abdul Halim Tamuri, Pensyarah Pendidikan Islam UKM bertajuk “Isu Pembangunan Pendidik Dalam Memperkasa Pendidikan Islam” dan“Sistem Pengurusan Kewangan” yang telah dibentangkan oleh Hj Ridzuan Jaafar, Pengarah Sri Al-Amin Bangi Sdn Bhd. Selain dari itu, pembentangan seterusnya telah disampaikan oleh dua ahli panel iaitu Prof Dr Noor Azlan Ahmad Zanzali, Pengerusi Lembaga Akademik MUSLEH dan Ustaz Megat Mohamed Amin Megat Mohamed Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah MUSLEH iaitu “Sistem Pengurusan dan Pentadbiran MUSLEH – Satu Kajian Kes”. Prof Madya Ir Abd Aziz Omar pula telah membentangkan kertas kerja terakhir bagi persidangan tersebut yang menyentuh tentang “Sistem Sokongan dan PIBG”.

Di akhir persidangan tersebut, majlis bersidang telah mengambil kira beberapa aspek utama yang akan menjadi tunjang terhadap Sistem Pendidikan Islam di Malaysia.

Persidangan telah meluluskan sebulat suara enam resolusi berikut:-

1. Menyedari hakikat sejarah tamadun umat Islam adalah bersumber daripada pembangunan ilmu pengetahuan yang berteraskan Al-Quran dan Al-Sunnah;

2. Menyedari betapa pentingnya sistem pendidikan Islam diiktiraf oleh semua pihak yang berkaitan;

3. Menyedari bahawa kepincangan sosial dan kelemahan serta kelesuan umat islam dewasa ini adalah hasil dari sistem pendidikan yang diwarisi dari sistem pendidikan penjajah sebagai strategi utama dalam “grand design” untuk melemahkan umat islam;

4. Menyedari kepentingan menjana sumber kekuatan umat dalam pembangunan pendidikan;

5. Menyedari kewajipan bermuafakat dalam merealisasikan gerakan mengarusperdanakan Sistem Pendidikan Islam di Malaysia (SPIM); dan

6. Mengakui bahawa hak setiap individu Muslim di negara ini untuk mendapat pendidikan Islam adalah tuntutan yang mesti ditunaikan oleh negara dan kerajaan;

Persidangan Pendidikan Islam Kebangsaan 2011 telah memutuskan untuk bersetuju bahawa Sistem Pendidikan Islam diterima sebagai Sistem Pendidikan Kebangsaan untuk umat Islam mulai 2013 dan kepada masyarakat umum menjelang 2020.

Bagi merealisasikan matlamat ini, majlis bersidang telah bersetuju untuk:

1. Menubuhkan Majlis Pemuafakatan Pendidikan Islam Malaysia atau MAPPIM.

2. Menubuhkan Malaysian Islamic Education Quality Assurance (MIEQA) iaitu badan akreditasi yang diiktiraf diperingkat nasional dan antarabangsa.

3. Menubuhkan Pusat Sumber bagi menyokong pembangunan institusi pendidikan Islam.

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Ikuti Rancangan Jom Sembang Bersama Ustaz Dr Syazalie Hirman setiap Jumaat di TV IKRAM.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia