Dinamakan ‘JOM Sunathon’, program khidmat masyarakat dengan kerjasama ahli jawatankuasa penduduk dan surau Baitur Rahman di sini telah dilaksanakan dengan jayanya dan penuh meriah pada 3 dan 4 Disember lepas. Ia diadakan di surau Baitur Rahman, Jalan Putra Indah SS9, Putra Heights Subang Jaya. Turut sama adalah pasukan IKRAM Health, pasukan bomba, wakil-wakil surau dan penduduk setempat.
Program bermula pada sebelah malam hari Jumaat dengan sesi ceramah, ‘Kesihatan dari Perspektif Islam dan Perubatan’ oleh Ustaz Muhammad Adil Mohd Taib, ahli JK Kebajikan dan Kemanusiaan IKRAM Subang Jaya, disusuli dengan solat hajat dan majlis tahlil yang dikendalikan oleh pihak surau, jamuan serta gotong-royong menyusun peralatan program bersama penduduk.
Ketibaan dan pendaftaran peserta bermula seawal jam 7.30 pagi hari berikutnya. Selepas ucapan perasmian oleh Pengerusi Surau dan taklimat ringkas oleh Prof Latif dari IKRAM Health, semua peserta dimandikan dengan pancutan air oleh anggota pasukan bomba Subang Jaya sebelum sesi berkhatan dimulakan. Acara berkhatan tersebut telah dijalankan oleh pasukan perubatan Young Mercy Cyberjaya dengan bantuan petugas IKRAM Subang Jaya. Peserta hanya dihadkan kepada 20 orang sahaja kerana masa yang diperuntukkan untuk sesi tersebut hanya setengah hari sahaja.
Selain acara ‘Sunathon’, masyarakat di sekitar Subang Jaya, khususnya Putra Heights juga telah melibatkan diri dengan program pemeriksaan Kesihatan percuma (BMI, BP dan Sugar Level) oleh tiga doktor perubatan IKRAM Subang Jaya yang diketuai oleh Dr Elliyyin Katiman, pertandingan mewarna yang melibatkan sekitar 40 kanak-kanak berumur antara 5 hingga 12 tahun, tayangan klip video dan juga pameran yang melibatkan IKRAM dan Aqsa Syarif.