Jarum halus LGBTQ+ melalui permainan

Set permainan ini dilancarkan secara rasmi pada 1 Jun 2021 termasuk di Malaysia. Berita ini turut dilaporkan oleh akhbar Malay Mail pada 21 Mei yang lalu dan telah disahkan oleh bahagian pemasaran LEGO. 

 

LEGO mempunyai peminatnya yang tersendiri, bukan sahaja daripada kalangan kanak-kanak serata dunia, malah turut menjadi koleksi bagi golongan dewasa. Kebanyakan daripada mereka menjadikan LEGO sebagai koleksi peribadi mereka kerana LEGO sering mengeluarkan set permainan dengan pelbagai tema yang menarik.

 

Melalui artikel Malay Mail, turut dilaporkan bahawa set ‘Everyone Is Awesome’ ini didatangkan dengan sebelas mini figura monokrom yang berasaskan warna pelangi mewakili warna bendera LGBTQ+.

 

Dalam set tersebut turut dimuatkan figura yang berwarna biru lembut, putih dan merah jambu bagi mewakili golongan transgender. Manakala warna hitam dan coklat (perang) ditambah bagi mewakili kepelbagaian golongan LGBTQ+. 

 

Usaha besar-besaran pendokong LGBTQ+ dalam menormalisasikan gaya hidup ini kepada anak muda amat canggung daripada nilai agama Islam dan budaya ketimuran. Usaha ini bukanlah yang pertama melibatkan syarikat besar seperti LEGO.

 

Malah pada tahun 2017, syarikat animasi terkemuka iaitu The Disney Channel yang bernaung di bawah The Walt Disney Company menyiarkan aksi bercumbuan sesama jantina dalam rancangan Star vs The Forces of Evil

 

Dalam filem Beauty and The Beast pula, unsur homoseksualiti turut ditayangkan seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Huffington Post.  

 

Gejala sosial dan perlakuan sumbang semakin membarah dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini.

 

Tambahan pula, terdapat sebahagian pendokong golongan tertentu yang begitu agresif menyebarkan dakyah mereka dan memasarkan perjuangan mereka atas dasar kepentingan hak asasi manusia dengan apa cara sekalipun sehingga mereka perlu diterima dan diiktiraf masyarakat. 

 

Hak asasi manusia menurut neraca Islam amat berbeza dengan hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh golongan LGBTQ+. Rata-rata kelompok liberal menjustifikasi hak asasi manusia sebagai kedaulatan, kebebasan dan kepentingan individu yang bersifat mutlak serta diangkat melebihi kepentingan sejagat.

 

Dengan kefahaman ini, maka lahirlah corak kehidupan manusia yang tandus nilai moral dan menjatuhkan kehormatan manusia sebagai hamba dan khalifah di muka bumi.

 

Islam meletakkan hak asasi manusia dengan melindungi maruah dan menegakkan hak-hak yang sesuai dengan fitrah seorang insan sebagai seorang hamba dan khalifah di samping merangkumi segala aspek kehidupan.

 

Penghormatan dan kemuliaan manusia dinilai dengan akidah yang sejahtera, akhlak yang mantap serta nilai diri yang tinggi, bukan sekadar penampilan semata-mata.

 

Jadi, sebarang usaha yang menjauhkan manusia daripada Tuhan dan menjatuhkan nilai diri sebagai seorang hamba dan khalifah, tidak patut dilihat sebagai satu bentuk tindakan yang adil dalam menegakkan haknya sebagai seorang manusia.

 

Benarlah seperti apa yang disabdakan Rasulullah SAW:

“Kamu semua akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga kalau mereka masuk ke lubang biawak sekalipun, kamu tetap akan mengikut mereka.” Kami bertanya, “Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani?” Sabda Nabi SAW: “Siapa lagi kalau bukan mereka?” (Hadis Riwayat Muslim, No. 2669)

 

Golongan LGBTQ+ ini tidak akan pernah berhenti berusaha sehingga mereka berjaya mempengaruhi pemikiran masyarakat dan cara hidup mereka diiktiraf sebagai normal.

 

Lebih menyedihkan lagi apabila kita sebagai seorang Muslim hanya diam membungkam dan berpangku tangan apabila melihat perkara seperti ini menular dan meresap ke rumah-rumah kita serta masuk dengan mudah ke dalam jiwa anak-anak kita. 

 

Mahukah kita melihat sahaja perkara ini berlaku dan reda menerima apa sahaja balasan Allah SWT seperti yang telah dinyatakan oleh hadis ini:

 

مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي، ثُمَّ يَقْدِرُونَ عَلَى أَنْ يُغَيِّرُوا، ثُمَّ لَا يُغَيِّرُوا، إِلَّا يُوشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمُ اللَّهُ مِنْهُ بِعِقَابٍ

 

“Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan oleh sesuatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripada mereka) mampu untuk mengubahnya tetapi mereka tidak berbuat sedemikian, melainkan Allah SWT akan timpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab.” (Hadis Riwayat Abu Daud,  No. 4338, Syeikh Syu’aib al-Arnaouth – Sanad sahih)

 

Kesan tindakan kita hari ini bakal mencorak peradaban masa hadapan. Apakah kita mahu melihat kebejatan sahsiah ini mendarah daging dalam jiwa anak-anak kita kelak?

 

Menurut laporan Kementerian Kesihatan, bermula 1986 sehingga Disember 2019, seramai 12,737 penghidap AIDS di Malaysia. Namun, jangkitan kes HIV semakin berubah dari tahun ke tahun.

 

Terkini dilaporkan bahawa kes HIV yang melibatkan jangkitan hasil daripada perhubungan songsang semakin bertambah bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia berdasarkan laporan daripada The Star, 29 November 2019

 

Menjadi kegusaran jika perkara seperti ini dibiarkan tanpa kawalan dan pendidikan masyarakat yang berterusan, akan menyebabkan generasi akan datang merasa selesa dengan perkara sebegini. 

 

Tidak dapat dinafikan, peranan sebagai ibu dan bapa pada zaman ini bukan lagi sekadar memberi makan, pakai serta tempat berteduh kepada zuriat masing-masing.

 

Namun, perisai-perisai perlulah dipasang dengan ampuh agar musuh-musuh tidak mudah masuk dan meresap ke dalam jiwa anak-anak kita dengan mudah.

 

Dengan ledakan maklumat pada masa kini, penggunaan teknologi di hujung jari memudahkan anak-anak kita menerima maklumat daripada seluruh pelusuk dunia tanpa batasan.

 

Tanpa pegangan agama yang utuh, ilmu yang menyeluruh serta kekuatan rohani yang mantap, anak-anak kita akan mudah terikut dengan agenda sebegini.

 

Selain mempersiapkan anak dengan keperluan akal dan rohani, ibu bapa dan para pendidik bertanggungjawab mencorak anak dengan nilai akhlak yang baik. Meski kita perlu membenci kemaksiatan, namun kita tidak perlu menyemai sikap kebencian terhadap pendosa.

 

Kita perlu meletakkan garis batas yang jelas kepada kemungkaran, namun pada masa yang sama golongan ini perlu didekati dengan berhikmah supaya dapat membantu mereka kembali kepada Allah SWT.

 

Roselinee Mohammad Radzi & Anis Putri Hamdan
Jawatankuasa Pembangunan dan Pembelaan Kanak-Kanak
Wanita IKRAM Negeri Selangor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia