“Jangan menipu sama Allah”

Episod kehidupan yang sangat getir dan benar-benar menguji keimanan seorang Yusof; dicampak ke dalam perigi oleh adik-beradiknya, dijadikan hamba, dijual dengan harga yang murah di pasar, diuji dengan wanita, dipenjara. Beratnya ujian seorang nabi Allah, Yusuf ketika itu. 

 

Selepas hujan ada pelangi, kala jatuh terus bangkit, akhirnya setelah diuji oleh Allah, Yusuf bukan sahaja menjadi menteri, bahkan dapat bertemu kembali dengan ahli keluarganya.

 

Jika ditelusuri kisah Nabi Yusuf AS ini, benar-benar menggambarkan bahawa dalam kehidupan kita pasti ada turun naiknya, yang lagi benar pertolongan Allah itu dekat dan sentiasa ada jalannya dari arah yang tidak disangka-sangka.

 

Terdapat beberapa adegan dalam AAC yang masih lagi melekat dalam ingatan saya, ternyata berkesan sekali filem karya sutradara Hanung Bramantyo ini. Kini, AAC2 yang dihasilkan oleh sutradara Guntur Soeharjanto juga mempunyai momentum yang sama luar biasanya.

 

Ikhlas

 

Saya sungguh terkesan dengan babak Fahri yang terduduk di tiang masjid sedang meminta nasihat daripada rakannya, Misbah. Kata-kata Misbah itu bukan sahaja menggugah jiwa Fahri, malah saya yang menonton ini pun turut terasa dengan kata-kata Misbah itu. 

 

“Jangan menipu, Fahri. Jangan menipu sama Allah.”

 

Bagaikan ditampar rasanya. Terkedu, Fahri yang terduduk itu juga tidak menyangka temannya itu mengeluarkan kata-kata sebegitu.

 

Plot dalam AAC2 ini, dari awal sehingga akhir cerita benar-benar menunjukkan bahawa Fahri merupakan seorang yang sangat baik, sehinggakan para pelajarnya suka dengannya. Dia membantu jirannya yang merupakan seorang Yahudi.

 

Nenek itu dihalau keluar oleh anaknya, maka Fahri membantu nenek itu dengan membelikan semula rumah yang asalnya dijual oleh anaknya, juga membantu jirannya yang sangat membencinya kerana dia seorang Muslim.

 

Fahri membantu jirannya dengan menghantar guru biola, membiayai segala yurannya, juga membantu Sabina, seorang watak Muslimah berpurdah yang hidup di Edinburgh sebagai PATI, jadi dia cuba membantu Sabina mendapatkan dokumen yang sah. Senang cerita, Fahri ini memang baiklah!

 

Walau bagaimanapun, Fahri ditegur oleh rakannya Misbah dengan kata-kata, “Jangan menipu, Fahri. Jangan menipu sama Allah.”

 

Setiap kali dia menolong orang-orang di sekelilingya, antara bait kata yang keluar daripada mulut Fahri ialah, “Aku lakukan semua ini demi Aisha. Ini semua amanat dari dia.” 

 

Teguran daripada Misbah itu, itulah teguran untuk kita juga. Teguran itu datang saat kita memerlukannya. Fahri tersentak, menyedari bahawa segala yang dia lakukan, kebaikan yang dia lakukan, pertolongan yang dihulur kepada sekeliling itu hanyalah mahu menutupi kesedihannya yang menunggu Aisha pulang, bertahun lama isterinya tidak kembali ke pangkuannya.

 

Dia menyedari kebaikannya itu bukanlah 100 peratus kerana Allah. Bukan! Dia menyedari bahawa kebaikan yang dia lakukan itu tidak bersih sepenuhnya, bercampur baur dengan urusan dunia. 

 

Saya juga tersentap dengan kata-kata Misbah. Itulah peranan seorang teman, seseorang yang boleh menegur kita, menarik kita semula kepada jalan yang lurus, mengingatkan kepada kita untuk kembali semula kepada Allah. Fahri yang mendengar nasihat Misbah itu berulang kali beristighfar, tersedar bahawa kebaikannya itu tidak telus. 

 

Segala kejadian yang terjadi, nikmat yang diberikan, ujian yang Allah timpakan kepada kita, semuanya untuk menguji kita. 

 

Nikmat kesihatan, nikmat harta, kebaikan, adakah semua itu kita lakukan untuk perkara yang benar? Adakah kita menggunakan nikmat yang dilimpahkan ini kerana Dia? Ini juga menguji kita. 

 

Kadang kita mempunyai tubuh badan yang sihat, kita tidak menggunakannya sehingga ke tahap maksima. Pada waktu remajalah kita memperbanyakkan ilmu, menggali ilmu, menimba sedalam-dalamnya, namun ketika itulah kita diuji dengan pelbagai perkara kerana kita masih muda, terleka dengan godaan dunia yang hina-dina.

 

Jiha Jahari

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia