Sekali lagi marilah kita bersama merafakkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah azzawajalla kerana nikmat-Nya yang terlalu banyak buat kita sebagai hamba-Nya. Semoga bulan Ramadan yang bakal menjelang ini menjadikan kita orang yang bertaqwa seperti matlamat puasa itu difardukan.
Imam Abu Bakr Az-Zur’i rahimahullah memaparkan dua perkara yang wajib kita pelihara:
Pertama adalah [ اَلتَّهَاوُنُ بِا لْأ مرِ إِذَا حَضَرَ وَقتُه ], iaitu kewajiban telah datang tetapi kita tidak bersiap untuk menjalankannya. Ketidaksiapan tersebut salah satu bentuk meremehkan perintah. Akibatnya pun sangat besar, iaitu kelemahan untuk menjalankan kewajipan tersebut dan terhalang dari mendapat redha-Nya.
Kedua; kesan tersebut merupakan hukuman atas ketidaksiapan dalam menjalankan kewajipan yang telah hadir di depan mata.
Marilah sama-sama kita merebut tawaran kurniaan Allah SWT ini bagi mendekatkan diri kepadaNya. Ia merupakan bekalan kita di sepanjang dakwah. Tanpa bekalan kita tidak mampu meneruskan perjalanan yang panjang penuh ranjau, onak dan duri ini.
Kita mendambakan bantuan daripada Allah SWT.Bantuan tidak diberi, ia mesti dicari melalui usaha berterusan dan mujahadah yang tidak mengenal erti penat. Bulan Ramadan adalah bulan tarbiah. Ia adalah madrasah para mukmin mencari kekuatan. Siapa yang Allah SWT bantu, dia pastinya berjaya.
PROGRAM MENGHIDUPKAN RABBANIYYAH PADA BULAN RAMADAN 1436H – 2015M
Objektif Umum: Memperkasa makna rabbaniyyah sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Ia dibahagikan kepada tiga mihwar iaitu individu, rumahtangga dan masyarakat. Setiap mihwar mengandungi kewajipan dan amal tarbawi dan da’awi tertentu. Semoga Allah SWT membantu kita semua insha-Allah.
Slogan umum bulan ini: “Bersegeralah kamu semua kepada Allah”
Objektif umum program: “Jadilah kamu golongan rabbaniyyun”
Kewajipan Amali untuk memperkasakan rabbaniyyah pada bulan Ramadan ini:
Pertama: Mihwar Individu
1. Berniat dan berazam untuk memanfaatkan waktu sepanjang bulan Ramadan ini untuk beribadatdan mendekatkan diri kepada Allah.
2. Berusaha khatamkan Al-Quran sebanyak dua kali; termasuk berusaha mengkhatamkannya khusus pada 10 hari terakhir dari Ramadan.
3. Memelihara zikir pagi dan petang paling tidak Wazifah Sughra dan jangan meringan-ringankannya.
4. Memelihara solat berjamaah serta takbiratul ihram bersama imam di masjid.
5. Memelihara solat sunat rawatib sebelum dan selepas solat fardhu.
6. Memelihara solat dhuha dan witir setiap hari.
7. Beriktikaf di masjid paling tidak 3 hari terutama pada 10 hari terakhir Ramadan.
8. Menunggu di dalam masjid sejurus selesai solat subuh sehingga naik matahari dalam keadaan berzikir dan bertilawah paling tidak sekali dalam seminggu.
9. Memelihara solat tarawih dan tahajjud sepanjang Ramadan.
Kedua: Mihwar Rumahtangga
1. Menyediakan suasana rumah dengan menghiaskannya untuk menyambut bulan Ramadan.
2. Menggesa isteri dan anak-anak untuk taat kepada Allah lpada bulan ini.
3. Mengadakan halaqah tilawah Al-Quran harian di rumah.
4. Berkumpul untuk berzikir dan berdoa sejurus sebelum berbuka.
5. Membawa bersama keluarga mengerjakan solat tarawih di masjid.
6. Memilih tokoh tertentu seperti sahabat Nabi SAW mengkaji sirah dan pengajaran bermanfaat dan bersesuaian dengan isteri dan anak-anak. Di samping itu, boleh juga diadakan kuiz untuk menaikkan semangat.
7. Bersedekah dan memotivasi anak-anak ke arah itu, bercakap dengan mereka tentang kewajipan zakat dan lainnya.
8. Menyusun berbuka puasa secara berjamaah di kalangan jiran tetangga paling tidak sekali dalam bulan Ramadan ini.
Ketiga: Mihwar Masyarakat
1. Mengucapkan tahniah untuk jiran dan rakan taulan di tempat kerja bersempena kedatangan bulan Ramadan tahun ini.
2. Berbuka puasa secara berjamaah bersama jiran dan kaum keluarga terdekat.
3. Mengingatkan jiran, keluarga terdekat dan rakan taulan di tempat kerja untuk mengeluarkan zakat fitrah.
4. Mengajak jiran bersama-sama ke masjid untuk bertarawih.
5. Berusaha bersama-sama jiran tetangga menghias dan merapikan lorong dan membersih masjid untuk menyambut bulan Ramadan.
6. Bersama menyusun program beriktikaf di masjid terdekat dengan tempat tinggal masing-masing.
7. Berusaha menyusun program berbuka puasa secara jama’ie di tempat kerja paling tidak sekali dalam bulan ini.
Semoga Allah SWT kasih dan redha kepada kita semua.
Semoga Allah SWT panjangkan usia kita untuk sama-sama menyambut bulan Ramadan pada tahun ini.
Semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan mereka yang mendapat kerahmatan dan keberkatan bulan mulia ini.
Selamat menyambut Ramadan dan marilah kita semua bersegera mendekatkan diri kepada Allah SWT serta jadilah golongan rabbaniyyun.
“UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN”
Ustaz Tajul Arifin bin Che Zakaria
Pengerusi Jawatankuasa Tarbiah
Pertubuhan IKRAM Malaysia